FIZIK-LAH! - 25
Bunyi terhasil daripada getaran seperti memetik tangsi gitar. Suara manusia terhasil daripada getaran pita suara (vocal cords) apabila menghempus nafas. Konsep penghasilan bunyi dapat difahami seperti gambar rajah di bawah. Objek yang dijadikan contoh adalah garfu tala (tuning fork). Objek ini selalu digunakan untuk memahami bagaimana bunyi terhasil. Guna objek lain pun boleh.

Setiap objek yang menghasilkan bunyi mesti bergetar. Contoh paling mudah adalah alat-alat muzik yang dipetik, ditiup dan diketuk. Objek yang bergetar ini menghasilkan gelombang pegun (standing wave). Gelombang ini seterusnya berinteraksi dengan udara, lalu bunyi terhasil.

Bunyi memerlukan medium untuk bergerak. Udara contohnya. Apabila garfu tala ini bergetar, ia akan memberikan gangguan pada udara. Lihat pada gambar, apabila getarannya bergerak ke kanan, atom udara akan bergerak ke kanan, menjadikan atom udara lebih rapat dan berkumpul ke kanan. Kawasan ini mempunyai ketumpatan dan tekanan yang tinggi yang dipanggil mampatan (compression). Mampatan bergerak seperti gelombang.

Apabila getaran bergerak ke kiri, atom udara akan bergerak ke kiri dan menjadikan atom udara lebih berjarak jauh antara satu sama lain. Kawasan ini mempunyai ketumpatan dan tekanan yang rendah dipanggil sebagai penipisan (rarefaction). Pengulangan getaran ini menghasilkan gelombang bunyi.

Selain udara, bunyi juga mampu bergerak melalui medium-medium lain seperti air dan lantai. Kelajuan bunyi bergerak melalui udara adalah 343 m/s. Setiap medium, bunyi mengalami kelajuan yang berbeza. Kelajuan ini bergantung pada suhu. Suhu meningkat menjadikan kelajuan bunyi semakin meningkat.

Bunyi mempunyai sifat nada (pitch) dan kelantangan (loudness). Bunyi yang mempunyai frekuensi yang rendah, akan mempunyai nada yang rendah. Begitulah juga sebaliknya. Manusia dapat mendengar kadar purata frekuensi daripada 20 Hz hinggalah 20 000 Hz. Ini pun bergantung pada individu. Yang sudah berumur biasanya tidak dapat mendengar lebih daripada 10 000 Hz.

Bunyi yang mempunyai frekuensi melebih 20 000 Hz dipanggil sebagai ultrasonik. Bunyi yang mempunyai frekuensi kurang daripada 20 Hz dipanggil sebagai infrabunyi (infrasound). Banyak haiwan mempunyai kemampuan mendengar bunyi yang frekuensinya melebihi 20 000 Hz, dan ada juga yang mempunyai kemampuan mendengar bunyi kurang daripada 20 Hz.

Haiwan seperti ikan paus dan gajah dapat mendengar bunyi lebih rendah daripada 20 Hz. Kucing dan tikus pula adalah haiwan yang mempunyai kemampuan ultrasonik dengan ketinggian frekuensi hingga 100 000 Hz. Kucing tidak menggunakan keupayaan ini untuk mendengar, tetapi untuk memburu.

Kelantangan (loudness) pula adalah tenaga bunyi dalam bentuk gelombang. Manusia mampu mendengar kadar kelantangan bunyi yang tertentu.

Telinga manusia menukarkan tenaga getaran gelombang bunyi tadi kepada tenaga elektrik yang dibawa ke otak melalui sistem saraf. Dalam telinga kita terdapat bahagian yang dipanggil sebagai cochlea yang mengandungi semacam cecair. Cochlea inilah yang menukarkan tenaga gelombang bunyi kepada tenaga elektrik untuk disalurkan ke otak.

Bunyi mempunyai istilah yang dipanggil sebagai kualiti. Kualiti ini menentukan perbezaan antara bunyi dihasilkan oleh objek yang berbeza walaupun mempunyai kelantangan dan nada yang sama. Perbezaaan ini berlaku kerana setiap instrumen muzik contohnya menghasilkan kadar amplitud ton terbitan (overtones) yang berbeza. Menekan kekunci piano dan memetik gitar akan menghasilkan bunyi yang berbeza walaupun nada dan kelantangannya sama.