KERAMAT SEBUAH HATI - 24
Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yang hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan.

Allah anugerahkan kepintaran, darjat , kesihatan yang baik dan harta yang banyak, namun hatinya dilamun resah dan hidupnya dirasakan

hambar. Mahligai yang besar dirasakan umpama sangkar atau penjara. Makanan yang sedap dirasakan tawar dan tidak menyelerakan. Anak pinak dan sahabat handai yang ramai terasa membebankan. Hidup seperti tiada erti dan hanya menanti saki baki umur sementara menunggu hari kematian.

Ramai pula orang yang hidupnya kelihatan susah, tiada kemasyhuran, kediaman sempit dan makanannya ala kadar, namun pada hakikatnya dia sangat bahagia dan gembira. Dia menikmati hidup berlapang dada kerana hatinya tenang, walaupun berdepan dengan cabaran hidup yang mencabar.

Ketenangan hati tidak dapat dihasilkan oleh kekayaan, kemasyhuran dan kekuatan fizikal. Ketenangan hati hanya akan diperolehi dengan satu sumber iaitu iman kepada Allah dan Hari Akhirat. Ketenangan hati adalah nikmat Allah yang dianugerahkan kepada hamba-hamba pilihanNya sahaja, supaya mereka berhati teguh di kala orang lain goyah, yakin di kala orang lain ragu, sabar ketika orang lain keluh kesah dan berlapang dada semasa orang panik.

Firman Allah:

Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah dari keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan. bumi, Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. (AI-Fath : 4) Firman Allah lagi:

Dan siapa yang hendak dibiarkan sesat oleh Allah, dijadikan Allah dadanya sesak dan sempit, seperti orang yang naik ke tempat yang tinggi. (A-Anam:125)

Adakah benar ketenangan hati hanya diperolehi dengan keimanan Orang beriman memperoleh ketenangan kerana dia menempuh hidup yang sesuai dengan fitrahnya. Fitrah manusia yang tidak dapat dipenuhi dengan ilmu, status, falsafah dan kekayaan, hanya dapat dipenuhi dengan keimanan kepada Allah. Fitrah manusia yang sentiasa lapar dan dahaga hanya akan dapat dipuaskan dengan mengenali Allah dan mengekalkan kebergantungan hidup kepadaNya.

Apabila fitrah telah dipenuhi dengan keimanan manusia akan hidup gembira, riang dan aman daripada ketakutan. Orang yang tidak mahu berusaha mengenali Allah dan berjalan di muka bumi dengan angkuh, maka Allah akan membiarkannya hidup menderita tanpa pertolongan.

Orang beriman menyedari rahsia penciptaan alam dan dirinya.

Ada yang telah menghabiskan umur puluhan tahun untuk mencari jawapannya, namun tidak bertemu. Akhirnya hati terus terseksa kerana fikiran bercelaru, keliru dan ragu-ragu. Orang yang beriman hatinya tenang dan yakin kerana persoalan ini dijawab oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu juga bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya ilmu Allah, benarbenar meliputi segala sesuatu. (At-thalaq: 12)

Bagi orang yang beriman, perjalanan mencapai matlamat hidupnya tidak ada yang sukar. Segala yang pahit menjadi manis, segenap pengorbanan dirasakan ringan, bahkan dihadapinya dengan tenang dan gembira. Tidak berasa takut dan cemas, tidak gentar dan ngeri terhadap sesuatu demi memperolehi keredhaan Allah SWT. Orang yang beriman tidak berasa bersendirian atau kesepian dalam hidup ini. Mereka berasa sangat dekat dan erat hubungan dengan Allah.

Firman Allah:

Dia (Allah) ada bersama kamu di mana saja kamu berada, dan Allah melihat apa yang kamu lakukan. (AI-Hadid : 4)

Di dalam sepotong hadis yang bermaksud: bahawa hati itu ada empat : hati yang tidak berselaput dengan (syak wasangka) padanya terdapat sebuah lampu yang menerangi, itulah hati seorang Mukmin. Kedua, hati yang hitam tidak menentu tempatnya, itulah hati seorang kafir. Ketiga, hati yang terbelenggu diatas kulitnya, itulah hati seorang munafik dan yang terakhir, hati yang mendatar, padanya terdapat iman dan nifak meliputinya.

Perumpamaan nifak yang ada pada hati tersebut, seperti setompok kudis yang diselaputi oleh nanah dan darah busuk, yang mana di antara keduanya berkuasa, kesitulah hati akan tertarik. Hati yang terakhir inilah, adalah sifat bagi hati orang yang mencampur adukkan amalannya sehingga kecuaian melebihi kesempurnaan.

Mudah-mudahan, kita semua tergolong di dalam kelompok hati yang pertama, iaitu hati orang-orang yang beriman yang sentiasa mendapat ketenangan, ketenteraman dan kebahagiaan hidup di dunia di samping mendapat kebahagiaan di akhirat, ditempatkan bersama-sama para nabi, orang-orang yang jujur, para syuhada dan orang-orang yang soleh.

Sifat Pemaaf Bersih Hati,Tenangkan Jiwa

KETIKA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam diri seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisma yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat kehaiwanan dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang mulia. (Surah as-Syura, ayat 43).

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar. Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan. Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi Muhammad bersabda: Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah. (Hadis riwayat Bukhari).

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, baginda menjawab ringkas iaitu jangan marah. Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan jangan marah.

Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah. Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu pupuklah sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.

Jika sifat memaafkan diamalkan, Insya-Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmatNya.