KERAMAT SEBUAH HATI - 26
Akal itu menteri yang menasihati, Hati itu ialah raja yang menentukan,

Yang memimpin wanita bukan akalnya, melainkan hatinya.

Mahkota kemanusiaan ialah rendah hati.

Permulaan sabar adalah pahit, tetapi manis akhirnya.

Orang yang berjiwa besar memiliki dua hati; satu hati menangis dan yang satu lagi bersabar.

Yang memimpin wanita bukan akalnya, melainkan hatinya.

Kalaulah anda tidak mampu untuk menggembirakan orang lain, janganlah pula anda menambah dukanya.

Manusia diciptakan Allah terdiri daripada beberapa elemen utama sehingga mewujudkan identitinya iaitu jasad, akal, roh, nafsu dan hati. Namun, daripada semua unsur itu, paling penting dalam ajaran Islam yang diambil kira daripada keseluruhan amalan keagamaan adalah intinya, bentuk dalamannya iaitu hati.

Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang hati kamu. Sesiapa yang memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu. Ketahuilah! Wahai anak Adam orang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. (Hadis riwayat Muslim dan Tabrani)

Di samping itu, hati manusia juga bertindak sebagai raja bagi keseluruhan anggota badan. Dengan kata lain, baik dan buruk, sejahtera atau sengsara dan sihat atau sakit bergantung kepada kedudukan hati. Jika baik hati, maka baiklah seluruh tubuh lain dan begitulah sebaliknya.

Oleh itu, hati memainkan peranan penting dalam mencerminkan dan juga menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seorang. Hati juga dianggap ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Tidak berfungsi anggota badan secara keseluruhan kerana terlucut roh yang bertapak dalam hati. Hatilah tempat bertapak iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan pada masa lain, di sini juga terletak kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.

Paling menarik, dalam al-Quran perkataan hati disebut al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap. Bertepatan dengan konotasi alqalb, maka hati begitu mudah berubah daripada satu keadaan ke keadaan lain kerana dalam hati ada dua unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama lain iaitu antara iman dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar atau hak dan batil.

Apabila ditinjau dalam al-Quran, banyak ayat membicarakan hal hati terutama hati bersih lagi suci daripada dosa dan maksiat. Hati bersih diterangi cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun keraguan dan syirik. Seterusnya, hati bersih yakin segala yang wujud di alam semesta adalah ciptaan Allah, sekaligus bertindak sebagai pentadbir mutlak ke atas alam. Hati bersih juga terhindar daripada dendam, dengki, fitnah dan sifat tercela yang lain.

Dengan kata lain, hati bersih dipenuhi iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan tunduk yang kudus kepada Allah. Justeru, hati menjadi tempat bertapak nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah yang lain.

Perlu ditegaskan bahawa Allah memberikan ganjaran kepada hamba Nya yang berniat untuk melakukan kebajikan, tetapi Allah tidak pula mencatatkan keburukan ataupun dosa kepada seorang yang hanya berniat di hati untuk melakukannya. Demikianlah betapa Allah bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap hambaNya.

Fikiran dan hati yang tenang suburkan sikap optimis

IBNU Abbas RA ialah sahabat Nabi SAW yang digelar sebagai hibr alummah atau tinta umat kerana kehebatan ilmu, khasnya dalam memahami al-Quran seperti doa yang dimohon Baginda untuknya. Ibnu Abbas mempunyai pendirian unik dan patut kita miliki agar kita hidup tenang, tenteram dan bersahaja seperti beliau.

Ibnu Abbas berkata:

Dalam diriku ada tiga keistimewaan; tidaklah hujan turun ke muka bumi, melainkan aku pasti memuji Allah dan bergembira dengannya, meskipun aku tidak mempunyai kambing dan unta; tidaklah aku mendengar seorang hakim yang berlaku adil kecuali aku sentiasa mendoakan kebaikan untuknya walaupun aku tidak mempunyai perkara apa pun yang mesti dia putuskan; dan tidaklah aku memahami maksud suatu ayat dalam kitab suci Allah, melainkan aku selalu ingin orang lain juga mengetahui isi ayat itu seperti aku mengetahuinya.

