ASKAR BERJALAN KAKI - 25
Hari ini adalah hari rabu (27 Mac 2002) dan merupakan cubaan ke dua buat diriku menaiki pesawat ke pasukan baru. Kali pertama aku ketinggalan pesawat kerana kenderaan pajero yang membawa ku gagal tiba di lapangan terbang pada masa yang ditetapkan. Cuma terlambat 15 minit sahaja. Tapi ia tetap lewat namanya. Nasib baik seorang penumpang yang berada di dalam senarai menunggu mengisi kekosongan tersebut. Beliaupun dah lama menunggu giliran naik pesawat. Kelewatanku adalah rahmat buatnya

Fuh..! selamat aku, kalau tidak sudah tentu kena buat laporan dan membayar semula kos perjalanan. Untuk tidak silap lagi, kali ini aku bertolak awal ke kem Transit. Hari itu adalah hari ulang tahun aku yang ke 34. Semua berjalan lancar dan tepat jam 0715 pada 29 mac pesawat Air Asia berlepas ke destinasi yang sangat ku rindui.

Destinasi yang pernah mencatat berbagai sejarah pahit getir dalam 5 tahun perkhidmatanku. Kejadian serta insiden yang telah termetri sebagai sejarah Itulah negeri Sabah di bawah bayu. Bumi yang penuh dengan budaya dan bumi yang paling banyak pulau serta paling terdedah kepada ancaman keselamatan.

Perjalanan 2 jam tidak terasa kerana aku duduk bersebelahan dengan saorang penuntut wanita undang-undang UiTM yang juga pulang untuk bercuti ke Tawau. Bicara dengan orang yang punya asas undang-undang sangat menarik rupanya.

Tambahan pula dia mempunyai keperibadian ceria, terbuka dan cukup positif di dalam perbincangan. Yang menarik perhatianku ialah cara dia bertindak balas topik yang aku ketengahkan. Dia cukup kreatif dalam memberi maklum balas.

Sikap positif terhadap maklumat baru boleh mendorong kita mudah belajar banyak perkara tanpa disedari. Di samping itu aku cuba meneka latar belakangya. Secara tidak langsung, maklumat yang diberinya hampir 100 peratus menyamai tekaanku. Anak ke dua bungsu dari 5 adik beradik dan lahir dalam keluarga yang berpendidikan serta stabil ekonomi.

Sudah tentu keluarga merupakan faktor utama membentuk emosi. Institusi keluarga adalah sekolah yang pertama dalam hidup seseorang. Bertuahlah bagi sesiapa yang memiliki keluarga yang bahagia.

Perbualan kami sungguh membina dan menguji minda. Walaupun dia saorang wanita, namun beliau cukup tertip dalam berbicara dan meluahkan pandangan.

Cuma satu perkara yang kurang aku senangi tentang dirinya. Saorang wanita Islam yang tahu hukum dan implikasi dari melanggar hukum tidak memakai tudung. Bukanlah aku pasif tentang persoalan tersebut. Tetapi aku tidak boleh kompromi tentang sesuatu yang telah menjadi hukum Tuhan.

Alangkah cantiknya jika semua muslimah memakai tudung. Ia adalah hukum agama dan sesiapa yang tidak patuh kepada suruhan agama maka dia tidak beragama.

Pada hari ini terlalu ramai wanita yang mempunyai latar belakang agama yang begitu memandang ringan terhadap tuntutan agama. Dari mengerjakan solat hinggalah kepada menutup aurat.

Entah apa yang mereka belajar di sekolah agama dulu saya pun tak tahu. Samada belum di beri hidayah atau mereka merasa selesa tentang dosa-dosa yang mereka buat. Sesungguhnya azab Allah amatlah pedih.

