KUDIN lega. Tok Imam Ngah sudi membantu mencari Jo, Jai, Senah dan Anum di perkampungan bunian itu. Tadi, sebaik sampai ke KL dari kampung Pinang Patah, dia mengajak Tok Imam Ngah bermalam di rumahnya. Esok, akan bermula pencarian kawan-kawannya yang hilang itu. Ana Dahlia sudah diberitahu tentang hal itu. Esok, jam sembilan pagi, mereka bertiga akan ke tempat hutan di tepi sungai itu semula.
Tok Imam Ngah berehat di ruang tamu. Tadi dia baharu selesai menjamu selera makan malam bersama Kudin. Pandai juga anak muda itu masak. Lauk gulai ayam dan sambal belacan bersama dengan ulam pegaga, cukup kena denagn tekaknya. Dia senyum meleret. Sesekali dia melihat keadaan rumah Kudin yang kelihatan kemas. Perabut rumah itu semuanya diperbuat daripada rotan.
"Tok..minum dulu.." Kudin hulur secawan kopi panas dan roti bakar yang sudah disapu mentega.
"Terima kasih..kamu tinggal sorang je ke" Tok Imam Ngah hirup perlahan kopi panas yang dihulur Kudin tadi.
"Ya tok tapi minggu depan, Chad akan tinggal bersama saya." Kudin melemparkan senyuman. Dia turut menghirup kopi pekat yang dibancuh tadi.
"Chad Anak Zaidah tu" Tok Imam Ngah agak terkejut.
"Ya. Chad sekarang ni terlantar kat hospital..minggu depan dia dibenarkan pulang.." Terang Kudin.
Lama Tok Imam Ngah termenung mendengar kata-kata Kudin. Dia dapat rasa orang yang berlawan dengannya pada malam itu semasa merawat Puan Karina, orang itu adalah Chad. Dari bayangan yang muncul malam itu, jelas dia melihat rupa paras bayangan itu. Ada iras Chad.
"Kenapa tok" Kudin pula dapat mengagak yang Tok Imam Ngah sudah mengesyaki Chad.
"Hmm...tok harap dia segera bertaubat. Dosa syirik ni tidak terampunkan kerana telah menduakan Allah. Berdoalah semoga dia dibukakan pintu hati untuk kembali ke jalan Allah. Usah ditambah lagi dosa tu. " Tok Imam Ngah menggeleng.
Kudin diam seketika. Memang tepat telahannya tadi. Tok Imam Ngah sudah tahu yang Chad adalah penyihir Puan Karina pada malam itu. Dia tunduk. Malu pada Tok Imam Ngah yang menjadi orang lama di kampung Pinang Patah. Tok Imam Ngah banyak mengajar anak -anak muda tentang hal agama termasuklah dia, Jai, Jo dan Chad dulu.
"Kenapa Chad tu jadi macam tu"
Kudin mendongak. Tiba-tiba Tok Imam Ngah bertanyakan soal Chad. Dia serba salah untuk menjawab kerana Tok Imam Ngah memang kenal dengan mak Chad, Zaidah. Zaidah itu sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
"Sebenarnya tok..Chad berdendam kerana mak dia jadi gila akibat buatan orang dan orang yang menganiayai mak Chad tu adalah Puan Karina.." Terpaksa Kudin berterus terang hal sebenar.
"Maksud kamu, Zaidah jadi gila" Tok Imam Ngah terkejut.
Kudin mengangguk.
"Ya Allah...apa nak jadi dunia sekarang ni.." Tok Imam Ngah menggeleng.
"Tapi alhamdulillah, nampaknya Chad dan Puan Karina pun dah berubah baik." Kudin senyum lebar.
"Alhamdulillah..Allah berkehendakkan siapa saja hambanya untuk menerima hidayah..walau sudah tersesat jauh. Allah maha mengetahui segala sesuatu. Kita ni, bila senitiasa hidup di atas landasan yang benar, insyaAllah kita tidak akan mudah tergelincir walau dugaan berat sekalipun." Tok Imam Ngah menambah.
Sekali lagi Kudin mengangguk-angguk mendengar tazkirah Tok Imam Ngah. Sejak dulu dia sangat hormat pada orang tua itu yang banyak ilmu. Mereka berdua berbual sambil bertukar pandangan. Usai solat isyak berjemaah, Kudin dan Tok Imam Ngah mula berehat dan tidur di bilik masing-masing. Esok, jam sembilan pagi selepas sarapan, dia akan jemput Ana Dahlia dahulu sebelum ke hutan itu semula.
