CINTA RIMAU - 27
Rafael sudah sedia terpacak, menanti kehadiran Hasya di perkarangan utama BSC, pusat membeli-belah pilihan golongan elit di Bangsar. Dengan rambut yang jelas masih lembap yang dibiarkan mengering sendiri, Hasya tiba diiringi senyuman mesra buat Rafael. Suasana Dome yang tidak putus pengunjung membuat Hasya berasa tidak selesa lantas mengajak Rafael ke Coffee Bean pula yang terletak di satu sudut berhampiran. Rafael memilih untuk duduk di sofa empuk, diikuti Hasya melabuhkan punggungnya bersebelahan Rafael.

Sengaja Hasya memilih untuk tidak duduk bertentangan dengan Rafael; tidak mahu bertentangan mata dengannya kerana sedar betapa panahan mata, mampu mengubah segala yang mungkin juga akan memutikkan rasa yang tidak sepatutnya hadir di antara mereka. Dia sedar Rafael anak siapa. Dia risau sebenarnya; tertanya mengapa Bahrain masih belum membalas pesanan ringkasnya.

Rafael memberitahu Hasya tentang kedatangannya ke Malaysia kali ini; selain menjenguk bapanya, dia turut menghadiri mesyuarat dengan stesen TV dan media terunggul negara, Media Infiniti yang menawarkan peluang pekerjaan buatnya di sini. Prestasinya yang cemerlang dalam dunia I.T yang mempelopori formula penyatuan pencinta-pencinta dunia siber dari seluruh dunia yang bukan saja mendapat sambutan hebat di Kanada bahkan juga di Amerika, telah menarik perhatian syarikat gergasi itu. I was head hunted by them, katanya lagi dengan bangga.

Hasya yang tingkahnya tidak seceria biasa hari itu, seboleh mungkin cuba menghidupkan suasana, Well at least head hunted is better than head decapitated!

Tawa besar Rafael membuatkan beberapa pasang mata pengunjung-pengunjung yang duduk berhampiran terjojol ke arahnya! Bagaimanapun jelas Rafael, agak sukar untuk dia membuat keputusan berikutan kehidupannya di Kanada yang terbina sejak di zaman persekolahan lagi sudah begitu stabil sementelah ibunya, Regina yang juga pemegang status PR sepertinya, nekad untuk terus menetap di situ. Apa lagi yang harus Hasya katakan selain daripada memberi senyuman Andai wang, kuasa dan pretij segalanya bagi Rafael dalam kehidupan, nyata sekali mereka berbeza haluan Teringat dia akan satu kisah Alexander The Great yang pernah berlaku suatu ketika dahulu:

Seorang fakir mendatanginya dan berkata, Kamu telah berjaya membina empayar yang hebat, namun hakikatnya nilainya tidak lebih daripada sekadar dua sen.

Alexander The Great menjadi berang lantas mengancam si fakir, Kamu perlu menjelaskan perkara ini sebelum kepalamu beta penggal nanti! Kamu sesungguhnya telah menghina beta. Kejayaan ini adalah hasil kerja keras beta sepanjang hayat dan berani-berani saja kamu rendahkan nilainya menjadi dua sen!

Fakir yang sebenarnya seorang mistik yang menyamar itu berkata, Bayangkan kamu tiba-tiba tersesat di padang pasir. Tekak kamu berasa kering tersangat dahaga dan tanpa disangka aku muncul dengan membawa satu gelas berisi air di tanganku. Aku katakan kepadamu, akanku berikan air ini kepadamu dengan satu nilai harga. Andai aku meminta sebahagian daripada empayarmu sebagai harga yang harus dibayar, apakah sanggup kamu gadaikannya

Alexander The Great berkata, Andai beta hampir maut gara-gara kehausan, bukan setakat separuh bahkan seluruh empayar naungan beta, sanggup beta korbankan!

Fakir sambil tersenyum menjawab, Kes ini ternyata sudah selesai harganya cuma segelas air! Nilai empayar yang kamu agung-agungkan itu sekadar segelas air yang bermakna nilainya jauh sekali mencecah dua sen memandangkan air adalah percuma.

Rafael mencuit bahu Hasya, Hey what are you thinking

Nothing.

Tersedar daripada lamunan berkisar Alexander The Great sedang Rafael tidak ubah ibarat patung cendana di depan matanya, dia kini terfikir-fikir pula apa gerangan yang sedang Bahrain lakukan sekarang...