Dataran ini masih sama macam yang aku ingat dahulu. Aku sengaja berhentikan kereta di tebing jalan. Aku nyalakan rokok, dan sandar seorang diri di tepi kereta. Mata aku tepat memandang ke arah dataran ini yang telah menyimpan banyak kenangan. Dataran Merdeka ini sudah sepatutnya ditukar namanya jadi Dataran Rakyat. Di sini, setahun yang lalu, berkampungnya kami menuntut pelbagai perkara. Di sini, aku bertemu dan mencipta rakan. Di sini, aku bertembung dan mencipta musuh juga. Di sini,; tapak ini, banyak mengubah hari-hari esok aku.
Dalam malam yang sunyi, aku kutip balik memori-memori yang masih segar. Tak terasa bahawa sudah hampir setahun sejak dataran ini jadi tempat tinggal kami.
Aku teringat kisah sebuah malam antara malam-malam yang cepat benar berlalunya. Datang seorang tua jauh dari Pasir Putih, Kelantan. Sehari lepas diserang anjing-anjing gila yang datangnya entah mana, tuannya entah siapa; seorang pak cik ini bergegas turun ke Kuala Lumpur dengan anaknya. Tidak banyak cakap si tua itu. Sampai sahaja ke dataran, matanya mencaricari. Nampak sahaja aku, berlari dia menerpa. Cari aku rupanya. Mampir sahaja,
ditarik dan diperiksanya badan aku; cari kalau-kalau ada luka atau cedera. Aku okay. Tak ada kecederaan. Ramai yang membantu aku malam itu. Dengan mata yang sudah berair, merah menahan tangis, pak cik itu tiba-tiba jadi emosi. Dimaki hamunnya anjing-anjing yang menyerang kami malam sebelumnya. Sayang benar dia. Kalau pakcik ada malam tu, sudah pakcik belasah semuanya! Inilah manusia-manusia yang tak ada akal! Apa yang didengkinya sangat dekat budak-budak muda ni!. Terima kasih pakcik. Terima kasih. Aku genggam tangan dia dan berkali-kali aku usap belakangnya supaya dia dapat tahan api dalam hati itu.
Pak cik itu Haji Ismail namanya. Esoknya Haji Ismail datang lagi, datang lagi, datang lagi, datang lagi, dan begitulah sehingga hari terakhir kami di situ. Setiap malam katanya, dia menunggu anjing-anjing tempohari datang semula. Mahu diajarnya mereka secukupnya. Dan tetaplah dia di dataran ini sampai malam terakhir. Lepas pada malam itu, aku tak tahu ke mana perginya dia. Terakhir dia beritahu: kita jumpa semula 28 haribulan nanti, Inshallah...
28 April tiba. Hari yang memang telah ditunggu oleh sekian ramai manusia yang punya akal dan perasaan. Tak perlulah aku gambarkan betapa ramai, kita semua tahu perihal 28 April ini. Segalanya aman dan baik, sehinggalah bila soldadu bertopi merah upahan hegemoni membunyikan loceng seolah sudah sedia berperang dengan rakyat, segalanya jadi terbalik. Dalam kekecohan dan kekeruhan yang datang tiba-tiba, entah bagaimana tiba-tiba aku teringat Haji Ismail. Aku cuba cari dia, tapi dengan lautan manusia yang sebesar itu, tak mungkin aku jumpa. Teman lain mulai susun langkah. Bertempur guna segala kudrat yang ada. Aku tak boleh ketinggalan. Mencari Haji Ismail dalam lautan manusia, dalam masa yang begitu, tak mungkin dapat jumpa. Tak apa lah. Aku doakan dia selamat dalam keadaan yang serba gila ketika itu.
Sehari dua selepas 28 April, dalam keadaan masih lagi tubuh letih dan sakitsakit, aku bangun pagi itu seperti biasa. Aku selak akhbar yang sedia ada di atas meja. Entah siapa yang beli agaknya. Tiba-tiba, aku tersentak. Aku kenal muka orang ini. Haji Ismail! Gambarnya terpampang di dada akhbar! Aku cuba cari semula kalau-kalau aku ada menyimpan nombor telefonnya. Sayang! Pak cik ni tak pakai telefon bimbit! Gambar anaknya juga ada sekali. Ternyata memang anak-beranak ini betul-betul benci kepada penguasa. Entah apa yang dibuatnya mereka sampai kedua-duanya masuk senarai orang-orang yang dikehendaki. Seharian itu aku cuba cari-cari kalau ada rakan-rakan aku dari Kelantan yang kenal orang tua ini. Tak juga aku jumpa. Aku teringat kembali, bila ketika aku dan rakan-rakan ditimpa musibah, dari jauh dia datang untuk beri kekuatan. Kesal rasanya, bila dia pula diancam, mahu ditangkap dan disumbat ke dalam jeriji di rumah pasung, aku tak dapat balas kembali.
Apa khabar agaknya Haji Ismail sekarang Moga insan mulia bernama Haji Ismail dari Pasir Putih itu selamat dan dilindungiNya. Dan aku masih lagi berharap dapat aku jumpa kembali orang tua itu.
Rokok aku habis. Aku pandang keliling aku. Ramai lagi yang berada di sini. Melepak dan bersembang tentang masalah masing-masing. Ada yang bermadu kasih. Semoga bahagialah kamu berdua. Maaflah kalau sepanjang kami duduk di sini dahulu, kamu tak dapat bercanda dan bercumbu macam hari ini. Aku masuk semula ke dalam kereta, hidupkan enjin, dan tinggalkan tempat ini perlahan-lahan. Aku curi pandang sekeliling sekali lagi, mana tahu kalau-kalau ternampak Haji Ismail sedang menunggu kembali anjing-anjing penguasa; kita tak tahu!
*nota tambahan: beberapa hari selepas aku dibebaskan dari Jinjang, aku bertemu dengan Haji Ismail semula.
Selebihnya, aku simpan untuk diri aku. Terima kasih pak cik!