PAGI lagi selepas solat subuh berjemaah, Kudin dan Tok Imam Ngah bersama-sama menikmati sarapan yang disediakan oleh Kudin. Nasi goreng kampung pedas yang dimasukkan dengan sedikit ikan bilis dan juga cili kampung memang cukup menyelerakan Tok Imam Ngah menikmatinya. Kudin senyum melihat orang tua itu berpeluh-peluh menjamah nasi.
"Kalau macam nilah kamu masak Kudin, mahunya gemok nanti tok ni. Tak boleh stop dah ni. Dah dua kali dah tok tambah ni!" Tok Imam Ngah ketawa mengekek.
"Saya masak biasa je tok. Main campak je mana yang ada." Kudin sengih. Dah kembang hidung bila dipuji begitu. Dulu, nenek juga memuji masakannya.
"Hmm..pukul berapa kita nak bertolak" Tok Imam Ngah mula basuh tangan di sinki. Dia kembali ke meja makan dan berehat sebentar dalam setengah jam sebelum meneguk kopi o pekat yang dibancuh Kudin tadi.
"Insya Allah pukul sembilan nanti tok. Ada sejam lagi. Kalau tok nak kena bawa apa-apa, kita ada masa lagi ni nak cari." Kudin melihat jam di pergelangan tangannya. Lapan pagi.
"Hmm..tok dah bawa apa yang patut." Tok Imam Ngah senyum. Tidak dinyatakan kepada Kudin tentang hal itu.
Kedengaran pintu diketuk kuat. Kudin bingkas dari duduknya dan berjalan ke ruang tamu menuju ke pintu rumah. Sebaik pintu terbuka, terkejut dia melihat Chad sudah tercegat di depan pintu dengan muka berkerut.
"Chad! Kau buat apa kat sini Macam mana kau tahu rumah aku Eh, macam mana kau keluar dari hospital" Bertubi soalan Kudin ditujukan pada Chad.
Chad tidak menjawab sebaliknya dia meluru masuk ke dalam rumah Kudin. Pintu ditutup rapat.
"Aku lari dari hospital. Aku nak ikut kau ke sana." Chad pandang Kudin yang sudah terbeliak mendengar kata-katanya.
"Ma...macam mana kau tahu aku nak ke sana hari ni" Kudin tercengang.
Chad hanya senyum. Nampaknya Kudin tidak tahu ilmunya yang dipelajari dulu. Dia boleh membaca riak wajah dan membaca fikiran Kudin masa Kudin melawatnya di hospital dulu dan malam tadi, dia mendengar perbualan Kudin dengan seseorang mengenai rancangan itu dalam mimpinya.
"Aku tahu la. Jadi, boleh tak aku ikut kau" Chad masih tercegat di situ.
"Kau kan masih sakit lagi" Kudin mula serba salah.
Chad kaget melihat Tok Imam Ngah yang muncul dari dapur. Dia menelan liur. Orang tua itu dilihat tidak berkelip. Dia tahu Tok Imam Ngah mempunyai banyak ilmu ghaib.
"Hmm..kamu apa khabar Chad Dah sembuh luka kamu tu" Sindir Tok Imam Ngah.
Chad tunduk. Dia malu pada orang tua itu. Dia kemudian mendongak semula. " Tok...saya..saya.."
"Dah..tok dah tahu. Kuat juga ilmu kamu ya. Tercampak kuat jugak tubuh tok ke dinding malam tu." Tok Imam Ngah ketawa kecil.
Sekali lagi Chad tunduk. Ternyata ilmu Tok Imam Ngah begitu tebal. Orang tua itu tahu apa yang berlaku. Jadi, selama ini dia berlawan dengan bekas guru agamanya dulu sendiri!
"Dah..kita dah lewat ni. Ayuh kita ke sana. Aku kena jemput seseorang lagi ni." Kudin mula mengangkat beg yang mengandungi peralatan untuk mencari alam bunian itu.
"Siapa" Chad pula tercengang.
"Dia kawan aku..Ana Dahlia.." Kudin senyum.
