Definisi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
Dalam tinjuan tidak rasmi yang dilakukan terhadap rakan, warga kampung, pekerja kerajaan, serta pekerja awam yang tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyelidikan sains mahupun sosial, kebanyakan orang awam beranggapan bahawa tempoh R&D hanya memakan masa beberapa tahun atau setahun dua sahaja. Malah ramai yang menganggap R&D hanya melibatkan teknologi sains sahaja.
Mengikut definisi daripada Jabatan Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran di bawah seliaan kerajaan United Kingdom, R&D diistilahkan kepada dua. Pertama dengan menjalankan aktiviti untuk membangunkan produk baru (paten dan hasil komersial) dan definisi yang kedua adalah untuk menghasilkan penemuan, mewujudkan pengetahuan baru bagi mendedahkan dan membolehkan pembanggunan terhadap produk baharu, perkhidmatan, proses, servis, dan pengetahuan itu sendiri.
Penjelasan mengenai definisi pertama, saya akan cuba terjemahkannya di dalam pembangunan telefon pintar. Pembangunan telefon pintar adalah hasil daripada kajian santis terdahulu yang membawa kepada teknologi tertentu. Seperti penemuan gelombang radio oleh James Clerk Maxwell pada tahun 1867. Namun begitu, yang membawa revolusi dalam telekomunikasi dengan menggunakan gelombang radio bermula pada tahun 1890 oleh Gulielmo Marconi. Telefon pintar juga dilengkapi dengan teknologi GPS (Global Positioning System) yang sebenarnya dibina lebih 70 tahun dan teori relativiti Einstein menyempurnakan sistem tersebut.
Untuk pengetahuan orang awam, mana-mana syarikat telefon pintar sebenarnya tidak pernah menjalankan kesemua penyelidikan terhadap komponen didalamnya. Contohnya, komponen chipset banyak dibangunkan oleh Samsung, Apple, Intel, Qualcom dll, Komponen perlindungan skrin sesentuh dibangunkan oleh syarikat Corning, Moshi, Rapsol dll. Komponen skrin sesentuh pula dibangunkan oleh Synaptics, 3M, Alps Electric, ELO Touch Solutin dll. Maka, komponen yang dihasil daripada pelbagai pusat penyelidikan digabungkan dan disusun untuk membina peranti telefon pintar.
Penjelasan definisi kedua saya boleh beri contoh kepada pengkajian ubat paracetamol atau dikenali masyarakat sebagai Panadol. Kajian untuk sejenis ubat ini sahaja sudah mengambil masa selama 64 tahun. Pada tahun 1886, A. Cahn dan P. Hepp mengusulkan bahawa Acetanilide (sejenis bahan kimia pepejal yang tidak berbau) boleh digunakan dalam perubatan. Tetapi, ianya masih tidak boleh dipasarkan untuk kegunaan ramai kerana kesan toksik dari bahan kimia tersebut. Seterusnya berbagai kaedah untuk pembuatan paracetamol supaya kurang toksik kepada manusia diteruskan oleh saintis lain. Penerbitan jurnal kajian untuk pemprosesan sahaja sudah melibatkan beratus-ratus saintis seluruh dunia bagi menyempurnakan produk paracetamol. Kajian terhadap subjek haiwan, subjek manusia, kesan jangka panjang, penelitian terhadap air kencing, pemerhatian terhadap sel, kadar ketoksikan, kesan positif, kesan negatif dilaporkan dalam masa bertahun-tahun. Segala keputusan kajian saintis dan pengetahuan daripada kajian lama adalah sebagai panduan untuk saintis masa hadapan di dalam penyeldikan.
Malah, pada tahun 1950, paracetamol dipasarkan di Amerika Syarikat tetapi ditarik kembali setahun kemudian kerana terdapat tiga pesakit dilanda penyakit darah. Berbagai ujian dilakukan dan seterusnya pada tahun 1953 barulah paracetamol dipasarkan semua setelah berbagai ujian lanjut yang ianya selamat untuk kegunaan awam.
Jadi setiap kajian yang dijalankan semenjak tahun 1886 sehingga 1950 hanyalah untuk merapatkan jurang ilmu dan seterusnya menghasilkan ubat yang bernama paracetamol.
