Gadis Kebaya Merah - 27
BAB 27

SUDAH dua hari berlalu. Tok Imam Ngah masih berada di rumah Kudin. Esok dia akan mula bertolak pulang ke kampung Pinang Patah semula bila merasakan semuanya sudah selesai kecuali Chad yang masih berada di alam bunian. Jo pula menumpang di rumah Kudin buat sementara waktu atas desakan Kudin sendiri. Senah dan Anum turut berada di rumah Kudin sebelum pulang bersama Tok Imam Ngah nanti.

"Nampaknya semua sudah selesai. Senah dan Anum macam mana Nak balik ke kampung ke atau nak tinggal di sini" Kudin pandang kedua gadis itu yang terpaksa tinggal di rumahnya buat sementara waktu.

"Saya nak balik kampung. Jumpa ayah. Rindu sangat kat ayah. Mungkin selama ni ayah bimbang bila saya tak balik kampung seperti selalu." Anum mengesat air mata. Masih segar di ingatannya bagaimana dia diperdaya Chad.

Kononnya Chad ada berita penting tentang ayahnya. Tanpa syak apa-apa, dia jumpa Chad di sebuah restoran di bandar Kuantan. Kebetulan masa itu, dia menghadiri kursus mewakili syarikat tempatnya bekerja. Tak sangka, Chad sanggup menipunya dan diserahkan kepada Karim.

"Baguslah. Pak Sahak sudah lama suruh saya cari Anum tapi sebelum Anum pulang ke kampung, Jai minta Anum ke balai untuk buat laporan dan beri maklumat tentang sindiket itu." Kudin masih memerhati pada wajah putih Anum.

Senah jeling Kudin yang dari tadi asyik melayan Anum berbual. Dia yang berada di sebelah Anum, langsung tidak dipandang. Mentang-mentanglah kekasih hati ditemui semula, dia tidak diendahkan ketika ini.

Jo pula terdiam. Dia perasan Anum dari tadi memandangnya tidak berkelip. Mungkin Anum sudah tahu tentang siapa dalang di sebalik kejadian itu. Sejak di alam bunian lagi, Anum tidak senang dengan kehadirannya.

"Saya akan bekerjasama dengan pihak polis. Biar penjahat yang tak ada hati perut itu dihumban ke dalam penjara." Anum mengetap bibir. Matanya masih melekat ke arah Jo.

"Anum...sepanjang awak diculik, ada tak penjahat buat apa-apa pada awak" Jo mula merasa bersalah. Dia memang tidak pernah tahu yang Anum adalah salah seorang mangsa dalam sindiket itu.

"Saya hampir dirogol tapi Karim menyelamatkan saya. Saya ingatkan Karim nak selamatkan saya dari sindiket tu tapi rupanya dia hanya selamatkan saya dari lelaki itu saja." Anum berkata sebak.

Masih terngiang di telinganya, Karim mengugut akan membunuh lelaki itu jika lelaki itu mengapa-apakannya pada malam dia ditempatkan di sebuah rumah kosong sementara menunggu berpindah ke sebuah rumah banglo yang penuh dengan perempuan muda pelbagai bangsa. Kata-kata Karim yang sedang marah pada lelaki itu membuatkannya merasa takut. Rupanya semua perempuan yang diculik masih anak dara, jika didapati sudah tidak ada dara lagi, maka perempuan itu akan menerima nasib yang sama dengan perempuan lain yang cuba menipu. Mereka akan dibunuh dan dilenyapkan mayatnya dari muka bumi ini. Nilai seorang perempuan yang masih dara adalah sangat tinggi. Permintaan tinggi dari luar negara terutama Jepun membuatkan sindiket itu semakin berani melebarkan sayapnya.

Jo tunduk. Dia semakin merasa bersalah. Dia faham perasaan Anum ketika ini. Gadis itu hilang selama hampir lima bulan. Tentu banyak kejadian pahit menimpa gadis itu sepanjang menjadi tahanan sindiket sebelum dibawa ke luar negara mengikut giliran.

Selama itulah juga dia tidak pernah tahu Anum adalah salah seorang dari perempuan yang diculik itu.

Anum melihat tajam ke arah Jo. Dia dapat rasa yang lelaki itu terlibat dengan sindiket itu sama seperti Karim kerana dia pernah terdengar Karim berbual di telefon dan menyebut nama Jo. Cuma dia tidak pasti siapa Jo yang dimaksudkan oleh Karim.

"Anum..saya akan tolong awak dalam hal ni. Awak jangan bimbang. Sekarang ni awak ikut kata Kudin. Esok pergi balai buat laporan polis." Jo pandang Anum yang mula tunduk. Titis jernih tumpah ke pipi putih gadis itu.

