Gadisku, istilah yang kamu pernah dengar itu sudah tidak relevan lagi pada masa kini. Dengan jumlah kaum wanita yang melebihi lelaki, ia sudah tidak wajar diperkatakan. Kini, wanita juga boleh mencari pasangan hidupnya. Malah, wanita juga boleh memulakan langkah memberikan tanda keinginan mereka pada lelaki.
Apa yang kamu boleh lakukan adalah memberikan satu isyarat yang membawa maksud, aku mahukan kamu menjadi temanku. Mungkin lelaki akan lambat memahami isyarat yang kamu tunjukkan. Mungkin sekali si dia tidak akan memberi respon pada isyaratmu.
Jangan kamu resah dan gelisah. Jika sekali cubaanmu tidak berjaya, cuba lagi beberapa kali.
Berikan kad ucapan padanya. Seperti kad ucapan perayaan, kad ulang tahun kelahirannya atau ucapan tahniah atas kejayaan yang dikecapinya. Kamu perlu lebih menonjol berbanding rakan-rakannya yang lain. Siapa tahu, dek kerana terlalu ramai rakan wanita yang si dia miliki, kamu lebih menonjol dan berupaya mencipta kelainan sehingga si dia mula memberi perhatian padamu.
Kamu boleh juga menghantar seorang utusan untuk menyatakan hasrat hatimu kepadanya. Namun, kamu perlu pastikan utusan yang kamu hantar itu adalah seorang yang boleh dipercayai. Kamu boleh mendapatkan bantuan daripada rakan atau sesiapa sahaja yang rapat denganmu. Mintalah mereka memberitahu si dia kamu mahu menjadi teman istimewanya.
Tetapi, dalam hal menggunakan orang lain untuk menyatakan hasratmu, ia mungkin boleh jadi sesuatu yang tidak baik. Kamu mungkin akan dianggap sebagai perempuan murahan yang boleh diperlakukan apa-apa sahaja. Berhati-hatilah dalam mengambil tindakan, wahai gadisku.