MOLOTOV KOKTEL - 26
Puluhan ribu; mungkin jutaan jiwajiwa muda lain yang turut berteriak, berdendang di jalanan bersama-sama. Basah tubuh masing-masing dengan hujan dan air kimia dari meriam lori merah pelacur upahan penguasa. Darah yang tumpah lalu mengalir bersama air kimia dan hujan lebat tadi akhirnya jadi sebati; hilang diserap bumi. Wah! Ternyata mimpi yang sangat indah. Walau bukan syahid dan balasan syurga yang aku cari, mati mulia sebegitu tetap jadi cita-cita gila jiwa berontak aku. Sayang, itu hanya mimpi. Alangkah indahnya kalau ia berlaku di dunia nyata, kan

Tapi, mimpi itu mula aku rasai akan terus jadi mimpi. Bergulatlah ia bersama perasaan yang aku tak tahu hujung pangkalnya.

Sedari dulu, saban malam, meja kopi kegemaran kita itu sentiasa dilimpahi dengan suara-suara pejuang yang terpinggir. Pejuang yang ibaratnya; tidak pernah menanam apa-apa, dan tidak mungkin akan menuai apa-apa. Kata-kata puji dan caci makinya penuh ikhlas. Tidaklah pernah dibayangi mahupun ditunjangi mana-mana kepentingan duniawi.

Jika kata-kata kita berpaksikan kepentingan dan habuan; masakan kita masih lagi di meja kopi yang sama Sudah seharusnya kita hari ini duduk di pejabat berhawa dingin, dengan kopi yang tentu sekali lain rasanya. Aduh! Nikmat sekali hidup kita selama ini, tiada hipokrit, tiada berbelit. Semuanya datang dari hati yang berontak, tapi tak pernah meminta-minta.

Tapi hari ini, entah kenapa, rasa itu nampaknya makin hilang.

Meja kopi kita ini sudah mula dihinggap dengan lalat-lalat yang datangnya entah dari mana. Masing-masing bawa harapan, berselitkan tawaran balasan dan habuan. Malam-malam penuh kejujuran yang lama kita nikmati sedari dulu makin hilang.

Kita mungkin masih yang sama, kecuali mulut kita semakin tidak mampu bertutur jujur. Berucapnya terpaksa beralas. Leceh. Aku kadang jadi hairan; orang-orang ini bercita-cita mahu jadi penguasa, kenapa yang dicari itu kita

Sedarlah aku, pemilihan sudah menjelang tiba. Waktu menyabung kuasa untuk jadi orang-orang atas bakal menjelma. Hati aku betul-betul tak tenteram. Keliru juga. Setiap malam kita usahakan untuk perubahan, dan tilikannya, perubahan itu memang bakal tiba.

Rejim yang dicarut tiap-tiap malam bakal bertukar rupa. Katanya, negara bakal jadi lebih baik dari hari ini; hari ini yang kita selama ini kita maki bersama. Katanya juga; esok, kita bakal menyambut lahirnya sebuah Malaysia yang baru. Malaysia yang tiada lagi haru-biru. Semuanya bakal jadi tersusun, teratur, dan mulia. Makinlah aku jadi keliru. Makin aku jadi tak selesa. Makin rasanya seperti hilang punca.

Aduh! Bukankah ini yang kita perjuangkan selama ini Kenapa perlu aku jadi macam ini

Lalu aku mengerti, ternyatalah mimpi-mimpi semalam bakal terus jadi mimpi. Selepas ini, mungkin tiada lagi bom asap. Tiada lagi meriam air. Tiada lagi teriakan di jalanan. Tiada lagi cacian semangat anak muda. Tiada lagi basah seksi gadis-gadis revolusioner. Tiada lagi impian mati di tengah-tengah kancah manusia. Kasut keras buat sepak terajang bom asap dan kepala polis bakal terus terperuk dalam stor.

Dengar-dengar, sampai anak mahasiswa yang selama ini gagah juga sudah mulai jadi layu. Baju batik dan tali leher baru

sudah mulai memenuhi almari pakaian. Berkira-kira untuk turut bersama dengan arus perubahan katanya. Tidak mahu lagi ke jalanan. Perubahan bakal tiba jeritnya, perjuangan kita sudah mulai membuahkan hasil, tidak perlu lagi berpeluh dan bermandi keringat selepas ini.

Gawat.

Dan meja kopi kita entah-entah bakal bertukar rupa. Mungkin lebih mewah bila perubahan itu tiba.

Tolong aku.. Aku jadi sesak begini. Tak mampu bernafas. Tak mampu berfikir. Aku belum puas lagi jadi pengkhianat. Banyak lagi rumah pasung belum aku lawati. Banyak lagi pegawai polis belum aku caci. Banyak lagi menteri belum aku maki. Nak gila rasanya begini. Yang didoa bakal tiba, tapi entah kenapa aku jadi sesal pula.

Ya Tuhan, aku tarik balik doaku selama ini. Mungkin, ada baiknya kau kekalkan saja penguasa hari ini, supaya aku masih mampu terus jadi pengkhianat kepada mereka. Mimpi aku semalam mahu aku jadikan cerita nyata hari ini. Atau, kau jadikanlah yang akan datang ini sama jahatnya; supaya aku boleh turun lagi ke jalanan. Sekurang-kurangnya, buat kali terakhir.

Ya Tuhan, aku mahu mati mulia.