Bagaimana Penyelidikan Menjadi Pembangunan
Untuk lebih spesifik, bahagian ini akan merungkai bagaimana penyelidikan aplikasi popular di dalam telefon pintar seperti sistem kedudukan sejagat atau global positioning system (GPS) dikaji dan dibangunkan. Sejarah awal penyelidikan GPS boleh mulai dengan idea William J. OBrien pada tahun 1936, dimana dia mengusulkan penetapan kedudukan objek melalui perbandingan fasa penghantaran gelombang berterusan atau bahasa mudahnya untuk mengenal pasti kedudukan sesuatu objek yang tetap mahupun bergerak melalui penghantaran isyarat gelombang. Ideanya diminati oleh tentera Amerika Syarikat namun dihentikan pada tahun 1939 kerana terlalu kompleks. Namun hasil penyelidikannya diteruskan oleh saintis yang lain.
Situasi yang berlainan tetapi berkait rapat dengan pembangunan GPS adalah mengenai peristiwa sewaktu satelit buatan manusia pertama (yang dinamakan sebagai Sputnik) dilancarkan pada tahun 1957. Para saintis yang ditugaskan untuk menentukan kedudukan satelit menghadapi masalah dimana kiraan untuk pengesanan isyarat satelit tersebut didapati berbeza dan lambat walaupun menggunakan rumus Doppler Effect. Pengiraan yang berat dan mendalam diperlukan untuk menentukan kedudukan satelit didalam orbit secara tepat. Masalah itu diselesaikan oleh penemuan kajian Friedwardt Winterberg pada tahun sebelumnya (1956). Friedwardt Winterberg mengusulkan hasil penyelidikannya yang menguji teori relativiti terkenal Einstein. Dengan menggunakan jam atom yang berada di dalam dalam satelit tiruan yang mengorbit bumi, dia mendapati ianya lebih pantas 38 micro saat sehari oleh pemerhati dibumi. Penjelasan mudahnya, jam dibumi lebih cepat 0.038 saat sehari dari jam di angkasa. Walaupun kecil, tetapi ianya mencipta ralat yang besar kepada situasi tertentu, terutama untuk pengesanan koordinasi GPS. Hasil kajian itulah yang menyempurnakan sistem GPS moden yang sedia ada walaupun sebenarnya kajiannya bukanlah untuk menyelesaikan masalah GPS, tetapi untuk mengkaji teori fizik kuantum itu sendiri.
Sistem GPS yang berteraskan satelit pertama oleh Makmal Penyelidikan Naval pada tahun 1967. Selanjutnya berpuluhpuluh satelit dilancarkan untuk penyelidikan GPS yang melibatkan dana berbilion-bilion USD, tetapi masih belum mampu mencipta sistem GPS yang sempurna. Akhirnya, pada tahun 1995, tentera udara Amerika Syarikat mengumumkan bahawa mereka telah berjaya mencapai sistem GPS yang sempurna dan tepat. Beribu-ribu penyelidikan GPS diteruskan oleh beratus pusat penyelidikan untuk kegunaan orang awam. Pada tahun 2004, Syarikat Qualcomm mengumumkan mereka berjaya menghasilkan GPS untuk kegunaan telefon mudah alih, dan sehingga kini beratus-ratus lagi penyelidikan masih diteruskan untuk menyempurnakan dan memudahkan sistem GPS di telefon mudah alih anda. Konklusinya disini, untuk mencipta GPS di telefon mudah alih sahaja sudah mengambil masa hampir 70 tahun dengan melibatkan dana trillion Ringgit Malaysia, berpuluh ribu jurnal (pengetahuan untuk setiap masalah yang dihadapi), beribu-ribu saintis, beratus pusat penyelidikan, dan berpuluh-puluh satelit
Menyelusuri Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Malaysia.
Mengikut statistik daripada MASTIC (Malaysian Science and Technology Information Centre), sektor bisnes membelanjakan lebih kurang RM 6.8 billion iaitu 64.45% daripada keseluruhan perbelanjaan R&D di Malaysia dalam tempoh tahun 2000 sehingga 2012. Penyelidikan daripada Pengajian Tinggi berjumlah RM3.042 billion iaitu 29.76% daripada keseluruhan, manakala institut penyelidikan dan agensi kerajaan membelanjakan RM0.73 Billion atau 6.88% daripada jumlah keseluruhan.
Berbanding daripada jumlah juruteknik dan staff sokongan, penyelidik juga telah bertambah sebanyak 139.3% iaitu seramai 75,257 pada tahun 2012 berbanding 2008 yang cuma ada 31,442 penyelidik.