Demikian antara kecintaannya untuk melakukan kebaikan terhadap sesama manusia, penyebaran nilai keutamaan di antara mereka, usaha untuk menyelamatkan hati mereka menjadi pedoman untuk semua makhluk. Ia datang dari lubuk hati yang suci dan ikhlas yang menganggap semua insan sebagai saudara dan bukan insan sesama makhluk Allah.

Ketika fikiran manusia terganggu oleh sesuatu, maka perkara luas menjadi sempit dan yang bagus menjadi buruk serta sesuatu yang menggembirakan berubah sedih.

Selesai solat, Rasulullah berkata kepada orang Badwi itu: Engkau membuat sesuatu yang luas menjadi sempit. Sesungguhnya rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu firman Allah maksudnya: dan Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman. (Surah al-Ahzab: 43)

Ketika fikiran tenang segala sesuatu di depan mata nampak jernih dan semua berjalan lancar serta mudah. Sebaliknya, ketika fikiran kusut segala di depan kita nampak buntu dan semua terhenti atau tertutup kerana dalam fikiran tenang ada tafaul, optimistik dan dalam fikiran kusut ada tasyaum, pesimistik. Tafaul adalah natijah daripada tauhid, manakala tasyaum adalah natijah daripada syirik.

Kita diperintah oleh Allah dan selalu membaca doa yang diajarNya bermaksud:

(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakan kepada kami limpah rahmat di sisi Mu; sesungguhnya Engkau jua Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Surah Ali Imran: 8.)

Fikiran tenang ialah buah keimanan yang membimbing kita untuk melaksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya dikenali sebagai takwa. Orang beriman dan memiliki fikiran tenang dan sentiasa beramal soleh. Ketika beramal dia teringat janji Tuhan bermaksud:

Dan sesiapa yang mengerjakan kebajikan, sedang dia beriman, maka tidaklah (seharusnya) dia berasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikit pun daripada pahalanya. (Surah Taha: 112)

Padahal dalam ayat sebelumnya, Allah menegaskan bermaksud:

Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada Allah yang Maha Hidup, dan yang maha berdiri sendiri; dan sesungguhnya rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman. (Surah Taha: 111)

Seorang yang berfikiran tenang tidak tergopoh-gopoh ketika melakukan kesilapan atau kesalahan kerana dalam dirinya tertanam pengajaran yang diperoleh daripada hadis bahawa Rasulullah SAW sedang solat berjemaah. Selesai solat ada seseorang berdiri dan berkata kepada Rasulullah: Aku melakukan suatu dosa dan harus dikenakan hukuman, maka jatuhkanlah hukuman itu kepadaku.

Rasulullah SAW bertanya: Apakah tadi engkau solat berjemaah bersama kami Ya, jawab orang itu. Rasulullah pun bersabda: Pergilah, Allah sudah mengampuni dosamu. (Hadis riwayat Muslim) Bukankah Allah berfirman maksudnya:

Dan sesiapa yang berbuat dosa atau berbuat zalim terhadap dirinya sendiri, kemudian memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah alNisa: 110)

Dengan ketenangan fikiran, empat perkara boleh kita sedari.

Pertama, jika kita tidak hidup dalam batasan hari ini, tentu fikiran kita melayang ke mana-mana. Seterusnya, urusan menjadi kacau-bilau dan kedukaan kita lebih banyak. Inilah makna hadis yang bermaksud: Apabila engkau berada pada waktu pagi, jangan menunggu datangnya petang dan apabila engkau berada pada petang, jangan menunggu datangnya pagi.

Kedua, melupakan masa lalu dan semua yang terjadi. Tumpukan diri pada masa kini kerana memikirkan masa lalu dan sesuatu yang sudah selesai adalah kebodohan dan menyebabkan kegilaan.

Ketiga, tidak menyibukkan diri dengan masa depan, sebab ia masih berada di alam ghaib. Jangan fikirkan sehingga ia datang.

Keempat, jangan mudah tergoncang oleh kritikan. Teguhkan pendirian menghadapinya dan sedarlah kritikan itu mengangkat harga diri setara dengan kritikan itu. Di samping doa Nabi Musa AS untuk menenangkan fikiran ada juga doa yang dibaca oleh ashabul kahfi yang menyelamatkan diri daripada kezaliman penguasa ketika itu. Ia juga doa untuk penjernihan fikiran kita. Doa itu bermaksud:

Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat daripada sisi Mu dan beri kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. (Surah al-Kahfi: 10)