TRAVELOG FAGHUZI - 27
Gili Air, Lombok, Indonesia

Begitu banyak hidup orang berubah lantaran sebuah pertemuan. Disebabkan hal itu, umat Islam disarankan melihat banyak tempat dan bertemu dengan banyak orang supaya nasibnya berubah.

- Andrea Hirata

Samudera diredah menuju ke Gili Trawangan. Perjalanan dua jam menempuh samudera ini memperkenalkan kami kepada seorang warga Amerika Syarikat yang baik hati. Diberikan ruang untuk kami duduk di dalam speedboat yang sudah sesak seperti kandang biri-biri. Lelaki itu namanya John. Hala tujunya sama seperti kami. Selain Gili Trawangan, destinasi lain juga dituju oleh bot. Sampai di pantai Gili Trawangan, kami mendapatkan beg kami serta selipar yang diletakkan di dalam satu bekas. Laut di sini cantik. Suasananya tidak jauh berbeza dengan Nusa Lembungan. Gili membawa maksud pulau di dalam bahasa daerah Lombok atau bahasa suku Sasak.

Kami segera mendapatkan mesin ATM. Di kala ini nampak mesin ATM macam savior. Tak peliklah bila manusia mungkin akan berkiblatkan wang. Wang itu penting tapi ia bukan segalanya. John meminta diri untuk pergi ke tempat penginapan ditempahnya dengan menaiki cidomo yang berfungsi seperti kereta kuda. Mesin ATM yang mempunyai PLUS kelihatan, maka bolehlah melakukan transaksi antarabangsa. Aku menjolok kad bankku dan memasukkan nombor pin. Kemudian aku lihat baki. Terkejut. Terasa seperti duit aku beranak-pinak. Ada sapa-sapa hutang aku bank-in duit ke tiba-tiba belambak duit aku ni aku berbisik dalam hati melihat amaun yang bertambah di dalam akaun. Aku tak fikir panjang, terus keluarkan duit. Sudah rezeki agaknya. Usai mengeluarkan duit, bermulalah pengembaraan mencari tempat menyewa basikal. Kami ditegur Mas yang memperkenalkan dirinya sebagai Anim. Ditawarkan tempat tinggal serta sewa sepeda kayuhan. Kami tolak tawaran tempat tinggal. Mulanya mahu bermalam di sini, tapi kemudian kami membuat keputusan untuk mengambil bot petang ke Gili yang lain. Kelihatan sebuah masjid di sini dan ia satu-satunya masjid di Gili Trawangan. Kawasan bersebelahannya hingga ke pantai dipenuhi dengan kelab-kelab malam dan bar. Majoriti masyarakat di sini adalah Muslim dan kebanyakannya sangat konservatif. Mereka jarang berada di pantai kerana terlalu menjaga pandangan mata. Lebih banyak menghabiskan masa di kampung. Kalau ada pun hanya anak-anak muda atau mereka yang berasal dari Bali. Suasana di Gili seperti di Kuta. Terdapat banyak kelab dan tempat berparti. Namun, yang membezakan Kuta dengan di sini adalah tiada langsung kesesakan lalulintas.

Mas Anim yang menguruskan tempat basikal sewa sekali lagi menawarkan pakej snorkeling. Kami yang melepaskan lelah seketika bersetuju untuk menyewa basikal saja. Rp35,000 sehari. Petang sikit kami akan menjelajahi keseluruhan Gili Trawangan ini sebelum ke Gili yang lain. Untuk snorkeling ianya agak mahal dari jumlah yang kami hendak keluarkan. Ia cuma untuk tiga tempat sahaja iaitu kesemua Gili. Kemudian, basikal dipilih mengikut pilihan hati. Aku pilih warna hijau. Haeri pilih basikal hijau lagi satu. Sebenarnya tinggal dua basikal je waktu ni.