Namun begitu, mengikut statistik hasil produk dan teknologi tempatan yang didaftarkan, Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mencatatkan peratusan yang tinggi iaitu 88.2% (2326). Insitiut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pula ditangga ke empat yakni sebanyak 1.9% (50) berbanding syarikat swasta dan agensi kerajaan dan institut penyelidikan yang masing-masing menyumbang 5.42% (143) dan 6.71% (177).Ini menunjukkan prestasi yang beransang untuk hasil penyelidikan dari segi produk atau teknologi daripada IPTA.
Manakala prestasi dalam merapatkan jurang pengetahuan yang menjadi elemen penting dalam penyelidikan dan pembangunan, Thompson Reuters Webs of Science melaporkan penghasilan penyelidikan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 594% dalam tempoh 10 tahun (2005-2014). Berbanding dengan Singapura dan Negara Uncle Sam yang cuma mencatat pertumbuhan sebanyak 92% dan 34%. Negara seperti Cambodia, Laos, dan Brunei juga mencatatkan pertumbuhan yang memberansangkan yakni, 305%, 303%, dan 303%.
Polemik R&D Malaysia
Walaupun R&D IPTA mencatatkan penghasilan paten dan teknologi yang tinggi serta pertumbuhan yang memberansangkan dalam hasil penyelidikan, statistik yang meragukan daripada akhbar Berita Harian menyatakan kurang 2 peratus daripada 27449 penyelidikan dikomersialkan. Malah kerana statistik tersebut, akhbar tersebut menyatakan penyelidikan Universiti Awam adalah syok sendiri. Walaupun statistik yang dipaparkan oleh akhbar tersebut adalah tidak tepat, kurang pengkajian, dan tidak beretika, dimana jumlah patent yang dilaporkan semenjak 2001 adalah 109 untuk Universiti Malaya (UM). Sedangkan, senarai paten yang terdapat dalam website UM yang dilayar pada 17 oktober 2014 berjumlah 427. Saya boleh gelarkan penyelidik (wartawan) akhbar tersebut yang sebenarnya syok sendiri.
Namun, terdapat beberapa polemik penyeldikan yang harus dipandang serius. Laporan daripada Ketua Audit Negara 2013 menyatakan RM353.20 juta dana penyelidikan di bawah skim Fundamental Research Grant (FRGS grant untuk mengkaji konsep dan fundamental sains) tidak mencapai sasaran. Berdasarkan audit untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Malaysia Serawak (UNIMAS), melaporkan hanya 61% penyelidikan yang bermula tahun 2010 berjaya mencapai objektif dan dihabiskan. Manakala hanya 19% sahaja penyelidikan yang bermula daripada 2011 yang berjaya mencapai objektif dan dihabiskan. Statistik ini sebenarnya amat membimbangkan dan mencalar imej penyelidikan Universiti Awam.
Selain itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dilaporkan membeli aset bernilai RM1 juta, namun tidak digunakan langsung seperti laporan Ketua Audit Negara 2014. Alatan seperti solar dryer, alatan cerapan data, peralatan penyelidikan dan pemprosesan herba.
Akhbar Asian Sentinel juga melaporkan projek penyelidikan dan pembangunan Bioteknologi juga tidak mencapai sasaran. Sebanyak RM300 juta diperuntukkan melalui Biotech Corp untuk memangkin industri bioteknologi melalui Geran Pengkomersialan Bionexus, pengambil alihan program teknologi, dan fasiliti alatan industri. Selain itu, dana RM350 juta diperuntukan kepada NineBio Sdn Bhd untuk projek vaksin halal. Namun laporan audit 2008, menunjukkan salah urus yang berlaku dalam syarikat tersebut. Kini, syarikat itu tidak lagi berfungsi dan projek vaksin halal tidak dapat diteruskan. Malah, Inno-Biologics Sdn Bhd yang menerima dana RM93 juta juga dilaporkan oleh Audit 2014 menunjukkan kerugian sebanyak RM78 juta.
Pengarang Times Higher Education, Phil Baty mengatakan Universiti Malaysia gagal memasuki senarai tahunan kerana kelemahan dalam bidang penyelidikan. Memetik katanya kepada akhbar MalaysiaInsider,
Cabaran paling besar sebelum universiti di Malaysia benarbenar boleh pergi jauh ialah keupayaan mereka dalam bidang penyelidikan.
Ia tentang menyebarkan penyelidikan anda, melabur dan membangunkan penyelidikan, mewujudkan pengetahuan baru dan berada di barisan hadapan dalam ilmu pengetahuan baru.
Keupayaan penyelidikan Malaysia masih belum maju dan pelaburan dalam penyelidikan belum sekuat Singapura.