"Habis saya macam mana" Senah mula bertanya. Sejak tadi hanya Anum yang diberi perhatian seolah dirinya tidak wujud di situ dan tidak pernah terlibat dengan hal itu.

"Senah pun ikut sekali ke balai esok." Kudin mengalih pandang pada Senah yang duduk di sebelah Anum.

"Senah...awak kena bekerjasama dengan pihak polis. Beri maklumat mana yang awak tahu." Jo pandang pula Senah walaupun dia tahu lambat laun dia akan diheret ke penjara atas semua maklumat itu nanti. Dia sudah bersedia dengan semua itu. Teringat semasa di alam bunian, Senah dinikahkan dengan Jai dengan kehadiran wali, saksi dan juga tok kadi. Mungkinkah pernikahan Senah dan Jai sah Matanya beralih pula pada Tok Imam Ngah yang dari tadi hanya menjadi pendengar setia.

"Tok..saya nak tanya sikit. Masa saya dan Jai berada di alam bunian, Jai dan Senah sudah dinikahkan di sana. Cukup dengan saksi, wali dan tok kadi. Saya dan Anum pula hanya berlakon saja, maksud saya..kononnya kami dah lama bernikah. Apa...sah ke pernikahan Senah dan Jai tu tok" Jo mula bertanya pada Tok Imam Ngah bila teringat hal itu.

Anum pandang Jo yang mula mengungkit hal pernikahan yang tak pernah wujud itu. Setahunya pernikahan itu hanyalah untuk mengelak dari dinikahkan dengan orang bunian.

"JIka cukup syaratnya pernikahan itu adalah sah dengan syarat orang bunian itu adalah islam dan wali yang digunakan adalah wali hakim sama seperti manusia di dunia nyata ni. Cukup syarat ijab dan qabulnya. Pernikahan itu hanya sah di alam sana saja. Tapi tok galakkan Senah dan Jai bernikah sekali lagi di alam nyata ni jika benar-benar ingin hidup sebagai suami isteri yang sah. Biar terang dan jelas mengikut hukum dan syarat-syarat yang nyata di dunia nyata ni. Biarlah kita mengikut apa yang disyaratkan di alam nyata ni. Kita kena ingat, kita ni manusia dan mengikut peraturan manusia. Senah pun masih ada ayah lagi." Jelas Tok Imam Ngah.

Jo mengangguk-angguk. "Err..macam mana pula pernikahan jin dan manusia"

"Kalau terjadinya pernikahan antara manusia dan jin, dalam hal ini para ulamak berbeza pendapat. Ada yang berkata makruh dan ada juga yang berkata haram. Jika ada hukum seperti itu bermakna dibolehkan tapi perhubungan itu sepatutnya diputuskan kerana manusia dan jin adalah dua jisim yang berbeza. Maksud jisim di sini, berlainan kejadian. Sama situasinya manusia tidak boleh bernikah dengan haiwan, pokok dan sebagainya. Allah s.w.t berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21, 'Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demeikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir." Jelas Tok Imam Ngah lagi.

"Apa kamu ada niat nak bernikah dengan jin ke" Usik Tok Imam Ngah bila melihat Jo beria bertanya.

"Tak naklah tok. Seram saya.." Jo sengih.

"Tapi kalau isteri olok-olok tu boleh terima saya, ok jugak. Boleh nikah di alam nyata ni." Jo kenyit mata pada Anum.

"Saya nak cerai!" Laju saja Anum menjawab.

Kudin dan Senah hanya senyum gelihati melihat gelagat Jo dan Anum yang mula bertengkar manja.

"Kamu jangan nak berangan bernikah dengan orang bunian. Susah nanti. Dia orang tu banyak syaratnya. Lainlah kalau kamu dah jatuh cinta pada puteri bunian tu. Kamu ingat mereka tu cantik ke Kita manusia ni jauh lebih cantik dari orang bunian tu. Allah telah jadikan manusia ni sebaik-baik makhluk. Mengapa kita nak pilih makhluk lain sebagai pasangan hidup kita" Usik Tok Imam Ngah lagi. Tersengih dia melihat gelagat anak-anak muda kampungnya itu.

Kudin angguk dan turut senyum. Dia pandang Jo yang sudah memandang ke arah Anum. Matanya menala pula ke arah Senah yang sudah sugul.

"Senah kenapa ni" Kudin terus bertanya.

