Johor Bahru yang ditutup dengan rasminya 30 Ogos lalu dikatakan berhantu dan akan kekal dalam ingatan sebahagian penghuni dan kakitangan penjara itu. Perigi berkenaan, yang digali sempena pembinaan penjara itu pada 1883, dinamakan Jeneral Yamashita, iaitu pemimpin tentera Jepun ketika menduduki negara ini.
Penolong Penguasa Kassim Abdullah, 54, yang 34 tahun berkhidmat dengan Jabatan Penjara dan sepanjang perkhidmatannya hanya bertugas di Penjara Johor Bahru, berkata Perigi Jeneral Yamashita dijadikan tempathukuman pancung dan pembuangan kepala pesalah yang dikenakan hukuman pancung.
Katanya, penghuni dan kakitangan penjara pernah melihat perigi itu mengeluarkan api, sedangkan tiada kebakaran berlaku. Malah, ada juga mendakwa pernah ternampak lembaga besar tanpa kepala berdiri di atas perigi itu.
Pernah juga seorang banduan nampak makhluk besar berbulu dan berwarna hitam duduk di sebuah kolam berhampiran perigi berkenaan, katanya.
Beliau berkata, sebuah lagi perigi yang digali bagi menyediakan kemudahan bekalan air untuk banduan diberi nama Perigi Wong Ah Fook sempena kontraktor yang membina penjara berkenaan.
Yang istimewa, sehingga kini air di dalam kedua-dua perigi itu masih belum kering, katanya.
Bagaimanapun, Perigi Wong Ah Fook tidak berhantu kerana tiada pengalaman menakutkan penghuni dan kakitangan berlaku. Kassim berkata, selain perigi, beliau pernah melalui pengalaman aneh di bilik rehat kakitangan.
Pernah ketika hampir melelapkan mata di bilik rehat itu, tiba-tiba saya ternampak muka lima pesalah yang tinggal di Rumah Akhir (rumah pesalah yang akan dikenakan hukuman gantung). Terkejut juga, tetapi apabila buka mata, tiada apa-apa. Sepanjang malam saya tidak boleh lelap, katanya.
Penjara Johor Bahru atau turut dikenali sebagai Kota Penjara di kalangan penduduk tempatan terletak di tanah seluas 3.76 hektar dan dilingkungi tiga jalan, iaitu Jalan Ayer Molek, Jalan Gertak Merah dan Jalan Khalid Abdullah. Penjara itu juga menempatkan kawasan perumahan kakitangan Jabatan Penjara.
Reka bentuk bangunan asalnya adalah cetusan ilham Almarhum Sultan Abu Bakar selepas baginda berkunjung ke beberapa penjara di Shanghai, China dan Osaka, Jepun. Penjara itu dibina dengan kos RM30,000 pada 16 April 1882. Penjara itu yang dibina bagi menempatkan orang yang menentang penjajah serta penjenayah di Johor, mampu menampung kapasiti 200 pesalah ketika itu.
Sebelum ditutup secara rasmi pada 30 Ogos lalu, penjara itu mampu memuatkan kira-kira 1,400 pesalah pada satu masa. Ia dibuka secara rasminya pada 1883 dengan keluasan bertembok 160,000 kaki persegi, ketinggian temboknya 6.1 meter dan mempunyai dua menara asal sebelum tambahan dua lagi menara selepas 1900.
Kassim berkata, semua peristiwa dilaluinya sepanjang 34 tahun bertugas di Penjara Johor Bahru kini tinggal kenangan dan bahan bualan serta gelak ketawa apabila berkumpul bersama rakan setugas. Katanya, kini dia hanya menunggu arahan dan surat daripada pihak atasan untuk berpindah ke penjara lain. Perigi Berhantu Keluar Api
Zalifah Mohd Yatim 11/09/2005