Tumpuan kepada pelaburan dalam penyelidikan di Singapura benar-benar membantu universiti mereka, katanya.
Selain itu, beliau turut mengatakan Tetapi, saya rasa, di Malaysia, fokusnya lebih kepada pengajaran dan pembelajaran, yang saya rasa bagus dan pastinya sangat dialu-alukan, cuma, kurang fokus pada penyelidikan.
Ramai orang rasa universiti terbaik di dunia bukan hanya melengkapkan siswazah dengan ilmu kemahiran dan menyediakan mereka untuk kerjaya, tapi memastikan idea baru dan penemuan dicipta di kampus. Ini membantu bukan sahaja universiti, tetapi juga ekonomi.
Apakah harus R&D menghasilkan paten dan dikomersialkan
Selanjutnya, terdapat banyak penyelidikan yang sebenarnya tiada nilai untuk dipatenkan atau dikomersialkan. Namun ianya sangat penting dalam penerokaan teknologi baru dan kestabilab sejagat. Contohnya seperti kajian spesifik terhadap kesan atau impak untuk sesuatu fenomena, sejarah, situasi, perancangan kerajaan, dan berbagai lagi.
Pengkajian terhadap kesan rumah hijau dari hari ke hari adalah penting untuk memberi kesedaran dan tanda aras untuk manusia berjaga-jaga dan tidak terlalu rakus mencemarkan alam ini. Bagaimana hasil kajian perubahan suhu di Antartika mahu dipatenkan Bagaimana mahu dikomersialkan Tetapi kajian itu sangat penting untuk tinjauan ekosistem malah jika dibiarkan dan tidak dipantau, manusia boleh mati begitu sahaja tanpa amaran awal.
Jika berbalik kepada fakta penyelidikan GPS di atas, hasil penyelidikan yang paling penting untuk menyempurnakan GPS adalah teori relativiti. Teori tersebut adalah cara pemikiran untuk menerangkan fenomena yang tidak boleh diperjelaskan oleh manusia. Bagaimana pemikiran tersebut mahu dipatenkan Adakah setiap orang yang memikirkannya atau menggunakan teori tersebut untuk menyelesaikan atau memperjelaskan masaalah sesuatu fenomena perlu membayar atau mendapatkan kebenaran Dan yang paling penting, bagaimana mahu memasarkan pemikiran tersebut
Oleh kerana itu, wujudnya sistem penerbitkan jurnal untuk setiap penyelidikan yang dijalankan. Beratus-ratus jurnal diterbitkan untuk membantu penyelidik akan datang untuk menyelesaikan masaalah. Jurnal itu melibatkan kajian komponen yang sesuai untuk memancarkan gelombang mengambil masa bertahun-tahun. Manakala jurnal yang lain adalah untuk menjalankan kajian komponen yang menerima pancaran gelombang dari satelit. Nah, itulah kegunaan jurnal penyelidikan, merapatkan jurang pengetahuan untuk memudahkan penyelidik akan datang. Seterusnya memberi impak maksima kepada penciptaan alat moden untuk kegunaan manusia.
Saya ambil satu contoh jurnal yang dihasilkan universiti tempatan yang bertajuk Parasit usus dalam pelbagai haiwan di Zoo Malaysia. Hasil penyelidikan tersebut bagaimana mahu dipaten atau menghasilkan produk komersial Kajian tersebut adalah untuk ilmu pengetahuan dan menjurus kepada penggunaan yang lain. Walaupun nampak remeh dan dianggap tiada impak kepada masyarakat setempat, tetapi kajian tersebut sebenarnya sangatlah penting untuk penggubalan dan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan kawalan terhadap penyebaran parasit dan penyakit berjangkit di kalangan haiwan di dalam zoo. Impak yang paling tinggi dari pengkajian tersebut adalah untuk mengelak penyakit berjangkit daripada haiwan tersebar kepada manusia itu sendiri.
Contoh lain yang umum adalah penerbitan jurnal penyelidik tempatan yang mencadangkan kaedah-kaedah untuk diguna pakai dalam sistem perladangan. Seperti penyelidikan terhadap persekitaran (seperti jenis tanah, jenis baja, jenis racun serangga, pengkajian punca penyakit, pengkajian mencegah kematian pokok, dan banyak lagi.) yang membawa kepada sistem penanaman baru untuk mengoptimumkan pertumbuhan tumbuhan. Banyak penyelidikan tersebut tidak menghasilkan paten dan hasil komersial, tetapi sebenarnya menghasilkan cara yang memberi impak tinggi untuk penghasilan tuaian yang sihat, menggandakan pengeluaran, dan seterusnya menaikkan taraf industri perladangan itu sendiri. Hasil kajian tersebut sebenarnya sampai ke orang kampung dan orang awam itu sendiri tanpa mereka sedari.