"Jadi..tok..saya ni dah jadi isteri sah abang Jai ke" Senah sudah sebak. Dia pandang Kudin. Hatinya semakin sebak.

"Kalau kamu suka pada Jai tu, eloklah nikah sekali lagi di dunia nyata ni. Ayah kamu masih ada di kampung." Tok Imam Ngah.

"Tapi tok..saya suka pada orang lain. Saya nak kena minta cerai ke" Senah pandang Tok Imam Ngah dengan riak serius.

Anum dan Jo mula ketawa. Gelihati mendengar kata-kata Senah tadi. Senah terlalu serius dalam hal itu. Kudin pula hanya melihat Senah yang sudah mula cemas. Dia tahu siapa lelaki yang dimaksudkan oleh Senah tadi.

"Macam nilah. Kamu dan Jai hanya sah bernikah di alam sana. Alam ghaib. Kita hidup di alam nyata. Dunia nyata. Jadi, jangan risau, kamu dan Jai tidak ada apa-apa hubungan yang sah di dunia nyata ni." Terang Tok Imam Ngah lagi.

Senah tunduk.

"Awak suka siapa" Jo pula bertanya Senah.

Senah mendongak semula. Dia pandang Jo kemudian beralih pada Kudin. "Saya hanya bertepuk sebelah tangan.."

Kudin pula tunduk. Bukan dia tidak sudi memperisterikan Senah tetapi hati dan perasaannya pada Ana Dahlia. Sekarang ini dia juga sudah merasa seperti Senah, cinta tidak berbalas.

"Hmm...jodoh itu rahsia Allah. Apa yang kita perlu buat, berusaha mencari jodoh dan bukan hanya berserah saja.." Tok Imam Ngah pandang seorang demi seorang anak-anak muda di depannya.

Masing-masing diam seketika, melayan perasaan sendiri.

MANAKALA Ana Dahlia dan Jai pula sudah mula bertugas setelah hampir dua hari bercuti kecemasan selepas selamat pulang dari alam bunian. Detektif Razif masih keliru dengan kehadiran Ana Dahlia dan Jai yang muncul bertugas pada hari yang sama setelah menghilang hampir tiga hari. Dari dalam biliknya, dia melihat Ana Dahlia dan Jai begitu bersungguh berbincang sesuatu. Dia segera menghubungi Ana Dahlia.

"Ya Tuan" Ana Dahlia menjawab panggilan Detektif Razif.

"Boleh masuk sekejap Ajak Detektif Jailani sekali." Gagang telefon diletak.

Seketika kemudian, Ana Dahlia dan Jai mula melangkah masuk ke bilik Detektif Razif dan segera memberi tabik hormat. Mereka berdua dipersilakan duduk. Lama Detektif Razif memerhati kedua anak didiknya itu yang sekarang ini diberi tugas berat untuk membenteras sindiket haram.

"Hmm..awak ke mana dua hari ni" Soalan pertama diajukan pada Ana Dahlia. Detektif Razif pandang gadis itu tidak berkelip.

"Saya ada hal penting tuan! Saya cuti kecemasan." Ana Dahlia berkata agak kekok. Selama ini dia tidak pernah berbohong dengan bos mudanya itu. Terasa peluh mula menitik di bilik berhawa dingin itu. Dia cuba bersikap selamba dan seolah tiada ada yang berlaku.

"Tapi dalam borang cuti awak ni, tak dinyatakan sebab apa..kosong!" Detektif Razif hulur borang cuti Ana Dahlia yang diterimanya pagi tadi.

"Err...mungkin saya lupa nak tulis tuan.." Ana Dahlia capai borang itu dan mula melihat. Memang dia tidak tulis apa-apa sebab pun di situ. Ah, takkan aku nak tulis aku dah masuk ke alam bunian Mahunya tergolek Detektif Razif ketawakan aku nanti.

"Awak Detektif Jailani, tiba-tiba muncul macam Loki turun dari langit. Awak ke mana menghilang" Mata Detektif Razif menala pula ke arah Detektif Jailani.

Mendengar kata-kata Detektif Razif tadi, Ana Dahlia cuba menahan ketawa. Boleh pulak bos mudanya menonton cerita fantasi macam tu

"Err...saya pun ada kecemasan tuan!" Jai turut menggelabah. Dia jeling Ana Dahlia yang sudah menekup mulut. Agaknya menahan ketawa dengan kata-kata Detektif Razif tadi.

