BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 26
Nanti jangan lupa aku Leman. Bahari memeluk erat. Orangorang kampung juga memeluk dan bersalaman dengan Cikgu Muhammad dan Mak Cik Vijaya. Lori kecil satu tan dengan kepala merah sudah pun bergerak sedang teksi merah putih juga menanti dengan sabar.

Cikgu Muhammad kelihatan mengesat air mata, juga Mak Cik Vijaya. Lalu disambar laju Mak Cik Cah dan mereka berpelukan sekali lagi. Ada seribu satu kisah yang dipendam masing-masing dalam hati dan lubuk jiwa yang paling dalam.

Tok Penghulu Ariffin juga datang mengucap selamat tinggal dan jumpa lagi. Nurul, ibunya dan Imah juga ada. Leman hanya senyum dan melambai-lambai dari dalam teksi duduk bersebelahan dengan Mak Cik Vijaya.

Pasir Rawa ditinggalkan hari itu dengan penuh warna-warni manis gula dan xilosa. Nurul juga akhirnya mengalirkan air mata. Wajah itu ditenung sehabis-habisnya hingga hilang lenyap dari pandangan.

Ini kehidupan baru, untuk aku. Untuk Duli, dengus Leman. Mak Cik Vijaya memejamkan mata mahu berehat sebentar sebelum sampai ke Kampung Charok Puting yang terletak di atas bukit bersebelahan dengan Sungai Pahang.

Angin hari itu membawa semiotik indah langit yang membiru. Wujud keserasian antara burung yang berterbangan dengan pokok yang punya dahan dan pucuk tinggi. Sedang ia meliuk dan melambai, angin juga menyapa lembut segala bulu indah yang terdapat pada burung. Lalu bergembira bersama alamalam yang lain. Matahari melihat awan sedang berarak perlahan, awan pula kerap membantu orang-orang di darat kepanasan lalu menutup dengan redup.

Pasir Rawa kini tinggal kenangan.