Demi Ajai - 25
bab 25

SEBUAH lori membawa ais sedang menghimpit bontot kereta. Dari cermin sisi kelihatan pemandu lori tersebut dengan muka bengisnya sedang bersungguh mahu memotong kereta yang dipandu Cikgu Isa.

Cikgu Isa tidak senang dengan tindakan pemandu itu. Jalan kampung ini tidak begitu besar. Jika dia boleh mengalah, sudah lama dia mengalah. Kereta di hadapan juga bergerak perlahan.

Isa, awak ada masalah

Tak ada apa. Cuba awak tengok lori di belakang ni. Asyik menghimpit saja. Risau saya. Kalau saya brek mengejut nanti pasti kita kena hentam, Cikgu Isa membalas dalam gelabah. Dilihat bakal isterinya pula menjeling ke cermin sisi kereta.

Yalah. Awak bagi sajalah dia lepas dulu.

Macam mana nak bagi. Kereta depan ni pun perlahan.

Cikgu Isa tidak senang duduk. Fokus matanya bukan lagi di depan jalan. Sebaliknya, dia sibuk meninjau cermin depan untuk melihat keadaan lori di belakang. Dia rimas dicucuk sebegitu.

Awak tengoklah depan. Bahaya lalu jalan kampung ni. Buat tak tahu sajalah lori tu. Kalau dia langgar, kita minta dia bayar. Habis cerita. Zarina berkeluh-kesah. Risau benar dengan cara pemanduan bakal suaminya itu.

Mata Cikgu Isa masih degil mengerling ke cermin depan. Ya, Zarina. Saya tahu, tapi ....

BANG!

Zarina!

Cikgu Isa terjaga daripada tidur. Ya, Allah! Zarina.

Lalu dia meraup mukanya yang sedikit dibasahi peluh. Suam suhu dahinya. Tangannya pula masih terketar-ketar seperti pesakit parkinson.

Wajah Zarina perlahan-lahan lenyap daripada bayangannya. Tinggal bayangan sungai merah yang ditinggalkan perempuan itu mengalir meniti di jemarinya yang masih terketar-ketar.

Ya, Rab! Tempatkanlah dia di tempat orang-orang yang beriman.

Azan subuh berkumandang.

KEPUTUSAN peperiksaan percubaan PMR masih menghantui semua pelajar Tingkatan Tiga. Sebilangan besarnya tidak berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh. Tidak kurang juga ada yang berasa puas dan gembira lantas menyifatkan diri mereka telah berjaya menembusi tembok pertama di medan pertempuran. Golongan ini pasti akan terus melaju ketika peperiksaan sebenar yang bakal menyusul kurang daripada dua bulan lagi.

Ajai menghulurkan dua not biru di bawah cermin kaca itu. Serentak itu terjulur sebelah tangan pekerja yang menyambut bayarannya di pintu masuk kolam renang itu. Tidak lama kemudian, resit kuning diserahkan kepada Ajai yang telah tegak di situ.

Ini kali kedua dia ke kolam renang di Kompleks Sukan Bangsar. Kali pertama sewaktu bersama Cikgu Isa yang bersemangat untuk memperkenalkan kepadanya sebuah kolam renang di bandar sendat ini. Sengaja penjaganya itu mahu membuktikan betapa pandangannya terhadap Kuala Lumpur agak picik.

Kata Cikgu Isa dengan guraunya, di bandar raya ini terdapat juga tempat untuk bermandimanda seperti di Tasik Chini. Guru itu tahu benar Ajai terlalu kepingin kerana hampir tiga tahun dia tidak berenang meskipun sudah lama menetap di Kuala Lumpur.

Ajai melangkah perlahan melalui kolam kecil tempat kanak-kanak bermandi. Dilihatnya empat orang anak kecil ligat menepuk-nepuk air jernih di kolam tersebut. Saat dia melintasi kolam kecil itu, percikan air terus meloncat ke pakaiannya. Dia tidak melenting, malah tersenyum panjang kepada kanak-kanak itu. Lalu dia mara ke kolam dewasa meninggalkan mereka dalam keadaan serba salah.

