Atau mungkin juga kerana aku ini anak sulung dalam keluarga, mak dan ayah aku jarang benar mengajar aku hidup senang. Untuk mendapatkan sesuatu yang aku mahu, aku cuma ada dua jalan sahaja. Pertama, aku mengamuk gila-gila sampai dapat. Kedua, aku mesti cari duit sendiri untuk beli apa yang aku mahu. Aku tak pernah salahkan sesiapa, aku tahu orang tua aku mendidik aku dengan baik. Baba dan mama, walaupun mereka bukan orang bisnes, aku pernah melihat mereka bertungkus lumus menyiapkan nasi lemak untuk dijual kepada pelajar asrama.
Betapa zaman sekolah adalah masa untuk aku mendedahkan diri aku dengan aktiviti bisnes yang aku sendiri pun sebenarnya tidak sedar. Pada zaman university pula, aku sebenarnya belajar untuk lebih berani meneroka potensi diri. Begitu banyak skil menjual mula menonjol pada peringkat ini. Apabila kau semakin meningkat remaja, kau akan mula berjumpa ramai orang dan melihat bermacam-macam ragam.
Zaman universiti amat menyeronokkan, kau akan hidup dalam kalangan masyarakat sebaya yang berada dalam fasa peralihan untuk menjadi orang. Waktu itu, kita akan belajar untuk bercakap dan berfikir dengan lebih matang. Bukan itu sahaja, malah kau akan mula menjaga etika berpakaian, mula terdorong untuk berfesyen dan waktu ini jugalah kau akan terjerumus ke kancah kerosakan jika tidak dibendung. Siapa yang bijak memilih kawan dan hala tuju hidup seawal usia 18 tahun, mereka akan maju menongkah masa dengan penuh bergaya.
Pada masa inilah, aku mencuba apa jua skil dan ruang yang ada untuk melihat hasilnya. Apabila aku serius dalam bisnes printing, aku faham bahawa kerja menjual dalam bidang itu memerlukan masa yang lama menghadap komputer untuk meluahkan kreativiti. Sebenarnya aku bukan menjual tag nama tetapi aku menjual seni grafik. Aku juga mula faham bahawa untuk mendapat lebih ramai prospek, kita perlu buat lebih banyak aktiviti pemasaran. Memasang iklan adalah salah satu cara memberitahu orang lain tentang aktiviti bisnes kita dan kerja itu tidak boleh berhenti. Kau mesti buat secara berterusan.
Aku juga mula sedar untuk berniaga, kau mesti kena cepat hidu peluang buat duit dan tidak boleh bertangguh. Sebab itu, aku akan berniaga apa sahaja untuk mendapatkan hasilnya dan tak suka dengar cakap-cakap orang. Aku suka buat sendiri sampai aku tahu bagaimana keputusannya. Menyesal buat lebih baik daripada menyesal tak buat apa-apa - contohnya ketika aku mula berniaga carwash dan menjual di pesta konvo.
Aku juga belajar tentang erti persahabatan dan mengurus kawan-kawan. Waktu-waktu beginilah kau akan tahu siapa sebenar-benar kawan dan siapa yang acah-acah kawan.
Mulakan bisnes sekarang, jika kau masih lagi belajar di alam kampus, gunakan masa yang ada sebaik-baiknya untuk berniaga. Dengan segala macam kemudahan yang ada sekarang, kau hampir boleh buat bisnes apa sahaja di dalam kampus dengan mudah. Dalam masa beberapa tahun ini, aku jumpa beberapa orang budak muda yang menjadi jutawan seawal usia 19 tahun. Adik aku, Alang Arifnan di Kelantan, buat duit gila-gila dengan hanya menjual t-shirt di instagram. Seorang lagi adik aku, King Afiq boleh beli kereta mewah dan rumah dengan menjual kasut di instagram.
Entah apalah lagi agaknya alasan kau untuk tidak berniaga