Ironinya, Cikgu Muhammad dan Mak Cik Vijaya sudah kembali ke bandar Mentakab. Kini tinggal di sebuah taman perumahan yang tidak jauh dari Kampung Pasir Rawa. Cuma, kampung itu hanya tinggal beberapa kerat orang-orang tua yang masih ada. Bandar Mentakab pula sudah besar. Punya kompleks beli belah di antara rumah-rumah elit yang dibina.
Pasar yang dulunya kecil kini juga besar dengan beberapa binaan khas yang memisahkan perniagaan halal dan tidak. Cendol, nasi lemak dan berbagai lagi masakan yang sedap sentiasa mengindahkan lagi bandar ini. Lebih menarik dengan munculnya pasar malam yang tidak pernah ditutup 365 hari setahun di Jalan Mok Hee Kiang.
Binaan-binaan lama masih utuh. Hospital Mentakab kini sudah menjadi kompleks jururawat. Stesen kereta api sahaja yang masih sama seperti dulu begitu juga dengan Sungai Semantan. Yang membezakan ialah tiada lagi jernih-jernih air. Kini ia diganti dengan warna teh susu yang memekat setiap hari.
Tok Penghulu Ariffin sudah lama meninggal dunia. Mak Cik Cah dan suami juga sudah tinggalkan rumah lama mereka dan kini menetap dengan anak sulung mereka entah di mana. Cikgu Muhammad juga sudah pun bersara dari mengajar. Semuanya kini melalui hari-hari tua dengan menonton televisyen dan menghantar ambil cucu ke tadika dan sekolah.
Nurul dan ibunya juga telah kembali ke Selangor selepas ayah Nurul pulang dari England dan katanya kini sedang menjadi pensyarah di sebuah universiti di Bangi. Leman sudah tidak ambil pusing tentang semua itu. Kehidupannya kini sudah jauh berbeza.
Harap-harap Leman nanti kenal-kenalkan kita dengan sesiapa, tinggal dia seorang sahaja belum bernikah ni, kata Cikgu Muhammad. Mak Cik Vijaya masih lagi sebolehnya mahu Leman membujang lagi setahun dua, tak sanggup melepaskan lagi anak yang disayang-sayang itu.
Selang beberapa hari Leman pulang. Jejaka yang dulunya kurus kering kini berisi sedikit. Pipinya ditumbuhi sedikit sideburn dan hidungnya sedikit besar. Dahinya tajam dan wajahnya masih seakan Dev Anand. Menjadi kebanggaan Mak Cik Vijaya setiap kali Leman pulang. Jiran-jiran pula tidak akan ketinggalan memesan kari kambing yang dimasak Leman.
Entah apa bahan-bahan yang diletakkannya menjadikan kari tersebut sebagai juadah asas setiap kali kepulangannya. Wajahnya paling manis, mudah memberi senyum dan senang sekali ditegur oleh jiran-jiran. Malah, jiran pula kadang-kadang merindui Leman. Bertanya khabar melalui Mak Cik Vijaya tentangnya. Sama ada balik atau tidak atau di mana Leman berdiam sekarang.
Leman sudah selesai berperang dengan kehidupan awal. Semasa di kolej, beliau kerap kali memenangi pertandingan menulis cerpen dan puisi. Sungguhpun beliau mengambil kursus yang tidak ada kena mengena dengan apa yang beliau inginkan, beliau terus aktif menulis.
Dari menulis di media sosial, akhirnya disunting menjadi penulisan di buku. Dari sebuah ke sebuah yang lain dan kini sudah pandai merantau ke negara orang dan kembali menulis tentang perjalanan dan nikmat alam dan suasana makanan serta budaya orang luar. Leman puas menatap semuanya yang berjaya dibukukan. Dapat berkongsi sebanyaknya pahala bersama seluruh penduduk yang boleh membaca dengan baik.
Peperangan menjadi manusia masih belum selesai selagi Leman tidak bersuri. Sudah membujang sekian lama, kini Leman kerap diusik-usik untuk mencari pasangan hidup.
Punya blog yang diikuti oleh ribuan manusia, punya kenalan seantero dunia. Asal ada cuti sahaja Leman akan mengembara ke luar negara. Ada sahaja perancangan yang dibuat secara diam-diam.
Kemudian beliau akan menulis dan menghantarnya ke penerbitpenerbit buku. Leman sudah pun hidup di kalangan pembacapembaca di seluruh negara dengan nama pena yang berbeza.
Hari itu Leman banyak bertanya tentang Pasir Rawa. Lalu terus sahaja Leman menghidupkan keretanya dan membawa ibu dan bapanya ke sana. Melewati tanah yang pernah mereka duduki dahulu yang kini sudah pun dibeli oleh Pak Yus Bilal. Surau dulu sudah dinaiktaraf menjadi masjid dan sekolah lama kini menjadi pejabat dan perpustakaan desa.
Setiap kali Leman pulang ke Mentakab, Leman pasti menziarahi pusara Faduli di Pasir Rawa. Membersihkan dan membacakan Yasin buat insan yang pernah menjadi sahabat paling setia dalam hidupnya.
Sedang leka menyusuri kenang-kenangan, mereka bertiga ditegur Pak Yus yang sudah pun bertongkat. Katanya raya haji nanti mereka mahu menjalankan ibadah korban dengan menjemput penduduk-penduduk yang pernah mewarnai Pasir Rawa. Cikgu Muhammad terus setuju dengan menempah dua bahagian buat dia dan isterinya. Mak Cik Vijaya juga mengangguk beria.
Satu lagi Pak Yus! Saya juga nak!
Pak Yus menyambut dengan ketawa.