KEMBARA PENIAGA JALANAN - 26
DARIPADA kisah aku berjualan di pasar malam, uptown, ekspo dan semuanya aku telah ceritakan. Aku cuma berharap kau baca dan hadam setiap pengalaman aku ini supaya ia menjadi pembakar semangat dan dorongan untuk kau mula berniaga pula. Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi, itulah ruginya kita apabila banyak bertangguh. Kau menyesal sekarang pun tak berguna, masa sekolah dan zaman kampus kau orang mungkin sudah habis.

Fasa pembentukan diri kita dalam dunia perniagaan akan berjalan seiring dengan usaha dan pengalaman yang kita tempuhi. Amat merugikan apabila kau membazirkan masa yang ada berlalu pergi begitu sahaja sedangkan kau semakin tua dimamah usia. Sepanjang aku bergelumang dengan dunia berniaga di tepi jalan, aku belajar banyak perkara. Paling bermakna buat aku ialah kemampuan mengenal diri dari sudut yang berbeza.

Aku semakin faham bahawa aku semakin terbentuk menjadi orang berniaga yang hebat apabila aku banyak menjual. Dalam banyak buku yang aku baca dan ramai orang bisnes berjaya yang aku pernah jumpa, semuanya bercakap tentang proses ini. Itulah proses menjual dan proses menghadapi pelanggan.

Di jalanan inilah aku mengenal orang. Aku belajar untuk berkomunikasi dengan semua orang dan aku belajar untuk memahami bahasa orang berniaga. Semakin ramai pelanggan yang kita hadap di jalanan, semakin kental hati kita untuk terus berjuang. Kau takkan faham semua ini selagi kau tak mencuba sendiri. Keberanian demi keberanian akan terbentuk tanpa kita sedar. Kau belajar bagaimana untuk mengatasi rejection pelanggan. Kau faham dengan jelas apa yang mereka mahu dan membetulkan cara menjual. Kau akan lebih bijak mengurus wang dan lebih serius menyantuni ekosistem kehidupan setiap hari. Kau tidak akan membuang masa lagi dan akan terus berlari ke depan.

Aku tak nafikan berjualan di tepi jalan begini memang tak digemari ramai orang. Mana ada yang mahu bersusah payah membuka khemah dan meja jualan, berhujan dan berpanas di tepi jalan. Ini memang kerja berat yang rata-rata orang tidak sanggup buat. Tetapi, kau percayalah cakap aku, selepas kau mencuba sendiri, kau akan ketagih dan kau akan terus menjiwai watak sebagai seorang usahawan.