Saya cuba membandingkan hasil paten dan produk komersial seorang saintis. Stephen William Hawing, siapa tidak kenal Hampir semua warga pelusuk dunia mengenal susuk tubuh pintar yang berkerusi roda itu. Saya cuba mencari jumlah paten dan hasil produk komersial yang dihasilkan di dalam bibliografi beliau. Tetapi tidak jumpa, tidak tahulah sama ada beliau pernah menghasilkan patent dan produk komersial atau tidak. Ataupun sebenarnya memang tiada Stephen William Hawking adalah ahli akademik, dia bukan bukan seorang pereka cipta, rasanya dia pun tidak peduli tentang paten. Tetapi pencarian di enjin carian paten mendapati, jumlah paten oleh pereka cipta yang memetik atau menggunakan hasil kajian Stephen Hawking untuk mencipta produk baru adalah lebih daripada 2500 keputusan. Bermaknanya disini, satu penghasilan jurnal impak tinggi dari Stephen Hawking memudahkan pereka cipta untuk mencipta berpuluh-puluh paten.
Anak Muda dan generasi Perlapis
Penyelidikan dan Pembangunan untuk merapatkan jurang pengetahuan dan penghasilan paten dan dikomersialkan adalah sama penting. Ilmu fundamental yang dihasilkan daripada penyelidikan akan mencipta teknologi yang baru. Negara maju meletakkan disiplin ilmu fundamental di tahap yang paling tinggi sebagai asas kepada penerokaan teknologi dan inovasi. Namun begitu, penyelidikan yang membawa kepada hasil komersial dan paten tidak patut diabaikan.
Apa yang terjadi ketika ini adalah penyelidik boleh dikatakan syok sendiri. Kerana mereka menuju kepada penyelidikan jurang pengetahuan yang berseorangan tidak terarah kepada komersial dalam masa yang singkat. Dan mereka mempelajari pelbagai bidang dan meletakkan di bawah satu bumbung. Sedangkan, boleh sahaja penyelidik agensi penyelidikan dan universiti bergabung untuk matlamat yang sama.
Sebagai contoh, penyelidik syarikat Proton ingin mencipta sistem brek yang baru. Mereka boleh berkolaborasi dengan penyelidik daripada sains material untuk mencari material yang paling untuh. Selain itu, mereka juga boleh berkolaborasi dengan penyelidik hidraulik, cecair (membuat minyak brek yang baru), tube, dan berbagai lain penyelidik yang berkenaan. Hasil daripada penyelidikan kepakaran saintis yang berbeza akan menghasilkan sistem brek yang saya kira mampu menyaingi jenama brek terkemuka di dunia ini.
Selain itu, penyelidik juga haruslah cakna dengan isu semasa yang menular dalam masyarakat. Seperti produk sains palsu yang kononnya menjimatkan elektrik, kononnya mengubat seribu satu penyakit, kononnya format DNA, dan berbagai lagi. Sebagai golongan terpelajar, mereka seharusnya membebaskan orang awam daripada penindasan yang menipu orang ramai. Jika tidak, masyarakat tidak perlukan universiti. Kerana mereka boleh meneruskan hidup, pergi kerja, beribadah tanpa universiti.
Biasiswa, Pengajian Tinggi, dan Keikhlasan.
Sewaktu desas desus biasiswa akan dipotong untuk pengajian peringkat tinggi. Ramai calon Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran yang marah dan mula melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran.
Rakan saya Mohd S. Faiz mengatakan ianya sesuatu yang bagus kerana kita akan melihat orang yang jujur sahaja mahu menyambung pelajaran. Bukan kerana tidak dapat kerja, disuruh mak ayah, pandangan masyarakat, mahu gaji tinggi, serta tawaran yang mereka tidak pernah minta tetapi ditawarkan oleh Universiti disebabkan CGPA tinggi.