Chad terdiam. Dia tahu sejak dulu, gadis itu adalah seorang pegawai polis. Dari tingkah gadis itu dia sudah lama mengagak yang gadis itu adalah seorang polis.
"Kau pasti" terus Chad bertanya Kudin.
Kudin mula berkerut kening. "Maksud kau Aku tak faham."
Chad diam seketika. Nampaknya Kudin tidak tahu siapa Ana Dahlia sebenarnya. "Betul kau tak tahu"
"Tahu apa" Sekali lagi Kudin berkerut kening.
"Dia polis!"
"Apa" Kudin tercengang. Tergamam.
"Ya! Dia polis sama macam Jai. Aku tahu sejak dulu lagi. Saja aku tak nak beritahu pada kau. Dari cara dia orang cakap,bertindak dan yang penting, dia orang kuat berahsia. Aku boleh agak.." Chad berterus terang.
Kudin terdiam. Kata-kata Chad tadi memang cukup membuatnya tergamam dan terkelu sebentar. Hal Jai dia sudah tahu tetapi Ana Dahlia Patutlah gadis itu begitu cemas bila dapat tahu Jai sudah hilang. Bermakna Jai juga turut terlibat dalam penyiasatan kes kehilangan Senah dan Anum. Jadi, selama ini dia tertipu sebenarnya. Patutlah Ana Dahlia sentiasa mengorek maklumat darinya tentang kehilangan Senah dan Anum dulu. Masa di kampung dulu, dia sudah syak yang Ana Dahlia seperti seorang polis lagaknya.
"Kudin..Kudin.." Chad tepuk bahu Kudin yang sudah memgelamun.
"Hah Err...kau cakap apa tadi" Kudin mula tersedar.
Chad sengih. Dia tidak jawab pertanyaan Kudin. Dia terus keluar dari rumah dan menunggu di tepi kereta. Tok Imam Ngah turut menggeleng melihat tingkah Kudin yang kelihatan terperanjat.
"Tok tahu..Ana Dahlia kan" Tok Imam Ngah mula senyum. Sejak di kampung dulu lagi, dia sudah dapat rasa gadis itu adalah seseorang yang terlatih seperti polis. Tidak ada perempuan yang berani keluar malam-malam dan berdepan dengan semua itu. Lainlah kes Senah. Senah itu seolah sudah lali dengan semua itu.
Kudin dan Tok Imam Ngah turut sama ke kereta. Pintu rumah dikunci. Kudin mula menghidupkan enjin kereta dan perlahan keretanya meninggalkan kawasan laman rumah. Tiba di Rawang, Kudin mengambil pula Ana Dahlia yang sudah menunggunya di simpang masuk ke Temple Park.
TIBA di hutan yang yang dimaksudkan itu, mereka berempat mula keluar dari perut kereta yang diparkir di tepi jalan kecil yang menuju ke hutan belukar itu. Mereka menyelusuri pula jalan merah kecil yang kiri kanannya semak dan belukar yang tebal sebelum sampai di sebatang sungai. Hampir setengah jam meredah belukar itu, mereka mula tiba di tebing sungai. Bunyi deruan air mengalir jelas di telinga. Tok Imam Ngah awal-awal lagi mengingatkan mereka yang lain supaya menjaga kelakuan. Tidak sebarangan bercakap. Kalau boleh diam saja. Kudin, Ana Dahlia dan Chad hanya mengangguk tanda faham.
Kudin berjalan di belakang Tok Imam Ngah. Ana Dahlia dan Chad pula berjalan di belakang Kudin beriringan. Mereka berempat menyelusuri pula sepanjang tebing sungai itu yang kelihatan agak deras airnya mengalir. Kalau dulu, Kudin tidak berapa jelas keadaan sekitar sungai itu kerana hari semakin gelap tetapi kali ini dengan cuaca terang dan waktu ketika itu pun baru menghampiri sembilan setengah pagi, dia dapat melihat dengan jelas keadaan sekitar. Memang sungguh cantik dan indah. Pokok-pokok hutan yang menghijau dan diselangi dengan bunyi unggas yang kelihatan berterbangan dari satu pokok ke satu pokok, sungguh mendamaikan. Langkah Kudin terhenti sebaik melihat sekelompok pokok senduduk putih. Dia tahu di situlah Jo dan Jai hilang tiba-tiba setelah Jo mematahkan ranting pokok senduduk putih itu. Dia terus mencuit lengan Tok Imam Ngah yang masih melangkah. Tok Imam Ngah berpaling. Kudin menuding ke arah sekelompok senduduk putih.
