Dalam diam, dia sedar semacam tercipta satu permusuhan. Ada orang yang benci kepadanya. Dia dapat merasakan kebencian mereka. Dia tahu Shamila memang tidak sukakan dirinya sejak pertama kali bertemu. Dia juga tidak disukai oleh Puan Saniah, bekas pembantu peribadi Dato Emmer. Puan Saniah menganggap Kharlissa merampas jawatannya.
Sebaik tamat cuti bersalin yang panjang lebih kurang 60 hari, Puan Saniah kembali bekerja. Malangnya dia ditukarkan kebahagian lain oleh Dato Emmer. Lelaki itu membuat keputusan untuk mengekalkan Kharlissa dengan jawatan sebagai pembantu peribadinya. Malah Kharlissa sudah pun mendapat surat pengesahan dalam jawatan dengan kenaikan gaji yang tinggi.
Wah, cantiknya baju kurung tu! Kharlissa bercakap sendiri kala dia terpandang sehelai baju kurung warna putih bersulam labuci yang dipakai oleh patung di dalam cermin.
Kharlissa berdiri sejenak di hadapan butik itu, sambil matanya memerhati dengan pandangan jinak. Dia tidak pernah memiliki baju kurung. Selama ini dia sentiasa memakai skirt ketat ataupun seluar panjang. Entah mengapa, tiba-tiba dia punya keinginan untuk mengenakan baju kurung. Boleh juga dipakai pada hari Jumaat, bisik hatinya.
Kharlissa masuk ke dalam butik. Kehadirannya segera disambut oleh seorang pembantu butik. Kharlissa membelek-belek baju yang ada di situ. Dia tertarik dengan dua helai baju kurung Johor yang cantik berwarna putih dan merah. Lalu dia membeli kedua-duanya sekali. Kebetulan keesokan harinya adalah hari Jumaat. Dia mengambil keputusan untuk mengenakan baju kurung merah darah yang bersulam dengan manik warna perak.
Memang warna merah itu amat menyerlah, kontras dengan kulitnya putih melepak. Kharlissa berdiri lama di hadapan cermin, memerhati batang tubuhnya yang disalut dengan baju kurung merah itu. Dia tersenyum gembira, tidak sangka baju itu sangat cantik terletak di badannya yang langsing.
Lalu baju kurung itu dilengkapkan dengan selendang panjang, yang diletakkan di atas bahu. Kharlissa bergerak keluar rumah dan terus menghala ke lif. Dia sempat menjeling rumah Khairul Rasheed yang kelihatan berkunci rapat. Lelaki itu sudah keluar lebih awal untuk ke tempat kerja.
Setiap lelaki yang terserempak dengan Kharlissa memandang dua kali ke arahnya. Kharlissa tersenyum, senang hati kerana dia membeli baju dan warna yang tepat untuk digayakan pada hari Jumaat yang cerah itu.
Dato Emmer turut memuji kala dia melihat Kharlissa masuk ke biliknya awal pagi itu.
Wow! Liss... You nampak berseri-seri!
Terima kasih Dato, balas Kharlissa dengan lembut dan tersenyum manis.
I ada meeting kat Putrajaya hari ni kan tanya Dato Emmer meminta kepastian.
Ya, Dato. Jam tiga.
Nanti you ikut I pergi meeting kat sana. You dah siapkan semua kertas kerja untuk presentation tu You yang akan buat pembentangan tu nanti. I hope everything is ready, kata lelaki itu sambil memandang Kharlissa.
Okey, Dato semua dah I siapkan.
Bagus, Dato Emmer mengangguk.
Kharlissa keluar dari bilik lelaki itu, kembali ke mejanya.
Tepat jam dua petang, mereka sudah pun berangkat ke Putrajaya. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam. Lebih baik bertolak awal supaya tidak terlewat bagi menghadiri mesyuarat penting.
Kharlissa duduk berdua sahaja di kusyen belakang kereta Mercedes Dato Emmer. Sesekali mereka berbual tentang hal-hal remeh. Dato Emmer bertanya apakah Kharlissa dan Khairul Rasheed sudah merancang untuk berumah tangga.
Belum lagi Dato. I nak enjoy life sebagai orang bujang. Tapi Kay macam tak sabar nak bawa I jumpa keluarganya. I yang tak mahu! Maksud I belum masanya.
Keluarga mereka orang yang baik-baik. You takkan menyesal kahwin dengan Kay. Mereka orang senang, baik dan dihormati masyarakat.
Tapi Kay tak suka cerita pasal keluarganya, jadi tak banyak yang I tahu.
Dato Emmer tertawa.
Kebanyakan orang lelaki memang macam tu. Tak suka cakap banyak. Kami sebagai lelaki sejati lebih banyak action dari bercakap. Kan ada pepatah, actions speak louder than words.