"Apa-apa pun alasan kamu berdua, kamu berdua telah melanggar peraturan. Sebagai denda, cuti kamu berdua dibekukan. Awak Detektif Jailani, selagi awak ditugaskan di cawangan ini, selagi itulah awak kena mengikut peraturan di sini dan awak Detektif Ana, awak juga tidak boleh sesuka hati tidak hadir ke pejabat tanpa alasan kukuh. Gara-gara kamu berdua, operasi kita terpaksa ditangguhkan. Saya terima arahan dari pihak atasan, operasi ini mesti diketuai oleh Detektif Jailani. Jadi, saya terpaksa tangguhkan kerana awak berdua MIA! Missing in action!"Tegas suara Detektif Razif menutur sambil merenung tajam ke arah kedua detektif itu.

"Maafkan saya tuan!" Serentak Ana Dahlia dan Jai bersuara.

"Saya nak surat tunjuk sebab atas meja saya selewat-lewatnya pagi esok." Detektif Razif sandar di kerusi. Matanya masih tepat memandang Ana Dahlia dan Jai yang mula tunduk.

"Ok, berbalik soal operasi, pihak polis telah mengenal pasti tempat persembunyian Taiko Chong dan orang-orangnya bersembunyi." Detektif Razif mula bangun dan menapak ke arah papan putih. Dia melakar sesuatu di atas papan putih itu.

Ana Dahlia dan Jai mula memberi perhatian. Segala yang dikatakan oleh Detektif Razif dicatat dengan cermat. Detektif Razif masih memberi penerangan tentang operasi yang akan dibuat nanti.

"Setakat ni ada soalan" Pandangan Detektif Razif kembali pada Ana Dahlia dan Jai.

"Berapa ramai pihak kita akan ke sana tuan" Jai mula mengutarakan soalan setelah dibenarkan bersuara.

"Setakat ini, ada dua kumpulan yang terdiri dari lima orang satu kumpulan tapi kita telah arahkan Unit Tindakan Khas lain bersedia jika berlaku apa-apa nanti." Terang Detektif Razif, menjawab soalan Jai.

"Bagaimana dengan modus operandi kita untuk menyusup masuk ke gudang itu tuan" Ana Dahlia pula bertanya. Dari tadi dia tidak berapa faham dengan penerangan Detektif Razif.

"Maksud awak"

"Maksud saya, adakah secara berkumpulan atau individu atau ada team tertentu" Terang Ana Dahlia tentang pertanyaannya tadi.

"Oh itu..kita menyusup secara team berdua. Kamu dengan Detektif Jailani. Dan cara untuk serbu pula mengikut arah berlainan. Kena ada orang yang standby di luar sementara yang lain menyerbu ke gudang itu." Detektif Razif senyum. Nampaknya Ana Dahlia sudah mula faham tentang operasi yang bakal dijalankan nanti.

Ana Dahlia mengangguk-angguk.

"Soalan lain" Tanya Detektif Razif lagi.

"Tak ada tuan!" Jai pula menjawab.

"Kalau macam tu, esok bersedia. Pakaian, saya harap kamu berdua sudah maklum. Esok, tepat jam 12 malam, kita akan mula operasi." Detektif Razif letak marker pen dan mula kembali ke tempat duduknya.

Ana Dahlia dan Jai mula minta diri setelah memberi tabik hormat sebelum keluar dari bilik Detektif Razif.

ANA DAHLIA pulang ke rumah dengan perasaan berdebar. Esok malam dia akan mulakan operasi. Tadi selesai perbincangan, sempat dia bertanyakan Jai tentang perasaan dan hati. Nyata Jai seorang lelaki yang tidak mudah jatuh cinta pada perempuan. Jawapan lelaki itu yang membuatnya terdiam.

Tak nak fikir Ana Dahlia mengulang semula kata-kata Jai siang tadi. Kepalanya dilentukkan di kepala katil. Bantal dipeluk erat. Otak ligat memikirkan kata-kata Jai siang tadi.

Kadang-kadang terasa malu bila berbicara soal itu sedangkan lelaki itu langsung tidak pedulikan hati dan perasaannya.

Hmm..aku kejar cinta Jai. Kudin pulak masih menunggu cinta aku..haih.. Ana Dahlia mula baring. Mengingatkan itu semua, terasa hidup mula tidak terarah.

Ah..buang masa je aku fikir semua tu. Macam apa yang Detektif Jailani cakap tadi..tak nak fikir.. Ana Dahlia mula pejam mata.

Kali ini wajah Kudin pula mula bermain di ruang mata. Matanya dicelik semula. Terkebil-kebil Ana Dahlia memandang siling biliknya.

Kenapa dengan aku ni Ana Dahlia meluku dahinya sendiri. Wajah Kudin cuba ditepis dari ruang fikirannya.