"Hmm..nampaknya di sini memang kawasan orang bunian." Tok Imam Ngah mengangguk. Dia mengarahkan mereka yang lain mengikutinya ke arah senduduk putih itu.
Tiba di situ, Tok Imam Ngah mengarahkan pula Kudin yang memakai jam tangan supaya ditanggalkan jam itu dan dimasukkan ke dalam beg yang dibawa tadi. Beg itu diletakkan di perdu sebatang pokok yang agak besar.
"Beg itu akan menjadi tanda jalan keluar kita nanti jika kita berjaya bawa balik mereka dari alam sana." Pesan Tok Imam Ngah.
Kudin hanya mengikut arahan orang tua itu. Dia pandang Ana Dahlia dan Chad yang turut mengangguk.
"Tok...senduduk nilah yang Jo dan Jai patahkan dulu. Lepas tu mereka terus lenyap." Kudin berbisik ke telinga Tok Imam Ngah.
Tok Imam Ngah mengangguk-angguk. Dia perhatikan sekeliling. " Korang dengar bunyi air sungai tu"
Serentak Kudin, Ana Dahlia dan Chad mengangguk.
"Sekarang ni cuba tenangkan diri, dengarkan bunyi unggas dan deruan air mengalir. Fokus pada deruan air saja. Tenaga yang ada pada deruan air itulah tenaga yang akan diresapi oleh kita untuk kita ke alam mereka." Jelas Tok Imam Ngah lagi.
Serentak itu juga mereka bertiga yang lain mengangguk lagi.
"Tengok ni.." Tok Imam Ngah menuding ke arah satu pokok senduduk yang agak lebat bunganya.
"Pokok senduduk ni adalah sempadan perkampungan bunian. Kalau semua sudah bersedia untuk masuk ke sana, mulakan dengan langkah kaki kanan. Kaki kiri di sebelah sini. Bila tok cakap langkah kedua kaki ke arah pokok itu, cepat-cepat angkat kaki kiri dan samakan dengan kaki kakan. Faham" Tok Imam Ngah pandang seorang demi seorang. Matanya jatuh pada Ana Dahlia. Dia bimbang jika salah langkah, mereka akan berpecah terutama Ana Dahlia, dia seorang perempuan. Bimbang berada seorang diri di dalam hutan yang agak tebal ini.
"Err..tok..maknanya kita kena patahkan ranting pokok senduduk ni ke" Kudin sudah keliru dengan arahan Tok Imam Ngah.
"Tak perlu kerana tok tahu di mana sempadan tu. Pokok senduduk putih ni adalah tempat bermain puteri bunian. Mereka tidak suka barang mereka diusik." Terang Tok Imam Ngah. Matanya sebenarnya dari tadi asyik terarah ke sebuah batu yang agak besar sebelah pokok senduduk putih itu. Jelas dia melihat perempuan bunian sedang mandi mandi di situ. Saja dia tidak beritahu mereka yang lain dan dia tidak pula menegur perempuan bunian itu.
"Ingat pesan tok, baca bismillah dan niatkan dalam hati kita jengah kampung bunian ni bukan untuk membuat onar. Kita datang untuk berdamai dan mencari kawan kita yang hilang." Tok Imam Ngah mengingatkan lagi.
Mereka berempat mula mendekati pokok senduduk putih itu bersama. Tok Imam Ngah berada di depan. Kudin dan Ana Dahlia kali ini pula beriringan. Chad dari tadi hanya berada di belakang.
