SANG PENGUASA - 25
Pelbagai pendekatan dan cadangan yang disebutkan sebelum ini, sekiranya dilaksanakan dengan betul akan membantu penguasa baru dalam membina sebuah landasan yang kukuh. Malah, membolehkannya berada dalam keadaan selamat dan teguh untuk pemerintahan yang lebih panjang. Tindakan penguasa baru lebih diperhati ramai berbanding penguasa hasil warisan. Apabila penguasa baru kelihatan mampu memperoleh lebih ramai sokongan rakyat dan dapat mengukuhkan perpaduan mereka, itu adalah kerana rakyat melihat apa yang baik untuk mereka pada waktu sekarang, bukan melihat apa yang berlaku pada masa lepas. Malah, mereka akan berusaha sehabis baik mempertahankan penguasa tersebut walaupun terdapat beberapa perkara yang penguasa lemah dalam menguruskannya. Penguasa mendapat keagungan yang berlipat ganda dengan mendirikan kerajaan baru. Kerajaan tersebut dapat dikukuhkan dengan undang-undang, ketenteraan dan sekutu yang baik. Sebaliknya, penguasa mendapat malu yang besar kerana tidak bijaksana sehingga kehilangan takhta dan negara.

Antara penguasa yang kehilangan wilayahnya di Itali adalah Raja Naples, Duke Milan dan beberapa orang yang lain. Antara kelemahan mereka adalah berpunca daripada sistem ketenteraan yang telah kita bincang sebelum ini. Seterusnya, terdapat sebahagian daripada mereka telah dimusuhi oleh rakyat. Sekiranya mereka tidak dimusuhi oleh rakyat pun, mereka masih tidak dapat mengawal golongan bangsawan. Tanpa kelemahan-kelemahan ini, penguasa mempunyai kuasa untuk mengawal pasukan tentera dengan baik di medan peperangan.

Philip dari Macedonia, bukan ayah kepada Alexander, tetapi yang ditakluk oleh Titus Quintius, tidak mempunyai banyak wilayah kekuasaan jika dibandingkan dengan bangsa Rom dan Greece yang menyerangnya. Tetapi kerana kemampuannya dalam mendapatkan sokongan rakyat dan mengawal golongan bangsawan membuatkannya mampu bertahan bertahun-tahun dalam peperangan. Walaupun pada akhirnya dia kehilangan beberapa wilayah jajahan, dia masih mampu mengekalkan kerajaannya.

Oleh sebab itu, para penguasa patut menyalahkan kelalaian mereka apabila kehilangan wilayah yang telah lama dikuasai. Pada waktu aman, mereka tidak pernah menjangka apa-apa perubahan yang bakal berlaku. Apabila datangnya huru-hara, mereka hanya fikir untuk melarikan diri, bukan mempertahankan diri, dan hanya berharap rakyat akan membenci keangkuhan penakluk yang menakluk mereka.

Pendekatan ini mungkin bagus apabila cara lain gagal dilaksanakan. Tetapi Tuan tidak patut mengabaikan mana-mana manfaat yang dapat diperolehi daripada pelaksanaan yang gagal tersebut. Tidak ada orang yang berhasrat untuk jatuh kerana percaya akan ada orang lain akan mengangkatnya kembali. Sekiranya perkara itu berlaku pun, Tuan tidak akan selamat kerana pembebasan yang dilakukan oleh mereka tidak bergantung pada Tuan.