ASKAR BERJALAN KAKI - 24
Cerita ini bukan aku yang alami, tetapi telah diceritakan oleh teman baik ku yang telah melaluinya. Beliau juga gelarkan sebagai Mejar Z. Walaupun baru setahun aku mengenalinya namun kami sungguh rapat dan mesra. Beliau bertugas di tempat yang sama dengan aku di Port Dickson.

Memandangkan isteri beliau berada di Melaka maka beliau tinggal di berek bujang bersama beberapa pegawai lain. Suatu hari cuti umum ketika aku bertugas, kami mempunyai masa yang banyak untuk berkongsi pengalaman.

Satu cerita yang aku ingin kongsikan dengan pembaca adalah tentang pengalaman beliau ketika menunaikan haji pada tahun 1999. Segalanya bermula apabila beliau tercabar dengan kenyataan seorang teman yang sedang membuat persiapan untuk tunaikan fardhu haji.

Ceritanya bermula begini, beliau telah diberi peluang untuk menjalankan misi di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kuwait. Misi yang dinamakan dengan UNTAG. Beliau telah bertugas di sana hampir setahun. Pada bulan Ramadhan beliau telah memohon cuti untuk menziarah keluarga bagi menyambut Hari Raya bersama.

Semasa mengunjungi rakannya di kampung pada Hari Raya, temannya memberitahu bahawa pada tahun tersebut beliau akan ke Mekah menunaikan fardhu haji. Serta merta mejar Z tersentak dan jiwanya menjadi tidak tenteram. Terfikir olehnya, kenapa beliau tidak mengambil peluang ini untuk menunaikan fardhu haji.

Pada hal Mekah terlalu dekat dengan Kuwait. Segera beliau menanamkan azam menunaikan fardu haji pada tahun itu juga. Tanpa melalui Tabung Haji, maka beliau terpaksa mempelajari dan menguruskan sendiri urusan tersebut. Beliau telah mengumpul segala bahan rujukan dan panduan haji dari sebuah kedai buku di Melaka.

Apabila tamat cuti maka beliau pun meneruskan tugas sebagai pemerhati di Kuwait. Sambil melaksanakan tugas beliau juga memulakan persiapan untuk ke Mekah dari sana. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Beliau mendapat pelepasan untuk menunaikan haji selama hampir 3 minggu. Bila tiba masanya beliau pun berlepas ke Jeddah untuk menunaikan rukun Islam yang ke 5. Perasaan gembira tidak terkira, tambahan pula urusan beliau agak mudah kerana pergi di atas tiket pemerhati tentera PBB.

Dipendekkan cerita, beliau melakukan satu persatu rukun kewajipan yang telah ditetapkan untuk semua jemaah haji. Pada satu malam, malam sebelum berkunjung ke Kaabah iaitu kiblat beliau dan kiblat seluruh umat islam di seluruh dunia. Beliau tidur awal kerana perjalanan besoknya agar awal.

Tidur beliau kali ini amat berbeza. Tidur yang penuh insiden dan pengajaran. Pada malam tersebut beliau telah bermimpi tentang diri sendiri. Allah S.W.T telah menunjukkan satu persatu amalan beliau.

Seperti sebuah wayang gambar dan beliau seorang sahaja menjadi penontonnya. Segala perbuatan dan amalan baik dan jahat telah beliau lakukan, dari berjudi, perempuan, arak dan banyak peragai buruk beliau.

Mimpi geri malam tersebut benar-benar menghantuinya. Banyak peristiwa yang telah luput dalam ingatannya muncul dalam mimpinya. Pada pagi tersebut beliau telah keluar awal dari penginapannya untuk melakukan tawaf. Jemaah haji sangat ramai pada ketika itu. Namun mimpi aneh yang dialaminya pada malam tadi terus bersarang dan menghantui ingatannya.

Hatinya sangat berdebar dan tidak tenteram pada pagi tersebut. Sambil beristighfar dan berzikir beliau terus melangkah menuju ke Kaabah,

Semakin beliau hampir kepada Kaabah,

Maka semakin kuat gelojak hatinya. Entah apa yang beliau perlu buat bagi mententeramkan hati. Seperti jantung hendak terkeluar dari dada. Ya Allah ya Tuhanku.. apalah dosaku sehingga engkau menguji aku sebegini hebat. Keluh hatinya.

Akhirnya beliau sampai di hadapan Kaabah yang tersergam indah itu. Hati yang sekeras manapun akan cair bila melihat kebesaran Allah itu. Air mata beliau bercucuran dan beliau menangis seadanya. Terasa sungguh kerdil berdiri di hadapan rumah Allah.

Rasanya malu hendak minta ampun sekalipun. Terlalu banyak dosa beliau selama ini. Beliau terus sujud syukur tanda terimakasih di atas keinsafan yang Allah berikan pada dirinya yang kotor itu.

Bertubi-tubi beliau memohon ampun agar segala dosa silam dibersihkan Allah. Dengan penuh keazaman beliau memohon agar Allah menjadikan beliau umpama bayi yang baru lahir. Semoga Allah menanamkan rasa kelazatan dalam mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya.

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang Allah berikan peringatan lebih awal untuk berubah. Berubah sebelum mata terpejam. Sebelum kita mengadap Ilahi.

Terlalu banyak peristiwa aneh berlaku di Tanah Suci. Kita seharusnya mengambil iktibar dari apa yang dialami oleh saudara seagama kita di sana.

Jangan kita lupa bahawa setiap dari kita akan mengadap Rabbuljalil di akhirat nanti. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Semakin dekat dengan alam Kubur, makin maka banyaklah nikmat Allah yang di kurangkan. Dari kabur penglihatan hinggalah lemah tulang temulang. Itu semua merupakan tanda-tanda untuk kita memperbanyakkan amalan dan taubat.

Nikmat yang paling besar ialah Islam yag kita naungi ini. Hari ini kita Islam tapi belum tentu kita akan terus menjadi Islam pada hari esok, atau mengakhiri hayat sebagai seorang Islam.

Hidayah Allah merupakan anugerah yang sangat besar dan perlu ditagih sepanjang masa. Sebagaimana Allah pasakkan bumi ini dengan bukit bukau dan gunung ganang, kita juga mohon agar Allah memasakkan hati kita dengan iman dan takwa agar kita terus istiqamah menjalankan tugas dan tanggung jawap kita sebagai hamba Allah yang sejati.