Demi Ajai - 28
bab 28

MENTARI sepenggalah mencarak di balik tirai pagi. Pekikan unggas yang dalam perjalanan mencari rezeki menyinggahi ruang kamar. Laguh-lagah pagi itu menemani awal hari Tok Batin Kutam di wilayah sepinya.

Satu per satu pakaiannya dilipat. Lalu ditimbunkan di atas katil. Usai semua dilipat, pakaian yang berlapis rapi itu diceduk untuk disusun kemas ke dalam bagasi. Selesai dizip beg tersebut, dia menyandar di birai katil. Kudrat tuanya lelah melawan bongkok dan sila yang lama.

Sebentar lagi dia mahu ke rumah Majid. Dia mahu meninggalkan amanat dan tanggungjawabnya kepada pawang itu sementara dia di Kuala Lumpur nanti. Lagi pun dia ada meminta tolong daripada anak bomoh itu supaya mengutip buah teratai untuk dibawa ke rumah Cikgu Isa. Ajai tentu suka. Dahulu, dia dan kawan-kawannya mengambil upah memetik teratai di Tasik Chini untuk diberikan kepada pelancong di sini. Kali ini, dia pula akan diberikan secara percuma.

Di sebelah petang pula Syuib akan menghantarnya ke pekan. Bas akan bertolak kala senja nanti. Tetapi, dia harus ada di perhentian bas lebih awal memandangkan ini kali pertama keberangkatannya ke luar kawasan.

Tok Batin Kutam membiarkan ruang fikirnya dilatari wajah Tok Keman. Memang sengaja dia mahu mengingatkan kembali mimpinya malam tadi. Mimpi itu bernilai sama sebuah janji. Jadi, dia perlu memberi jiwanya kepada mimpi itu sejenak.

Tok Keman mengganggu lagi tidurnya semalam. Orang tua itu berpesan yang serupa seperti mimpi pertamanya dahulu. Sekali lagi nama Lazim menjadi bual utama pawang itu. Dan begitulah juga dia dipertanggungjawabkan untuk berterus terang kepada Cikgu Isa tentang Ajai. Kendatipun mimpi tersebut rumit untuk diinterpretasikan, tetapi janji kekal janji. Tambahan pula, dia pasti akan terbeban untuk terus menggonggong rahsia penting itu pada hari mendatang. Biarlah diserahkan sahaja kepada Lazim dan Cikgu Isa menyelesaikannya.

Tiba-tiba Tok Batin Kutam digugah oleh seruan dari luar rumah. Pintu rumahnya juga diketuk berkali-kali. Langsung dia bangkit dan menuju ke anjung.

Tokki, apa khabar

Lama Tok Batin Kutam merenung pemuda di depannya. Otaknya pula berselirat mencari peribadi pemuda tersebut.

Saya Lazim. Tokki sudah lupa terang Lazim sambil mulut menyeringai.

Oh, Lazim! Tokki hampir-hampir lupa. Masuklah dulu. Tok Batin Kutam menguak pintu depan lalu bersanggit kedengaran. Barangkali engsel pintunya sedikit berkarat.

Dia mempelawa Lazim duduk di sofa kusamnya.

Tokki ke dapur dulu, ya. Lalu dia meninggalkan pemuda itu di ruang tamu.

Jangan susah-susahkan diri, Tokki. Saya singgah sekejap saja.

Bicara Lazim tidak diendahkan Tok Batin Kutam. Lazim memerhatikan langkah longlai ketua kampung itu sehingga lenyap daripada pandangan. Dia melihat jam di tangan kirinya. Selepas ini dia mesti pulang semula ke kota kerana Datuk Murad perlu menghadiri majlis makan malam anjuran kementeriannya.

Hatinya senang sejak dalam perjalanan tadi. Dia sudah selangkah ke puncak jaya. Baginya, inilah masa paling sesuai untuk mengubah dan menjungkirbalikkan sejarah. Sebuah sejarah silam yang perlu digelapkan dan ditimbus. Dia rimas dihantui perasaan bersalah.

Hadirnya ke Kampung Kelipuk kali ini bukan angan kosong atau dongeng yang dipaksa oleh hati. Dia datang menuntut simpati Tok Batin Kutam. Biarlah hari ini dia menangis lagi.

Biarlah jantannya terlondeh lagi kali ini. Yang pasti, air mata yang berderai itu bukanlah air mata buaya. Hanya Tuhan yang Maha Tahu segalanya.

Nah! Tokki minta maaf tak dapat sediakan yang sedap-sedap macam di Kuala Lumpur tu. Tok Batin Kutam merendah diri. Sebenarnya dia malu juga menyambut kedatangan pelawat tanpa apa-apa. Sudah nasib Lazim begini kerana dia datang tidak kena pada masanya.

Tokki, saya datang pagi ini nak bincang tentang Cikgu Isa. Lazim tidak menunggu lama. Dia terus kepada tujuan utama.