SEMENTARA ITU, di alam bunian. Anum dan Senah yang sudah bertudung litup sedang memasak di sebuah rumah yang sangat cantik. Jo dan Jai pula menolong penduduk kampung yang lain memetik buah-buahan. Sejak mereka terperangkap di alam bunian itu, Jai sudah berpesan pada Jo, jangan pandang pada anak dara orang bunian yang juga dipanggil puteri bunian oleh penduduk di situ. Jika tidak mereka akan disuruh berkahwin dengan puteri bunian itu. Selama berada di kampung itu, mereka selalu menjaga perangai dan tingkah laku. Itu pesan Jai. Jo hanya menurut saja apa yang dikatakan oleh Jai. Dia tahu Jai lebih banyak tahu tentang hal itu. Senah pula seperti sudah suka berada di alam itu tetapi tidak bagi Anum. Sejak hari pertama mereka tercampak ke dunia bunian, Jo dan Jai yang turut tercampak ke alam bunian itu terus mencari Senah dan Anum. Nasib baik Senah dan Anum masih kenal pada mereka. Untuk mengelak Senah dan Anum dikahwinkan dengan putera bunian yang kacak-kacak semuanya, Jo dan Jai terpaksa berlakon sebagai suami kepada Senah dan Anum. Jai pujuk Senah untuk menerimanya sebagai suami. Jo pula dengan Anum. Dengan cara itu, mereka terlepas dari perkahwinan dua dunia berlainan namun apa yang menjadi masalah mereka, pernikahan mereka berempat diadakan di dunia bunian itu.
Jo dan Jai mula serba salah. Mereka terpaksa tinggal satu rumah. Tidak pasti, adakah pernikahan mereka itu sah atau sebaliknya walaupun acara akad nikah mereka dihadiri wali dan juga tok kadi dan beberapa orang saksi. Sama seperti keadaan di alam nyata. Namun kehidupan penduduk di situ sama seperti manusia. Ada pekerjaan, berkahwin dan beranak pinak. Malah ada penghulu yang menguruskan kampung itu. Sekali sekali penghulu itu akan mengadap Raja Bunian di hujung kampung. Pernah mereka diajak ke istana bunian. Sungguh indah dan cantik suasana di istana itu. Dengan puteri bunian dan putera bunian yang cantik dan kacak. terlopong melihat segala perhiasan di dalam istana. Memang kalah istana manusia malah rasanya kalah juga istana negara!
"Abang Jai...malam ni macam mana" Senah pandang Jai yang masih berfikir untuk mencari jalan keluar. Sejak mereka 'bernikah', Senah dan Jai terpaksa tinggal serumah.
"Macam biasa. Senah tidur dalam bilik. Abang tidur kat luar ni." Jai senyum. Mahu saja dia bernikah betul-betul dengan Senah yang sudah lama ditunggunya.
"Maksud saya, macam mana rancangan kita nak keluar dari sini Dah dua hari Senah kat sini. Abang pula rasanya dah hampir setengah hari kan" Senah mencongak. Seingatnya dua hari lepas dia berlari keluar dari rumah kurungan itu bersama Anum dan terjebak ke dalam alam bunian itu.
"Oh itu.." Jai sengih.
"Abang dah rancang dengan Jo. Sekarang ni, Senah tidur dulu. Apa-apa nanti, abang kejut." Jai mula baring di atas permaidani di ruang tamu rumah yang berbentuk rumah lama itu, seperti rumah dahulu kala. Masak pakai periuk belanga, guna kayu api. Kalau hendak mandi pula, terpaksa menapak ke sungai atau telaga. Kalau hendak makan buah, kena petik di kebun. Dia jelling Senah. Senah dilihat sudah masuk ke dalam bilik.
JO DAN ANUM pula berada di rumah lain selang sebuah dari rumah Jai dan Senah. Sejak dipaksa bernikah dengan Jo, Anum tidak pernah menegur Jo yang dirasakan sudah mengkhianati persahabatan mereka di kampung dulu. Dia dapat tahu, Jo memang terlibat dengan sindiket penjualan gadis muda ke luar negara.
"Kenapa awak nikah dengan saya" Anum mengetap bibir.
"Habis tu, awak nak dipaksa nikah dengan Muaz tu" Jo geram. Muaz, anak penghulu orang bunian itu sudah sukakan Anum yang cantik lawa.
Anum terdiam. Memang dia tidak sanggup bernikah dengan orang bunian, apa lagi kalau terpaksa tinggal di situ selamanya. Saat ini dia terkenangkan ayahnya di kampung Pinang Patah.
"Sudah, sekejap lagi Jai datang sini. Malam ni kita orang dah rancang nak cari sekali lagi jalan keluar. Awak tidurlah. Awak jangan bimbang. Bila sudah berada di alam nyata nanti, kita 'bercerai'." Jo merenung Anum yang ternyata tidak suka padanya. Silapnya juga yang sudah terjerumus ke dunia sindiket.