BANDUAN AKHIR - 27
MENYELAMI perasaan beberapa penghuni Penjara Wanita Kajang banyak pengajaran yang mampu mencetus keinsafan. Membuang segala prasangka, mereka juga seperti kebanyakan wanita lain di luar yang menginginkan kehidupan sempurna di samping suami dan anak-anak.

Namun, keadaan dan takdir telah membawa mereka ke sini, bagi mencari semula diri yang telah hilang. Selagi bergelar manusia, mustahil dapat lari daripada melakukan kesilapan. Hanya yang membezakan berat atau ringan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Namun, ibarat sesat di hujung jalan kembali ke pangkal bagi mencari semula haluan yang lurus, apatah lagi jika kesalahan yang dilakukan telah ditebus dengan harga yang terlalu mahal.

Begitu juga halnya bagi sebilangan banduan wanita di Penjara Wanita Kajang. Mereka sentiasa mengharapkan peluang kedua. Memberi peluang kedua kepada para banduan ini bagaikan memberi satu kehidupan baru untuk mereka jalani hidup sebagai manusia biasa. Masyarakat harus faham bahawa tidak semua mereka yang dimasukan ke penjara jahat, sebaliknya ada antaranya yang tergelincir daripada landasan hidup disebabkan pengaruhpengaruh tertentu.

Maria Suradi (bukan nama sebenar), baru berusia 22 tahun ketika pertama kali menjejakkan kaki `ke rumah baru bertembok batu kira-kira tiga tahun lalu. Bersekedudukan dengan seorang lelaki sehingga melahirkan dua orang anak sedangkan ketika itu masih bergelar isteri orang. Perbuatan tersebut dikesan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ). Rentetan daripada peristiwa tersebut dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun lapan bulan berbanding pasangannya yang cuma tiga tahun.

Hukuman saya lebih berat kerana saya ada waran tangkap kerana tidak hadir perbicaraan di mahkamah, katanya berterus-terang.

Kalau ikutkan kata Maria, kehidupan di dalam penjara lebih tenang dan tindaktanduk serta perlakuannya juga terkawal berbanding ketika di luar. Di sini dia juga berpeluang semula belajar agama - tahu tentang dosa, pahala, sembahyang dan puasa - sesuatu yang hampir dilupakan terus ketika melalui `zaman gelap dahulu.

Bagaimanapun, apabila mengenang tiga cahaya matanya, hati meronta-ronta mahu keluar, kerinduan yang bersarang bagai tidak dapat bendung.

"Anak sulung dengan suami yang sah dijaga oleh ibu saya. Manakala dua lagi anak dipelihara oleh ibu teman lelaki saya. Sesekali mereka ada juga datang melawat saya di sini," katanya membuka cerita.

Maria sempat memberi nasihat kepada golongan remaja khususnya anak gadis perlu mengambil masa sejenak untuk mendengar kata ibu bapa, jangan biarkan mereka hidup dalam kerisauan disebabkan perangai anak-anak.

Ambil contoh saya sendiri, dulu emak saya larang buat itu dan ini saya langsung tak ambil peduli, tetapi apabila saya sendiri jadi ibu saya dapat memahami kerisauan emak terhadap anak-anak, katanya.

Dia diberi peluang kedua walaupun teman lelaki yang kini sudah bebas telah menyuarakan hasrat untuk mengambilnya sebagai isteri yang sah, Maria belum mahu memikirkan hal itu. Apa yang bermain di kotak fikirannya sekarang adalah untuk mencari kerja yang elok dan membesarkan anak-anak.

Kenangan silam cuba dilontar jauhjauh demi kehidupan baru yang bakal menunggu. Kalau waktu boleh diundur mahu sahaja Hafifah Aziz (bukan nama sebenar) kembali ke zaman remajanya dan membetulkan semula kehidupan yang jauh terpesong. Bergelar penagih dadah seawal usia 17 tahun, Hafifah menyalahkan kehidupan bebas tanpa kawalan sebagai punca dia disumbat ke penjara sejak enam bulan lalu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu, mengakui berkelakuan liar sejak di bangku sekolah yang hanya sempat dihabiskan setakat tingkatan empat. Setahun kemudian mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang dicintainya, tetapi belum sempat setahun mereka bercerai kerana suami didakwa bermain kayu tiga.

Begitupun mereka sempat memperoleh seorang cahaya mata yang kini berusia tujuh tahun dan dipelihara oleh ibu Hafifah. Kecewa dengan situasi itu, dia berkawan dengan seorang jejaka yang akhirnya membawa dia ke kancah penagihan dadah sehingga tertangkap. Mengejutkan! Rupa-rupanya ini bukan kali pertama dia mendiami sel berpalang besi itu, sebaliknya untuk kali ketiga.

Kali pertama menjejakkan kaki ke Penjara Wanita Kajang pada 2001 apabila dikenakan hukuman penjara 9 bulan kemudian pada 2002 selama 20 bulan - kesemuanya atas kesalahan yang sama, menagih dan memiliki dadah.

Bila masuk sini, insaf sekejap, rasa tak mahu buat salah lagi. Tapi bila dah keluar, kaki seperti ditarik-tarik untuk pergi ke lorong-lorong gelap mencari serbuk haram itu, katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Dengan air mata yang mula menitik ke pipi, ibu tunggal itu berharap kali ini dia cukup kuat untuk melawan godaan tersebut memandangkan anaknya semakin besar dan akan menginjak ke bangku sekolah. Dia sedar, sampai bila mampu berbohong kerana lambat-laun anaknya pasti akan tahu dan boleh berfikir sendiri.

Emak ada juga datang melawat.

Selalunya dia akan bawa sekali anak saya. Saya beritahu dia saya pergi kerja jauh, cukup masa saya akan balik, katanya.

Walaupun belum mempunyai sebarang perancangan, Hafifah berharap masyarakat dapat menerimanya semula apabila dia keluar sebagai insan yang bebas suatu hari nanti.