Tentang Cikgu Isa Mengapa soal Tok Batin Kutam.

Begini, saya mohon Tokki ceritakan serba sedikit tentang guru itu. Sejauh mana hubungannya dengan Ajai, bagaimana sikapnya dan apa-apa sajalah yang Tokki tahu. Lazim seakan memaksa orang tua itu bercerita. Hakikatnya, dia mahu segalanya berjalan dengan lancar. Sebab itulah dia tidak terus berjumpa dengan Cikgu Isa. Sebolehnya dia mahu kedua-dua belah pihak memutuskan yang terbaik demi kemaslahatan Ajai.

Tok Batin Kutam menghela nafasnya sambil mengejam mata. Perlahan-lahan dadanya turun semula.

Lazim, sebenarnya Tokki juga ada hajat.

Ada perkara yang perlu kamu tahu, jelas ketua kampung itu lambat-lambat.

Apa dia Berkerut dahi Lazim menyerlahkan keghairahannya.

Tapi, Tokki perlu berbincang dengan Cikgu Isa dulu. Petang ini Tokki akan ke Kuala Lumpur. Selepas mendapatkan persetujuannya, baru Tokki beritahu, ujar Tok Batin Kutam tenang.

Lazim terkejut. Barulah dia sedar bahawa dia bernasib baik kerana sempat menemui ketua kampung itu sebelum dia bertolak ke kota.

Tokki nak ke Kuala Lumpur petang ini juga Dengan apa tanya Lazim.

Bas.

Tokki ada saudara-mara di sana Lazim bertanya dengan penuh minat. Dia berkenan menawarkan diri. Mungkin ini sahaja budi yang dapat membalas jasa orang tua itu. Apalagi dia tinggal seorang diri di rumah.

Sementara mencari rumah Cikgu Isa, Tokki boleh tinggal di rumah tumpangan. Kosnya pun murah. Lagi pun bukannya lama sangat di sana. Lepas tiga hari Tokki pulang semula, ujar Tok Batin Kutam. Jauh dari sudut hatinya, dia gusar berada di bumi orang. Biarpun Kuala Lumpur itu sebahagian daripada Malaysia, tetapi selepas dia mendengar pelbagai cerita yang kurang enak dari mulut teman-teman, dia

mula curiga. Tentu sepanjang keberadaannya di sana dia akan berada dalam ketakutan. Apatah lagi dia belum pernah menjejakkan kaki ke tanah sendat itu.

Beginilah, Tokki. Apa kata Tokki tinggal saja dengan saya. Tetapi, saya tak boleh janji dapat berjumpa dengan Cikgu Isa dalam tempoh terdekat ini. Saya ada urusan bersama majikan saya. Mungkin lima hari lagi barulah kita boleh ke rumahnya. Bagaimana soal Lazim penuh tanda tanya.

Tok Batin Kutam mengeluh. Dia terkenangkan tugasnya selaku tok batin di kampung itu. Namun, cepat-cepat dikuatkan semangatnya. Dia yakin akan kemampuan Majid. Bomoh itu juga rajin bekerja. Mungkin seminggu dia di sana tidak akan membawa masalah kepada Majid.

Bolehlah kalau begitu. Yang penting, segalanya berjalan lancar. Tokki risaukan Si Ajai itu saja. Dia perlu tahu asal usulnya. Tapi, kita perlu fikirkan soal Cikgu Isa juga, Tok Batin Kutam menyuarakan perasaan kelirunya. Buntu dia memikirkan konflik segi tiga itu.

Ya, saya faham. Kalau macam tu, ayuhlah kita berangkat sekarang. Lazim cepat-cepat meneguk secangkir teh yang terhidang.

Tok Batin Kutam mengangguk. Ya, tapi nanti kita singgah di rumah Majid dulu, ya Tokki ada urusan lain untuk diselesaikan.

Baik, Tokki. Lazim membalas berserta senyuman. Mungkin inilah senyuman paling manis yang pernah dihamparkan.

RENTETAN peristiwa hitam yang berlenggeklenggek sepanjang bulan itu benar-benar meng hukum batin Ajai. Bermula dari masalah kesihatan Cikgu Isa, sehinggalah kes pergaduhannya dengan Farid. Setiap satu memberi dampak buruk kepada perjalanan hidupnya. Paling meninggalkan kesan ialah saat Cikgu Omar merotannya di hadapan khalayak ramai minggu lalu. Sejak itu, dia sudah tawar hati untuk ke sekolah.

Dia bernasib baik kerana Cikgu Isa masih belum mengetahui berita tentang Farid yang luka teruk disantaknya. Jika tidak, pasti kesihatannya bertambah kritikal.

Kes disiplin tersebut turut mempengaruhi persahabatannya dengan rakan lain. Kameena dan Syasya sengaja menyembunyikan diri. Malah, apabila berselisih, selembar senyuman pun tidak ditebarkan.