Lama betul aku tidak berenang. Petang ini, aku nak habiskan masa di sini. Ini sahaja caranya untuk aku meraikan kegembiraan aku, Ajai mengoceh sendirian sambil tersengih. Sekali pandang, lagaknya seperti orang gila yang tidak henti-henti berceloteh.

Baginya, kejayaan dalam peperiksaan percubaan lalu adalah titik mula hidupnya. Dan dia harus meraikannya dengan cara tersendiri.

Mata Ajai mencari kerusi yang masih kosong. Hampa. Kali pertama kedatangannya tidaklah seramai ini. Dia melilau ke sekitar mencuba nasib. Harapannya akan ada pengunjung yang baru selesai mandi.

Ajai melangkah ke kerusi paling hujung. Di kerusi itu ada sebuah beg kertas dan sehelai baju yang menindih beg itu. Lalu diletakkan beg galasnya di sebelah.

Tiba-tiba deringan telefon bergema dari dalam beg kertas itu. Ajai membiarkan sahaja seraya satu per satu pakaiannya dirosotkan.

Ketika dia sibuk meregangkan otot deltoid dan trisepnya, telefon bimbit itu masih berbunyi. Rasa serba salah singgah. Tetapi, dia tidak pasti kepada siapa mahu ditujukan pesanan berpenggera itu.

Telefon siapa ini. Berkali-kali berdering. Mana tahu ada panggilan kecemasan, perlahan Ajai mengeluh. Riuh di sekitar kawasan kolam renang itu barangkali menulikan pendengaran pemilik telefon tersebut.

Ajai meneruskan regangan. Dia tidak mahu mengalami sebarang kekejangan otot memandangkan dia sendiri sudah lama meninggalkan aktiviti sebegini.

Semasa zaman kanak-kanaknya, tidak pernah pun dia bersusah-susah memanaskan badan. Asal jumpa tasik sahaja, terus dia dan rakan-rakan akan terjun ke dalam. Tetapi, selepas hari ini, jika dia berpelakuan sebegitu, tentu sahaja dia akan menggelupur di dalam air nanti.

Tangan kanan Ajai menyilangi dadanya. Manakala tangan kirinya pula menolak siku kanannya. Dia sedikit menekan. Barangkali sudah lama tidak bersukan.

Maaf ya, dik. Tumpang lalu.

Ajai tersentak. Akibat terlalu leka menyaksikan ragam kanak-kanak tadi, dia tidak sedar akan kehadiran seorang lelaki di sebelahnya.

Lelaki itu melihat telefon bimbitnya. Riak wajahnya berubah cemas dan acuh tidak acuh sahaja dia mengelap badannya dengan tuala putih yang menganting di bahu.

Ajai serba salah lagi. Pandangannya terarah kepada lelaki tadi yang sedang berlari-lari anak ke tempat mandian pancuran.

Anehnya, lelaki itu menoleh ke arahnya beberapa kali. Dia mula digeluti bimbang. Mungkin benar tadi silapnya kerana tidak menghebahkan deringan telefon itu.

Tanpa diduga, guntur di langit berdentum berkali-kali seolah-olah ada peperangan di wilayah tinggi itu. Ajai tidak mengendahkan suasana itu. Tetapi setelah gemuruhnya makin galak, dia mula bimbang. Belum lagi sempat tubuhnya mencecah air.

Di atas permukaan air, meribu gerimis riang bermain sehingga menampakkan gelora kecil. Penyelamat bantuan pun meniupkan wisel mengarahkan semua pengunjung berhenti berenang.

Ajai sedikit hampa tetapi masih lega kerana tidak sempat basah. Sekurang-kurangnya dia boleh terus pulang dan tidak perlu menghabiskan masa beratur di bilik mandi untuk bermandi air bersih dan menukar pakaian.

Tak ada rezekilah aku hari ni. Awan pun gelap semacam saja. Hujan lebat ni. Sempatkah

aku sampai rumah Kain jemuran masih belum berangkat. Marah pula Cikgu Isa nanti.

