Secara umumnya, gelombang boleh dipecahkan kepada tiga pembahagian iaitu gelombang mekanik, gelombang elektromagnet dan gelombang jirim. Gelombang mekanik merupakan gelombang yang berlaku melalui medium. Gelombang ini bergerak dari satu zarah kepada zarah yang lain secara bersambung melalui medium. Justeru, kewujudan medium sangat penting untuk gelombang mekanik.
Pergerakan gelombang melalui medium boleh berlaku kerana sifat yang terdapat pada medium itu sendiri seperti keanjalnnya (elasticity) ataupun inersia, iaitu kecenderungan untuk mengekalkan keadaan asal. Contoh gelombang mekanik adalah segala pergerakan gelombang yang berlaku melalui medium seperti gelombang bunyi, gelombang tsunami dan gempa bumi.
Gelombang mekanik boleh dipecahkan lagi kepada dua pula iaitu gelombang melintang (transverse wave) dan gelombang membujur (longitudinal wave). Gambar rajah merujuk pada perbezaan gelombang melintang dan gelombang membujur. Contoh gelombang melintang adalah seperti getaran yang terdapat pada tali. Contoh gelombang membunjur adalah seperti gelombang bunyi, gempa Bumi dan getaran di dalam gas-gas dan cecair.
Gelombang elektromagnet pula merupakan sebuah gangguan atau getaran elektrik dan magnet yang tidak memerlukan sebarang medium untuk bergerak. Gelombang ini terhasil apabila terdapat ayunan (oscillate) yang berlaku di antara medan elektrik dan medan magnet secara serenjang (perpendicular) sesama mereka.
Gelombang jirim adalah gelombang yang dihasilkan oleh zarah-zarah seperti elektron. Gelombang jirim turut dikenali sebagai gelombang de Broglie. Ia merupakan sejenis gelombang baru yang tidak terdapat dalam fizik klasik.
Selain gelombang-gelombang tersebut, terdapat juga beberapa bentuk gelombang lain seperti gelombang permukaan (surface wave). Gelombang ini berlaku pada permukaan medium dan boleh berlaku kepada dua cecair yang mempunyai ketumpatan berbeza. Gelombang permukaan turut dikenali sebagai gelombang Rayleigh.
Seterusnya, gelombang elastik. Sebarang jasad yang mempunyai sifat anjal (elastic) akan dapat menghasilkan gelombang elastik. Contoh bahan yang dapat menghasilkan gelombang ini adalah piezoelektrik. Zarah akan sentiasa kembali kepada kedudukan asal mereka apabila berada di bawah pengaruh gelombang elastik.
Contohnya, gas yang setelah dimampatkan, kemudian bergerak semula ke tempat asalnya diketagorikan sebagai gelombang elastik. Jika bunyi dipindahkan kepada gas, maka ia dipindahkan sebagai gelombang elastik. Kajian berkenaan gelombang elastik dikenali sebagai elastodinamik.