Tapi aku tidak hiraukan perkara itu kerana ada orang tidak senang ditegur di atas perkara tersebut. Malah mereka menjawab dengan angkuh terhadap nasihat yang di beri. Dalam Alquran Allah mengkhususkan satu surah untuk wanita ( surah Annisa) kerana wanita juga merupakan sumber fitnah yang sangat besar.

Penumpang di dalam pesawat majoritinya sedang tidur sementara menanti pesawat mendarat. Cuaca di luar amat baik dan tidak berawan.

Debaran jantungku tiba-tiba bertambah kencang. Entah kenapa perasaan berkecamuk menyelubungi diriku sebaik sahaja juruterbang mengumumkan kita akan mendarat sebentar lagi. Pesawat pun berhenti dan berpusu-pusu lah penumpang keluar.

Namun aku tidak berganjak dari tempat duduk. Sesekali aku mencampakkan tenungan ke keluar tingkap pesawat. Saja. sementara menunggu penumpang lain mengosongkan perut pesawat.

Tiba-tiba aku ternampak bukit kecil di hujung lapangan terbang. Seketika hati ini berdebar dan ia reda semula. Aku terus merenung tajam ke arah bukit tersebut. Dengan tidak semena-mena aku tersenyum penuh makna.

Ia mengingatkan aku pada peristiwa tahun 1994 iaitu ketika pilihanraya negeri Sabah. Bukit itulah yang sentiasa menerima kunjungan ku bersama seksyen yang melakukan tugas perlindungan keselamatan terhadap pesawat Perdana Menteri serta VIP-VIP yang sentiasa berulang alik ke negeri ini untuk berkempen.

Situasi pada ketika itu sangatlah tegang dan berbagai insiden yang berlaku. Ia sesungguhnya memberi pengalaman berharga buat diri ku. Maaf encik. Encik boleh turun sekarang! Pramugari menyapa aku setelah semua penumpang telah turun kecuali aku. Sorry! Spontan aku jawab dan segera bergegas meninggalkan pramugari tadi.

Bagai sireh pulang ke gagang, aku menjejak semula ke bumi Sabah. Rupanya itulah punca debaran yang aku rasakan sebelum ini. Kali ini aku lebih berhati-hati kerana barang aku yang banyak ini boleh tercicir jika aku lalai dan terus menikmati persekitaran.

Lebih kurang 3 jam lagi aku perlu tunggu sebelum meneruskan penerbangan ke Sandakan. Segera aku check in barang supaya boleh bergerak bebas sikit. Terlebih 120 kilogram dan apa lagi aku kena bayar RM96.00. Yang buat banyak bukan bajuku tapi buku-buku kesayangan yang pasti akan aku bawa ke mana-mana.

Kemudian aku bergerak ke restoran KFC. Bukan nak makan sangat tapi nak duduk sambil membiarkan masa berlalu. Tiba-tiba bunyi bising di tingkat bawah iaitu ruang ketibaan. Sifat semulajadi aku iaitu ingin tahu menyebabkan aku segera menghampiri kawasan orang berkerumun itu.

Mmmmm. Rupanya persembahan tarian tradisional selamat datang dari badan kebudayaan negeri Sabah untuk meraikan tetamu asing yang melancung ke sini. Cemburu juga rasanya kerana kami tidak di sambut begitu sebentar tadi.

Tak tahulah samada ia merupakan double standard atau Cuma persepsi aku sahaja. Tak apalah. Aku tumpang menikmati bersama acara yang sedang berlangsung.

Sabah yang terletak di utara Kepulauan Borneo adalah juga bersempadan dengan negeri Serawak di sebelah barat daya dan Kalimantan (Indonesia) di sebelah selatan. Sebagai negeri yang kedua terbesar di Malaysia, ia berkeluasan 76,115 km persegi dan diliputi dengan gunung ganang dan bukit bukau. Sabah juga memiliki gunung yang tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia.