Jauh di sudut hati, dia mohon agar awan yang mengendong hujan singgah dahulu di kawasan lain sebelum dia sempat sampai ke rumahnya.

KELAM-KABUT Lazim menekan pedal minyak kenderaan milik Datuk Murad. Belum pun puas dia menyegarkan badan, majikannya menelefon minta dijemput. Mujur dia masih di sekitar bandar. Jalan raya juga agak lengang pada hari cuti sebegini. Nasibnya baik.

Ya, Datuk. Saya dalam perjalanan sekarang. Lazim cemas. Ketua Pengarah Pelajaran itu memohon supaya dia segera tiba dalam tempoh setengah jam lagi.

Dalam perjalanannya, dia asyik terbayangkan wajah remaja lelaki tadi. Tampang remaja itu seperti pernah dilihat. Namun dia masih keliru sama ada pernah mereka bertemu atau sengaja akalnya mahu bermanja dalam kekalutannya mengejar masa.

Budak itu macam pernah aku jumpa. Tapi di mana

Lazim meninggalkan sejenak wajah remaja lelaki yang ditemuinya di kolam renang tadi. Dia lebih bernafsu memikirkan soal Ajai dan

Cikgu Isa. Besok dia akan ke Kampung Kelipuk

sekali lagi. Di sana pasti ada cahaya yang dapat menyuluhi zulmat fikirannya.

Datuk Murad juga perlu tahu hal sebenar. Tapi, bagaimana caranya aku nak luahkan Terkejut pula dia nanti.

Lazim terus melayan emosi batinnya. Dia faham benar kemelut dalaman yang dibebaninya perlu diluahkan. Sekurang-kurangnya, Datuk Murad tahu betapa dia pernah mengharungi memoir silam yang berkelok. Untung-untung, orang besar itu akan membantu. Paling tidak pun pasti dia akan diberi cuti demi melunaskan masalah peribadi.

Apakah agaknya yang dibuat Ajai sekarang Lazim terus-menerus dihujani rasa rindu kepada Ajai. Biarpun belum pernah bersua, tetapi kejeleketan antara mereka makin terasa.

Eh, bukankah dia satu kelas dengan Kameena Ya, aku tidak silap. Jadi, mereka akan menduduki peperiksaan PMR tak lama lagi.

Lalu dia teringatkan Kameena yang gebu itu. Sejak beberapa bulan lalu, gadis itu semakin berat mulut. Bukanlah disebabkan dia tekun belajar, cuma cara pergaulannya sedikit berbeza. Dahulu memang dia seorang yang manja. Tetapi kini dia lebih mudah tersenyum daripada bersungut yang bukan-bukan.

Datuk Murad juga sedar akan kelainan anaknya itu. Pernah sekali mereka bersembang tentang anak itu, ternyata bapanya lebih awal mengesani perilaku Kameena yang disifatkan sebagai sudah matang. Yang menariknya, Kameena juga makin akrab dengan programprogram agama di televisyen. Dia semakin rajin beribadah. Sejak dua menjak ini, dia juga sudah mula berpuasa sunat. Katanya, puasa boleh menghalangnya berbuat dosa selain dapat menambah beban pahalanya kelak.

Lazim tersengih mengenangkan perubahan drastik Kameena. Di hatinya, dia berhasrat Ajai juga seperti Kameena. Walaupun tanpa kasih ibu bapa, tidak bererti dia terlepas dari kehidupan beragama. Melainkan....

Ya, Allah. Minta dijauhkan. Jika dia bukan Islam, sudah pasti akulah yang akan menanggung dosanya. Aku dah berjanji kepada ibunya dahulu. Oh Tuhan, selamatkanlah budak tu.

Sedar tidak sedar, dia sudah pun tiba di Putrajaya. Datuk Murad telah sedia menantinya di bawah pokok palma. Dada Lazim mengombak.

Datuk Murad terus masuk ke dalam kereta tanpa memberi peluang kepada Lazim untuk membantu membuka pintu.

Cepat jalan. Kita ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Ada perasmian Pesta Pantun Institut

Pendidikan Guru peringkat kebangsaan. Ayuh. Lazim terdiam. Hairan tidak dipersalahkan.