Kata-katanya bagi saya ada kebenaran. Malah ramai pensyarah yang saya rapat mengatakan hal yang sama. CGPA tinggitinggi, tetapi buat master/phd bukan kerana minat, tetapi lebih kepada faktor persekitaran. Tiada hati dalam bidang penyelidikan atau memaknai ilmu itu sendiri. Jadi, ramai yang terhenti setengah jalan. Namun, saya tidak pernah salahkan mereka, kerana ianya akan menjadi pelajaran yang berguna untuk mereka di masa hadapan. Cuma mereka telah menutup peluang untuk orang lain yang benar-benar ikhlas Sewaktu berita itu berlegar-legar, sejujurnya saya sangat marah. Namun apa yang bermain dalam minda saya adalah plan B untuk menampung perbelanjaan demi impian masa depan. Master dan PhD ini cuma batu loncatan untuk impian tersebut.
Saya pernah ditanya, apakah fungsi Master dan PhD yang saya nak sangat ambil ni
Saya jawab cuma padang latihan untuk menjadi penyelidik yang sebenar. Nothing special or fame about it seperti orang lain anggap.
Saya berpegang kepada quote yang saya bina sendiri daripada pengalaman, yaitu:
Jangan ingat hidup kita lebih baik daripada orang lain, dan jangan ingat hidup orang lain lebih baik daripada kita.
*(Terima kasih untuk penyelia utama saya, Assoc, Dr Vengadesh Periasamy, dan penyelia kedua saya Dr Kamran Yunus - Cambridge University. Kerana nasihat mereka berdua, quote ini menjadi pegangan hidup saya)
Jadi, saya tidak pernah rasa special atau rasa superior mempunyai kredibiliti Master atau PhD. Yang saya rasai adalah tanggungjawab yang akan digalas apabila memperolehinya nanti. Tanggungjawab kepada orang awam untuk membebaskan mereka daripada tertindas. Tertindas daripada kapitalis yang memanipulasikan ilmu untuk menipu, tertindas daripada pembohong sains palsu, tertindas daripada con-artist.
Juga, saya tidak lagi rasa terlalu kerdil mahupun tidak berguna apabila berada di kalangan orang yang lebih hebat dari saya. Kerana masing-masing ada speciality masingmasing. Kita mampu menyerlah dengan cara sendiri. Malah, mereka adalah platform untuk saya belajar banyak perkara. Seperti kata Shuji Nakamura, pemenang Nobel Prize in Physics, dia banyak kali dipandang rendah kerana tiada publication ataupun PhD ketika berlegar-legar dalam penyelidik yang mempunyai banyak publication dan pangkat yang tinggi dalam penyelidikan suatu ketika dahulu. Dia dan Profesor Ulung Dr. Harith Ahmad juga berpesan, doesnt matter where you are, where you come from, the important thing is the effort for what you want to achieve.
Penyelia saya juga berpesan benda yang sama. Kerana itu dia memilih saya walaupun CGPA saya bawah 3.00 ketika Ijazah Sarjana Muda. Apa yang dia mahukan adalah orang yang minat dan bersemangat. Walaupun saya ditidakkan beberapa kali oleh beberapa pensyarah ketika menyatakan hasrat untuk menyambung bawah mereka, saya jumpa beberapa pensyarah yang ikhlas dan jujur mahu membantu pelajar yang minat untuk menyambung pelajaran. Antaranya adalah Dr Azhan di UiTM Jengka, dan Prof Madya Dr Salleh Mohd Deni di UiTM Shah Alam. Saya sangat terhutang budi kepada tiga pensyarah ini kerana saya rasa mempunyai peluang walaupun ditolak oleh pensyarah yang lain.
Walau apa pun cabaran yang akan mendatang, saya tetap akan habiskan pelajaran demi impian masa depan. Saya nampak ramai rakan saya yang ikhlas menyambung pelajaran berkata benda yang sama dan menjadikan saya juga bersemangat untuk meneruskan perjalanan.
Kepada rakan yang mahu dan sedang menyambung pelajaran. Saya cuma mahu anda ikhlaskan hati dan tidak mensiakan peluang yang dimahukan oleh beribu orang di luar sana. Ini juga adalah pesanan untuk saya sendiri.
Biodata
Pelajar yang selama-lamanya pelajar ini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Experimetal Physics di Universiti Malaya. Selain meminati bidang sains merentasi disiplin fizik, biologi, dan kimia. Beliau juga sangat berminat dalam kesenian seperti penulisan kreatif seperti sajak, pantun, syair, cerpen, novel ilmiah, dan gemar bermain alat muzik di masa lapang. Bercita-cita ingin menjadi Michio Kaku Malaysia yang berusaha menginspirasi orang awam untuk meminati sains dan mahu menjadi penghubung antara dunia saintis dengan orang awam.