SAAT AKU BERPALING - 27
DENGAN hati yang berkecamuk, Nadhirah memandu pulang ke SP Utama. Dadanya terasa sesak sekali, matanya terasa kering. Dia benar-

benar ingin menangis sekarang, namun air matanya enggan kunjung tiba.

Semuanya semakin jelas. Semua sekali yang terjadi dalam hidupnya selama ini makin jelas dan terang di dalam layar memorinya. Nadhirah seolaholah dihumban kembali ke dalam kotak memorinya yang terlalu menyakitkan.

Sukar sungguh bagi dia untuk menangis dengan apa yang terjadi. Bibirnya diketap sehingga sedikit terluka tanpa disedari. Marah, geram, terkejut, lemas. Semua rasa ini menjerut batang lehernya. Nafasnya terasa sesak sekali.

Mama I am sorry, Mama! I am so sorry. Hanya perkataan itu yang bertamu dibibir sejak tadi.

Lama sudah dia tidak menggunakan gelaran keramat tersebut. Ada sesalan yang mula bertamu dihati dan enggan pergi walaupun dia pernah membenci seorang insan yang dipanggil Mama.

Layanan yang diterima daripada mama kandungnya sejak dari kecil membuatkan Nadhirah membenci Natrah. Malah kata-kata kesat yang sering diterimanya membuatkan Nadhirah menutup pintu hatinya untuk memaafkan Natrah.

Setiap pukulan dan tamparan hadiah dari Natrah menjadi penghias mimpi-mimpinya sejak dari kecil dan tanpa sedar kali terakhir ungkapan Mama untuk satu-satunya Mama kandungnya itu hanya terucap pada 15 tahun lepas, pada hari kematian mamanya.

Beratus kali dia menyoal diri tentang kesalahan yang dibuatnya sehingga dia dilayan lebih teruk dari sampah oleh mamanya sendiri. Pedih dan perih apabila jawapan kepada soalannya terungkap tanpa paksaan hari ini.

Nadhirah terkedu, lidahnya kelu. Kata-kata Tan Sri Malik melemaskan dirinya. Dia merasa terpukul dengan ungkapan maaf yang keluar dari mulut lelaki itu. Setelah apa yang terjadi, tak mungkin dengan mudah untuk dia memaafkan sesiapa. Sekelip mata semua orang kini seakan-akan menjadi musuhnya.

Tanpa disedari hatinya mula menyumpahnyumpah. Nadhirah ternyata dirasuk rasa marah. Amukannya menyebabkan setiap satu kesakitan yang terpalit diingatannya terkuak kembali.

Wajah-wajah yang menyakitinya timbul satu demi satu silih berganti. Sesungguhnya hari ini merupakan mimpi ngeri buatnya. Pengakuan Tan Sri Malik menjadi titik tolak kemarahan Nadhirah yang meluap-luap.

Ini semua tak adil! Berkali-kali Nadhirah menjerit dan menggelengkan kepalanya.

Kasutnya ditinggalkan di depan pintu tanpa disusun dahulu, kunci kereta dilemparkan sahaja di sudut rumah, beg tangannya di hempas ke atas sofa. Langkah kakinya mula terasa lemah dan longlai.

Nadhirah sempat memegang rak CD yang berada di ruang tamu. Kegelisahan yang menguasai dirinya bertukar menjadi amarah.

Rak yang sedang menampung tubuhnya ditolak sehingga terbalik, buku-buku yang tersusun turut dilempar ke lantai, gelas-gelas kaca pemberian Papanya dibaling ke dinding satu-persatu. Setiap benda yang melintasi ruang pandangannya sengaja dijatuhkan, sengaja dirosakkan sehinggalah dia kepenatan.

Ini semua tak adil!! Jerit Nadhirah kuat.

Semua yang terjadi di dalam hidupnya berputarputar semula di ruang mata. Segala caci maki yang ditujukan padanya terasa terngiang-ngiang di telinga. Sungguh dia kini sedang mencuba sedaya upaya untuk bertenang namun gagal.

Arghhhhhhhhhhhhhhhh.. Jerit Nadhirah. Tangisannya kedengaran cuba ditahan. Dengan perlahan setitik demi setitik air matanya jatuh jua di dalam pekat malam.

Satu demi satu cermin kaca yang sedang tergantung didinding dilontar hingga pecah. Nadhirah membenci semuanya termasuklah bayang-bayang dirinya sendiri. Semua serba tidak kena padanya. Kau sampah! Ucap Aidid.

Kau cuma anak luar nikah! Hambur Adelia.

Kau anak haram! Tak layak pun nak duduk semeja dengan kami. Aidid menyumpah lagi.

Mama kau jalang, perampas, perempuan murah, pelacur, penjaja tubuh pada orang kaya macam suami aku. Kau pun sama!!! Ungkit Puan Sri Munirah.

Jangan ingat nakkan harta dari keluarga ni. Kau tak layak! Kata Ammar.

Dasar anak pungut. Sedarlah diri sikit. Adelia menjerit.

Dasar tak sedar dek untung. Nasib baik aku humban kau dalam bilik ni. Kalau ikutkan hati, aku lempar aja kau tepi jalan. Biar cepat sikit jadi pelacur macam Mama kau. Herdik Puan Sri Munirah.

Kalau kau tak nak duduk di bilik ni seorang diri kau boleh datang bilik aku. Janganlah jual mahal sangat... Pelawa Ammar dengan sinis

Bayangan susuk tubuh Tan Sri Malik, Puan Sri Munirah, Aidid, Adelia, Ammar silih berganti muncul di hadapanny bersama-sama ejekan, gelak tawa dan hinaan yang pernah dia dengar sejak kecil.

Nadhirah tarik nafas dalam-dalam. Mereka akan bayar semua hutang mereka pada aku sekarang juga! Aku akan buat dia orang bayar semua sekali. Berulang kali Nadhirah mengulang perkataan yang sama.

Dia kini berdendam. Tekadnya bulat. Seluruh ahli keluarga Tan Sri Malik akan merasakan apa yang pernah dia rasakan dulu.

Nadhirah terduduk di birai katil. Dia kepenatan setelah puas memusnahkan apa yang ada di hadapannya. Tubuhnya longlai di atas lantai yang berselerakan. Nadhirah memandang lama siling rumahnya yang kelihatan berpusing-pusing. Dia akhirnya tertidur di tengah-tengah rumah tanpa selimut mahu pun bantal. Hanya kenangan lama yang datang berpusu-pusu menemani malamnya.

Air mata yang sukar bertandang hanya muncul di dalam mimpinya. Dia menangis, meraung, menjerit di dalam mimpi buruknya. Hanya itu yang mampu dilakukan demi merawat kekesalan dihati. Baru kini dia tahu alasan sebenar mengapa dia dibenci, disisihkan, di anggap sial, di anggap malapetaka. Rumah yang sebelumnya begitu cantik dihias kini tidak ubah seperti sebuah tongkang yang baru dilanda badai besar.