TAKAFULMAN - 24
Tadi aku ada appointment Takaful dengan seorang bekas Muslim.

Sekarang dia bukan lagi Muslim, sudah murtad hampir setahun yang lepas. Kini dia seorang Agnostik.

Borak Takaful cuma 10 minit, selebihnya kami borak isu keagamaan, hampir satu jam.

Membawa Takaful kepada penekun Agnostik bukanlah suatu kerja yang mudah. Tidak ada istilah pembelaan Takaful atas nilai agama yang boleh membeli jiwa sang Agnostik. Sedang agama yang berdiri memayung si kerdil Takaful pun tidak terpakai kepada dia, apatah lagi hujahhujah Tabaruk yang kelihatan mikro dalam konteks sudut pandang seorang non Muslim.

Dan aku sedari awal menyedari hal yang sedemikian.

Lalu membawa nilai kemanusiaan dan saling hormat adalah titik pertemuan yang aku kira paling ideal dalam menyelesaikan bicara Takaful kami berdua. Aku, wakil organisasi sebuah agama berTuhan, manakala dia mewakili dirinya sendiri bersama akal fikiran yang tidak berTuhan.

Persamaan yang ada atas nama Takaful antara kami berdua cuma satu yakni.

Takaful itu memberi perlindungan rawatan dan wang ringgit kepada manusia, tidak kira manusia itu berTuhan atau sebaliknya, asalkan dia percaya yang dirinya tidak lebih dari hanya himpunan organ darah urat otot dan tulang belulang yang maha lemah, tidak berdaya melawan serangan penyakit dan segala mara bencana, maka Takaful itu adalah satu keperluan yang mesti.

Ya, tugas memberi pencerahan Takaful berjalan mudah tanpa judgemental atau argument holier than thou yang tidak sepadan.

Agree to disagree.

Kemanusiaan dan akhlak itu terdahulu, kerana keduanya merupakan pancaran cahaya yang akan menyuluh si buta mengenal Pencipta.

Sang Agnostik bersetuju ambil Takaful.

Terima kasih kerana mempercayai, sekurangkurangnya Takaful.

Kami akan berbicara lagi, di lain waktu.