Kami memulakan kayuhan ke sekeliling pulau. Begitu seronok sekali apabila aku hanya berlenggang mengayuh basikal di jalanan. Seperti budak kecil baru pandai berbasikal dua tayar. Cuma kena berjaga-jaga agar tidak terlanggar orang atau pengayuh basikal yang lain mahupun cidomo. Persisiran pantai kelihatan sungguh cantik. Terdapat pantai yang hanya dipenuhi dengan batu karang mati yang dibawa ke persisiran pantai kerana dipukul ombak. Ada juga yang bermain surfing. Nampak orang surfing kat sini kira normallah. Orang Malaysia je tengok rasa lain. Sekali-sekala kami terpaksa menolak basikal kerana melalui jalan yang dipenuhi pasir. Beberapa pantai privasi dilalui. Ada yang sedang beromen. Kami lihat sambil lalu. Takkan nak skodeng. Gila voyeur perangai. Terdapat juga beberapa pointview untuk melihat matahari terbenam atau terbit. Di sini, tiada polis. Jika berlaku sebarang masalah atau jenayah, kena pergi berjumpa ketua kampung. Dia akan menyelesaikan segalanya dengan bergaya. Memetik kata-kata trivia Mas Anim, di Gili Trawangan ini ada satu perayaan. Perayaan yang menyambut kebesaran Nabi Muhammad. Waktunya bila aku tak ingat. Perayaan ini disambut dengan semua penduduk kampung akan berarak ke pantai. Mereka mandi berjemaah di pantai sambil berzanji memuji junjungan besar Nabi Muhammad. Pada waktu ini juga para pelancong dinasihatkan untuk berpakaian sopan bagi menghormati tradisi penduduk tempatan. OK. Aku kembali menikmati panorama sambil menyusun kayuhan. Lebih kurang sejam kami sudah habis mengelilingi Gili Trawangan. Itu pun dengan kayuhan bersahaja lagi bergaya. Orang kata slow and steady. Kalau kayuhan seperti pelumba Le Tour de Langkawi, mungkin tak sampai 40 minit dah selesai. Kami pun melepak pekena makanan apa entah namanya di depan kedai yang dijaga

Mas Anim. Ia mengadap pantai. Sudah lewat petang waktu ini. Radio yang terpasang mendendangkan lagu Salam Rindu dari Tipe-X.

Mas, kapan mau bayar uang sepeda aku bertanya.

Bila-bila aja. Ketika kalian hendak menaiki bot juga bisa. Kalian ini asli Jawa tanya Mas Anim. Kami menggeleng. Asli Malaysia, ujar Haeri.

Iya! Waduh, saya ingatkan kalian orang Jawa! Kulit sudah seperti orang Jawa. Cakapnya juga persis orang Jawa. Seloroh Mas Anim lagi. Di Pulau Jawa, kami disangka orang Kalimantan, dan di Lombok kami disangka orang Jawa pula. Mungkin kerana kekerapan menggunakan perkataan mas menyebabkan kami dianggap orang Jawa.

Selesai menjamu selera, kami meminta diri kepada Mas Anim. Beg yang ditumpangkan di kaunter kedainya kami ambil. Bayaran sewa basikal dibayar dan Mas Anim bergegas ke belakang. Kami pula bergegas melangkah ke jeti untuk menaiki bot petang ke Gili Air. Tiket yang dibeli ketika sampai tengahari tadi harganya Rp10,000 saja. Sampai saja di jeti, kami perlu menunggu lebih kurang 15 minit sebelum boleh menaiki bot. Sedang menunggu ini, kelihatan kelibat Mas Anim berbasikal. Gayanya seperti tercari-cari orang barangkali. Kami bertentang mata dan terus dia mengangkat tangan menghampiri.

Waduh, udah lesap tadi kalian. Uang baki lupa diambil! terang Mas Anim memberhentikan basikal di hadapan kami lalu memulangkan baki Rp30,000. Baru aku teringat tadi bayar Rp100,000 untuk dua orang. Bakinya Rp30,000. Langsung tidak teringat oleh kami akan duit baki.

Iya, kami lupa. Menyusahkan mas aja. Ambil aja uang ini buat saguhati, aku menyatakan kepadanya namun Mas Anim enggan mengambilnya.

Uang ini bukan hak saya. Hak orang lain mesti dipulangkan! ujar Mas Anim. Jumlah Rp30,000 mungkin tidak seberapa. Tetapi Mas Anim membuktikan masih wujud manusia yang jujur di kala manusia lebih ramai suka mengambil kesempatan. Sanggup dia berbasikal mencari kami untuk pulangkan baki.

Terima kasih ya mas. Moga Tuhan merahmati, kami mengucapkan terima kasih kepadanya. Haha! Makasih! Tuhan merahmati kalian juga. Kalau ke sini lagi, bisa cari saya. Saya sedia membantu, balasnya lagi sambil bersalaman dengan kami.

Selepas itu, kedengaran suara dari corong pembesar suara yang menyatakan para penumpang bot untuk segera menaiki bot. Lambat, tinggal. Kami pun bergegas mengangkat beg menaiki bot awam yang lebih kecil daripada saiz bot ketika kami datang. Bot mulai membelah lautan sambil disinari cahaya matahari yang sedikit tenggelam di ufuk barat.