Dato kenal ke dengan kakak angkat Kay yang namanya Linda tu
Apa pula tak kenal. Cantik orangnya. I kenal dia sebelum dia kahwin dengan Martin lagi. Tapi ada sesuatu yang pelik tentang kakak angkat Kay tu
Apadia
You tahu, I kenal dengan Dato Salihin tu sejak muda lagi. Kami sekeluarga kerap datang rumah dia, tapi sekali pun dia tak pernah sebut pasal Linda. Linda tu tiba-tiba saja muncul dalam keluarga Kay. Dato Salihin memperkenalkan dia sebagai anak angkat pada semua rakan-rakan rapat. Anak angkat yang bukan dipelihara sejak kecil. Tapi datang dalam keluarga tu semasa dia sudah dewasa, tak silap I, dia pernah kahwin sebelum tu... cerita Dato Emmer panjang lebar.
Kharlissa setia mendengar.
Sebab dia cantik, semua orang pun suka. Ramai juga di kalangan kawan-kawan Dato Salihin yang mahu memperisterikannya. Tapi dia pilih Martin, seorang ahli perniagaan yang kaya raya, orang Amerika. Kay tentu ada cerita pasal suaminya yang telah dibunuh tu Dia tinggal di New York. Baru beberapa bulan ni balik Malaysia lepas suaminya meninggal. You belum pernah jumpa dia
Kharlissa menggeleng. Tiba-tiba rasa teringin pula hendak kenal dengan wanita yang menjadi kakak angkat Khairul Rasheed. Kata Dato Emmer orangnya cantik. Sudah kerap kali Kharlissa mendengar cerita tentang wanita ini tetapi tidak pernah timbul keinginan untuk mengenalinya. Namun selepas mendengar cerita Dato Emmer, hati Kharlissa berubah. Hatinya melonjak ingin mengenali Linda.
Kalau dia nak kat I... I pun suka kat dia. Tapi I dah kahwin dengan Datin. Masa tu takut nak pasang dua. Mati I, kena gulai.
Kharlissa tertawa kecil mendengar kata-kata Dato
Emmer.
I dulu kahwin muda, umur dua puluh satu dah ada anak, kata lelaki itu mengubah haluan perbualan.
Lepas tu sibuk pula dengan perniagaan. Bila dah tua macam ni dah tak boleh enjoy lagi. Banyak perkara yang difikirkan. Kalau mati tanpa amalan pasti menyesal tak kesudahan.
Entah mengapa Dato Emmer menyebut tentang kematian. Kharlissa merasakan jari-jarinya mulai berpeluh walaupun di dalam kereta itu begitu dingin. Hembusan penghawa dingin sentiasa ada, hidup dan menebarkan kedinginan ke seluruh ruang dalam kereta.
Masa muda dulu kurang amalan. Sebenarnya rasa macam dah penat nak uruskan perniagaan. Tapi sebab tak ada orang yang benar-benar boleh dipercayai untuk terajui syarikat, I terpaksa teruskan juga. Ikutkan hati nak berehat, dah tak larat. I perlu masa untuk diri sendiri dan Tuhan. I nak pergi Mekah kalau diizinkan Allah.
Macam mana dengan adik Dato, Encik Ismael Dia tak boleh ambil alih
Dato Emmer menggeleng, Tak boleh. Hancur semuanya kalau dia yang ambil alih.
Menantu Dato, Encik Hamdan pun ada karisma.
I bukan nafikan kebolehan Hamdan, tapi kalau boleh I mahu anak-anak I ataupun saudara-mara I yang benar-benar layak warisi syarikat. Sebab modal pertama I masa nak mulakan perniagaan ni datang daripada harta pusaka orang tua I.
Kalau macam tu, pasti Encik Ismael ada hak yang besar dalam syarikat.
Sayangnya dia tak ada tokoh langsung. I kesiankan dia sebab tu I bagi dia jawatan pengurus pemasaran tu, tapi kebanyakan kerja dibuat oleh orang bawahannya.
Kharlissa diam. Hmmm, mungkin juga Encik Ismael marah pada Dato Emmer kerana dia tidak berpeluang untuk jadi Ahli Lembaga Pengarah. Shamila sendiri salah seorang pengarah syarikat. Menantu Dato Emmer juga memegang jawatan ahli lembaga pengarah dan ada sedikit share yang diberikan Dato Emmer. Tapi mengapa adiknya sendiri tidak mendapat sebarang hak dan keistimewaan.
Jadi, mungkin Encik Ismael yang merancang untuk membunuh Dato Emmer Atau mungkin juga bapa saudara isteri keduanya yang sakit hati. Bapa saudara isteri muda Dato Emmer hanya menjadi seorang pengawal keselamatan.
Dato, I bukan nak mengajar Dato tapi apakah Dato ada tulis wasiat tentang siapa yang bakal menerajui syarikat sekiranya Dato tiada nanti
Dato Emmer memandang wajah Kharlissa sejenak, kemudian tersenyum kecil.