Pulau-pulau di sabah yang berjumlah 38 pulau merupakan yang terbanyak di negara ini. Sebagai negeri yang mendapat jolokan sebagai negeri di bawah bayu, adalah berada di luar lingkungan angin taufan. Jolokan tersebut telah di beri oleh saorang pelancung wanita bernama Agnes Keith dari Amerika dan ianya kekal hingga ke hari ini.

Sabah memiliki 30 suku kaum dan menuturkan 80 dielek yang berbeza-beza. kumpulan etnik yang terbesar adalah Kadazan/Dusun yang meliputi satu pertiga daripada keseluruhan populasi.

Majoritinya mendiami di kawasan pantai barat barat Sabah. lain-lain bangsa adalah bangsa Murut, Rungus, Lotud, Brunei, Orang Sungai, Kadayan, Bisaya dan kumpulan etnik-etnik kecil yang lain.

Kota Kinabalu merupakan ibu negeri sabah menggantikan Sandakan selepas Perang dunia Kedua. Kota Kinabalu dulunya dinamakan Jesselton (pada tahun 1899, sempena nama Sir Charles Jessel, iaitu sempena nama naib president Syarikat Borneo Utara British).

Terlalu banyak tempat yang boleh dilawati dan pelancung pasti akan merasa puas jika berkunjung ke sini. Aku kini berada di Sabah dan sedang dalam perjalanan ke Sandakan.

Tepat jam 1315 aku berlepas ke Sandakan menaiki pesawat MAS yang mengambil masa 40 minit sahaja. Barang aku sebanyak 12 bungkusan telah menyebabkan aku tak cukup tangan. Terpaksa menggunakan 2 troli. Sebuah pajero tentera menanti aku diluar. Tanpa banyak bicara aku bersalam dengan pemandu dan menaikkan barang.

Beliau adalah warga 22 RAMD yang pertama aku kenali. Memandangkan Lapangan Terbang hanya lebih kurang 3 km dari kem maka perjalanan tidak mengambil masa yang lama. Semasa dalam perjalanan tersebut aku di taklimatkan oleh pemandu tentang aktiviti pasukan dan keadaan pentadbiran pasukan baru.

Minggu pertama keadaan di tempat baru amat tenang. Tiada tugas-tugas baru yang mencabar. Peluang ini aku ambil untuk mendalami tentang sejarah pasukan dan budaya kerja yang tersurat serta yang tersirat.

Sebahagian besar warga 22 RAMD sedang menjalani latihan menembak di Kota Belud. Mungkin sehari dua baru mereka balik. Aku berjanji dengan bos (Lt Kol Abd Rahman) aku dengan memberi gambaran awal (first impresion) yang baik bahawa aku akan membuat yang terbaik untuk pasukan ini. Biarpun kurang gembira dengan pertukaran aku ke pasukan tersebut, aku tetap berazam untuk memberi yang terbaik.

Pada minggu berikutnya aku ditugaskan membawa saki baki anggota yang belum menembak. Bukan kerja yang mudah. Ini adalah ujian yang pertama bagiku. Aku merancang pergerakkan ke Kota Belud dengan memberi taklimat pada anggota yang terlibat dan menyediakan arahan pergerakkan serta arahan untuk menjalani latihan.

Memandangkan kami hanya menumpang lapangan tersebut dengan pasukan yang sedang menjalani aktiviti yang sama, maka aku berhubung dengan mereka bagi mengkoordinasikan masa untuk kami menyelesaikan tanggungjawab kami.

Setelah latihan selesai selama 2 hari kami pulang ke Sandakan semula. Perjalanan yang mengambil masa 9 jam kami lalui dengan sabar. Malam tersebut badan aku terasa keletihan dan aku tidur awal.

Namun aku puas kerana berjaya melaksananakan misi pertama itu dengan sempurna. Sebagai orang baru, aku hanya boleh membuktikan kemampuanku dengan prestasi kerja pada tahap yang terbaik. Insyaallah aku akan terus melaksanakan semua tugas yang diberi dengan sebaiknya.