Manifestasi perjuangan merintis denai ketamadunan
manifestasi sumbangan menyusur akar
kepayahan
menggegar getar laman pendidikan guru berkualiti pemangkin kegemilangan.
Di rakit diam, di laut ketidakmahuan
dengan visi murni, guru berkualiti menyahut demi
meredah samudera ombak menguji memegang janji amanat mengibar bendera mandat mendidik anak bangsa supaya jadi insan berguna
bukan jadi penderhaka petualang murka menyanggah agama sampah melukut di nyiru bangsa
jadi pengemis di dada negara jadi penyonglap di kaki lima senja jadi penagih di laman kota.
Menjunjung aspirasi sendi bangsa mendukung dasar pendidikan negara mengelek khazanah ilmu diperkasa guru cemerlang penggilap mutiara.
Menggenggam harap, di nazam wawasan anggun sebatang lilin terus mencahaya laman keilmuan, laman pendidikan mengikis walang, memugal iltizam menabur baja perjuangan seorang pendidik, melebar sayap-sayap kesungguhan
terbang ke cakerawala, planet kejayaan.
Ke mimbar katarsis cekal beriltizam, di kebun pendidikan guru bervisi guru cemerlang guru berkualiti pemangkin kegemilangan.
Segar bakti guru di lorong cahaya guru berkualiti pemangkin kegemilangan baginya harta paling bermakna cukuplah dengan melihat anak didiknya berjaya berkolek di laut tribulasi bersampan di samudera globalisasi menapak ke pulau universiti
menjadi bangsa pemikir berkualiti membangun sumbang untuk ibu pertiwi.
Nimoiz T.Y
Gual Ipoh, Tanah Merah
Pelita Bahasa, Mei 2008