FIZIK-LAH! - 27
Bagaimana manusia mampu melihat Ya, dengan mata. Bagaimana mata manusia mampu melihat

Persoalan ini pernah ditimbulkan satu masa lalu oleh ahli falsafah Yunani. Plato dan Pythagoras memikirkan cahaya berasal daripada mata manusia. Penglihatan berlaku apabila kuar (probe) yang bersaiz kecil dan halimunan (invisible) keluar daripada mata dan dihantar untuk mendapatkan maklumat. Maklumat yang diperoleh itu, dihantar ke dalam mata, lalu terhasillah penglihatan.

Empedocles pula menyatakan segala sesuatu termasuklah mata dicipta daripada empat unsur utama, iaitu api, air, udara dan tanah. Manusia dapat melihat kerana mata manusia telah dinyalakan api untuk menyuluh cahaya.

Manusia mengambil masa lebih kurang 1000 tahun untuk menemui bagaimana sebenarnya manusia dapat melihat. Alhazen (Ibnu Haytham) menyanggah pendapat filsuf-filsuf Yunani itu kerana teori mereka tidak dapat menjelaskan mengapa mata itu kadangkala gelap dan tidak menghasilkan cahaya.

Alhazen menyatakan manusia dapat melihat kerana cahaya masuk ke dalam mata manusia. Tetapi hampir semua objek tidak dapat menghasilkan cahaya. Bagaimana manusia dapat melihat objek di sekeliling mereka

Sumber cahaya yang terbesar bagi penduduk Bumi adalah Matahari. Matahari ini memancarkan cahayanya pada objek-objek di Bumi. Lalu, cahaya tersebut dipantulkan oleh objek dan masuk ke dalam mata. Seterusnya, ia melalui retina dan terhasillah imej. Kita tak dapat melihat pada waktu malam kerana tiada cahaya yang dapat dipantulkan oleh objek.

Antara yang menyebabkan manusia rabun adalah kerana masalah pada lensa mata dan pemegang lensa tersebut. Lensa adalah komponen utama mata yang memfokuskan kemasukan cahaya. Cahaya yang dipantulkan oleh objek bersifat mengembang. Jadi, tanpa lensa ini, apa yang kita lihat akan kelihatan kabur. Lensa ini membantu memfokuskan cahaya yang mengembang itu.

Konsepnya dapat dilihat dengan kamera. Kamera mempunyai fungsi fokus yang membantu menajamkan gambar yang mahu ditangkap. Orang yang rabun biasanya lensanya tidak dapat memfokuskan cahaya dengan baik dan normal.

Rabun ada beberapa jenis. Antaranya adalah rabun jauh yang turut dikenali sebagai myopia. Rabun jauh adalah apabila objek yang jauh kelihatan kabur. Rabun ini berlaku kerana cahaya yang difokuskan oleh lensa tidak terbentuk pada retina, tetapi terbentuk di hadapan retina. Jadi, imej terbentuk di hadapan retina. Sebab itulah objek yang jauh kelihatan kabur.

Rabun dekat pula dikenali sebagai hyperopia. Rabun dekat adalah apabila objek yang dekat kelihatan kabur. Rabun ini berlaku kerana cahaya yang difokuskan oleh lensa tidak terbentuk pada retina, tetapi terbentuk di belakang retina. Jadi, imej ini terbntuk di belakang retina. Sebab itulah objek yang dekat kelihatan kabur.

Seperkara lagi, walaupun mata kita normal, jarak antara objek dan mata menentukan ketajaman imej yang dihasilkan oleh retina. Maksudnya, terdapat jarak fokus yang menentukan kejelasan objek yang kita lihat. Kadangkala, objek yang terlalu dekat dengan mata, membuatkan objek itu kelihatan kabur. Biasa pernah berlaku, kan

Bila objek kabur kerana jaraknya terlalu dekat dengan mata, kita cuba kecilkan mata kita supaya dapat melihat dengan jelas. Konsepnya, apabila objek terlalu dekat mata, cahaya yang dipantulkan mula lari daripada fokus dan berkembang semula.

Jadi, pemegang lensa ataupun nama biologinya dikenali sebagai otot siliari membantu membetulkan lengkungan lensa sesuai dengan jarak objek. Sewaktu kita mengecilkan mata kita untuk melihat objek yang terlalu dekat, lensa dilengkungkan oleh otot siliari untuk memfokuskan kembali cahaya supaya dapat melihat dengan jelas. Otot siliari yang tidak dapat berfungsi dengan baik boleh menyumbang kepada rabun. Sama ada rabun jauh mahu pun rabun dekat.