Sahih. Cikgu Muhammad ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Caruk Puting, sekolah yang terletak sedikit dalam dari jalan besar menuju ke Maran. Masih dalam daerah Temerloh, tetapi kejauhan di hujung persempadanan Chenor.
Kita kena mengemaslah nampaknya, Leman jangan lupa letak buku-buku kamu dalam kotak dan tandakan dengan nama kamu. Mula dari sekarang, dua minggu lagi kamu akan dapat kawan-kawan baru.
Leman mengangguk antara setuju dan tidak. Mengikut sahaja kali ini.
Esoknya di kelas, sudah pun diketahui oleh seluruh rakanrakan. Nurul paling utama yang menampakkan sedih-sedih di wajahnya sedang Bahari juga mencuka seribu bahasa.
Kau tulis surat pada aku Leman, nanti aku beri alamat, kata Nurul.
Leman mengiakan sahaja. Malas mahu mengambil pusing halhal pindah randah. Hatinya masih remuk ditinggalkan Faduli selama-lamanya, kini dia pula perlu pergi meninggalkan Pasir Rawa. Tanah tempat dia mengenali Faduli dan Bahari. Tanah indah yang punya sungai penuh erti menyambung semangat jiran dan penduduk yang saling bersatu padu. Tanah yang tidak tinggi, tidak rendah sama dengan keramahan budi dan kepetahan budaya masyarakat. Semuanya lengkap.
Sedang kawan-kawan sekelasnya bersahut-sahut membuat bising, Leman kembali duduk di meja. Menulis lagi tentang perpisahan. Kali ini untuk kehidupan.
Waktu berjalan. Dan pada setiap tambahan satu detik, satu detik lagi akan ditinggalkan.
Pada setiap seorang kawan baru aku temui, seorang kawan lama aku tinggalkan.
Yang kekal hanya kasih sayang. Kenang-kenangan. Serta setiap satu memori yang Tuhan cipta tanpa berzahir apa-apa.
Hanya ada dalam kepala.
Untuk teruskan hidup, kecapi bahagia.
Leman 2 Anggerik.