I belum buat apa-apa wasiat. Memang I ada
fikirkan tentang hal itu. You tahu I ada dua orang isteri
Ya, I ada dengar Dato ada dua orang isteri, akui Kharlissa.
Terlanjur you dah sebut hal ini, nanti you tolong hubungi peguam. I nak bincang dengan peguam I pasal pembahagian harta dan wasiat. Manalah tahu tiba-tiba I mati mengejut. Ajal dan maut kita tak tahu, kata Dato Emmer dengan wajah serius.
Kharlissa menggigit bibirnya dengan kuat. Benar, tiada sesiapa yang tahu bilakah dia akan mati.
Okey Dato. Nanti I akan hubungi Encik Nasir.
Lelaki itu adalah peguam yang dilantik oleh syarikat Dato Emmer. Kharlissa pernah bertemu dengan lelaki itu beberapa kali semasa dia datang bertemu dengan ketuanya itu.
Beberapa hari kemudian Encik Nasir datang ke pejabat Dato Emmer. Lelaki itu duduk lama di dalam bilik kerja Dato Emmer. Mereka berbincang tentang pembahagian harta dan wasiat. Hal itu menjadi rahsia paling sulit. Tiada sesiapa pun tahu apakah Dato Emmer sudah pun membuat keputusan untuk menyerahkan jawatannya sebagai Pengarah Urusan Syarikat. Hanya Encik Nasir yang tahu siapakah yang bakal memegang jawatan teratas. Dan tiada sesiapa pun juga tahu siapa yang bakal kecewa dengan mendapat bahagian paling kecil.
Encik Nasir tersenyum ke arah Kharlissa semasa dia berjalan keluar dari bilik lelaki itu. Kharlissa membalas senyumannya tanpa sebarang prasangka. Dia mengaggap senyuman itu ikhlas. Keikhlasan dibalas dengan keikhlasan.
SUDAH lama Kharlissa tidak menerima bungkusan daripada Maxy. Malam itu dia mendapat satu lagi nombor telefon bimbit baru. Kharlissa sudah menyimpan dua telefon bimbit. Dia tidak tahu berapa banyakkah lagi telefon yang akan dikirim Maxy. Kenapa lelaki itu amat takut untuk memberikan Kharlissa alamat mel elektronik sahaja
Apa khabar, Maxy tanya Kharlissa sebaik sahaja dia mendengar suara lelaki itu.
Carra, kau masih belum menjalankan tugas yang aku pinta
Belum Maxy. Aku rasa aku takkan sanggup
lakukannya. Dia lelaki yang baik.
Aku tak peduli. Kenapa kau bersimpati dengan dia
Aku semakin mengenali hati budinya Maxy. Kenapa orang baik sepertinya harus dianiayai
Jawapan tu bukan ada padaku, Carra. Sorry.
Kharlissa diam. Dia semakin rasa tidak selesa apabila berbual dengan Maxy. Kharlissa rasa janggal yang amat sangat. Dia tidak kenal lagi siapa Maxy selepas mereka berpisah secara total. Jika boleh dia tidak ingin Maxy menghubunginya lagi dengan menghantar bungkusan demi bungkusan.
Kau ada berkawan dengan sesiapa sekarang tanya Maxy.
Kenapa Aku tak boleh berkawan dengan lelaki
Lebih baik kau putuskan hubungan kau dengan lelaki tu, Carra, kata Maxy dengan nada tegas sekali. Kenapa aku harus putus dengannya
Dia merbahaya.
Aku rasa dia orang baik. Kenapa aku harus putus dengan lelaki sebaik dia
Sebab dia orang baik, kau harus tinggalkan dia. Kau tak sesuai berkawan dengan dia. Kau bukan orang yang baik. Kau dah lupa siapa diri kau Carra Kau tak boleh kahwin dengan dia! Kau memang tak boleh bahagia dengannya. Kau ingat subjek terakhir yang kau bunuh Suami kakak angkat dia! Lebih baik putuskan hubungan kau dengan dia secepat mungkin! Maxy cuba membakar.
Max! Aku dah jemu kau sentiasa atur hidup aku! Sampai bila kau nak atur hidup aku Aku dah cukup dewasa. Aku tak perlukan kau untuk menunjukkan apa yang betul dan apa yang salah, Kharlissa mulai hilang akal. Dia tidak suka lagi diarah-arah.
Okey, aku tahu kau dah cukup dewasa. Tapi lelaki tu akan hancurkan hidup kau! Percayalah! Suatu hari nanti kau akan berterima kasih pada aku. Kau akan menyesal kalau kau teruskan hubungan kau dengannya. Kau akan menyesal, Carra! Maxy menengking lalu terus memutuskan panggilan.
Kharlissa mencampakkan telefon bimbit itu ke lantai. Dadanya rasa terbakar dengan kemarahan. Dia merengus perlahan, bercampur baur antara rasa marah dan pilu.