TORA DATANG LAGI - 25
Pada pukul 5.17 petang, bertarikh 3 Ogos 1996, seluruh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia telah terputus bekalan elektrik selama beberapa jam. Tragedi ini berlaku kerana talian transmisi yang terletak Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu mengalami trip sehingga menyebabkan kesemua stesen-stesen janakuasa di Semenanjung Malaysia terhenti beroperasi. Bekalan elektrik seluruh Semenanjung Malaysia kembali normal pada pukul 11 malam.

Gangguan bekalan elektrik seperti ini adalah kali ketiga berlaku di dalam tempoh 4 tahun selepas tahun 1992, di mana pada tarikh 29 September 1992, satu Malaysia telah bergelap kerana terputus bekalan elektrik yang diakibatkan daripada panahan kilat pada transmisi dan telah mengakibatkan kegagalan pada sistem transmisi dan pengagihan elektrik. Namun tragedi bekalan elektrik terputus pada 1996 adalah yang paling terburuk dalam scene karen-karen.

Berikutan itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk membenarkan 5 syarikat penghasilan tenaga milik swasta untuk bersama-sama kerajaan dalam industri elektrik ini. Saham dan prestasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) jatuh merudum selepas tragedi ini.

Bagi kawasan kampung atau luar bandar, terputus bekalan elektrik adalah satu perkara yang kerap terjadi tidak mengira siang atau malam, tanpa perlu pun menunggu talian transmisi yang terletak Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka trip. Boleh dikatakan dalam sebulan, pasti juga pernah berlaku sekali dua bekalan eletrik terputus. Setiap kali terputus, masa yang perlu ditunggu untuk tenaga elektrik kembali pulih seperti biasa juga boleh tahan lamanya.

Bekalan elektrik yang terputus pada waktu siang tidaklah sangat memberi kesan yang ketara kepada setiap orang melainkan ketiadaan kuasa kipas untuk menyejukkan udara. Rata-rata orang akan keluar dari rumah dan pergi berehat mengambil angin di bawah pokok.

Bekalan elektrik yang terputus pada waktu malam pula sangatlah diraikan oleh kanak-kanak. Ianya bagaikan satu pelepasan diri dari sebarang aktiviti yang tidak digemari seperti membuat kerja sekolah ataupun mengaji Al-Quran. Ketika setiap orang tua sibuk mencari lilin dan lampu suluh, kanak-kanak akan berkumpul merancang dan menyusun aktiviti.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ketika terputus bekalan elektrik adalah:

Bermain bayang-bayang dengan jari dan tangan.

Bermain api lilin.

Bermain sembunyi-sembunyi.

Bermain teka-teki.

Berkongsi cerita seram.

Apabila elektrik telah kembali disambung, setiap kanakkanak akan berebut-rebut untuk meniup api lilin sambil menyanyikan lagu tema hari jadi.