Cuma Gana sahaja yang memahami. Gana lebih mengerti kerana dia pernah dibuli Farid suatu masa dahulu. Tidak seperti rakan-rakan lain yang terlalu kejam. Mereka menganggapinya sebagai seorang pesalah dan samseng sekolah.

Ajai mengibas-ngibas kain pengelap yang

diberati sisa air cucian daripada motosikal pelanggan tadi. Hari ini sahaja, hampir sepuluh buah motosikal selesai dicucinya. Itu pun pinggangnya sudah mula meragam. Berbeza dengan pekerja-pekerja lain yang sibuk melayan kereta yang berjejal-jejal sedari pagi tadi. Mereka semuanya masih gagah. Malah, terhegeh-hegeh menawarkan diri kepada kenderaan di tengah jalan untuk singgah di tempat cuci kereta itu.

Aduh, budak! Udah capek tegur Diman dari belakang.

Ajai terenjat lalu berpaling. Oh, Diman! Yalah. Penat sungguh hari ini. Semalam taklah ramai sangat. Kali ini, lenguh satu badan dibuatnya.

Diman tergelak kecil. Kemudian dia mengesat-ngesat jarinya yang kotor terkena minyak motosikal dengan sehelai kain bersih. Menyedari kotoran itu liat untuk dinyahkan, lalu ditenyeh-tenyehnya dengan sebelah tangan yang satu lagi. Termuncung-muncung bibir saganya.

Ajai, udah berapa lama kamu enggak ke sekolah tanya Diman tanpa memandang wajah Ajai.

Ajai tersenyum melihat gelagat pekerja Indonesia itu. Sudah hampir seminggu termasuk hari ini. Ajai membalas sambalewa. Dia sibuk dengan kain pengelapnya. Berkalikali kain itu diperah dan dikibas-kibas ke udara.

Satu minggu Lama juga. Cikgu kamu enggak marah soal Diman lagi.

Entah. Mereka bukannya pedulikan saya pun. Rendah sahaja suara Ajai bagai orang merajuk. Seingatnya, pada hari pertama dia diterima bekerja di sini, dia ada meluahkan isi hatinya kepada Diman. Serba-serbi tentang sekolahnya dikhabarkan. Daripada sikap guruguru sehinggalah perangai rakan-rakan. Dia tahu Diman faham akan situasinya sekarang. Tinggal lagi, dia perlu menerima nasihat pemuda dari negara seberang itu setiap hari.

Walaupun Diman senang dengannya di sini, itu bukan bererti dia bersetuju dengan tindakan Ajai yang melarikan diri daripada timbunan masalah. Saban hari Diman akan bersyarah memintanya kembali ke sekolah. Paling kurang pun, sekali. Dia tidak peduli nasihatnya bakal diterima atau dituli, yang penting baginya dia telah melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang manusia yang berperaturan.

Kadang kala pernah juga dia terfikir untuk menyuruh Ajai berterus terang kepada Cikgu Isa sendiri tentang salah laku pontengnya. Tetapi, bicaranya akan tercantas kerana khuatir akan menggarit hati remaja Orang Asli itu. Dia sedar, rajuk Ajai adalah disebabkan pergolakan yang meruap dalam diri. Jadi, dia enggan menyemarakkan api gejolaknya lagi.

Mat Indon! Tolong basuhkan kereta ni.

Cepat sikit, pekik satu suara parau menerobos gegendang telinga Ajai dan Diman.

Ya, abang. Tunggu di kerusi itu dahulu, ya pinta Diman kepada pelanggan yang memandangnya. Dia tersenyum sambil ibu jarinya dijulurkan ke arah kerusi yang masih kosong. Lembut tingkahnya.

Ajai terkedu menyaksikan apa yang dilihatnya tadi. Kepalanya digeleng-gelengkan.

Abang Diman. Sekejap, seru Ajai dari jauh.

Diman mematikan langkahnya betul-betul di sebelah tong biru yang penuh berisi air.

Ada apa, Ajai

Ajai berlari-lari anak dan berhenti di hadapan Diman.

Kenapa Abang biarkan saja orang itu panggil abang, Mat Indon tanya Ajai.

Diman terkerising. Apa masalahnya dengan panggilan itu balas Diman sengaja menduga.

Bukankah masyarakat Indonesia kurang enak digelar begitu Ajai mencerahkan persoalan yang berlegar di mindanya.

Diman tersenyum lagi. Ya, benar. Tapi, kepada segelintir saja. Istilah Indon itu sendiri tidak ada maksud. Ia cuma kependekan daripada kata Indonesia. Hanya sedikit pihak berasa

terhina diseru begitu. Kononnya, ia kurang ajar. Sedang dari segi maksudnya, tiada apa. Selagi maksudnya tidak bercanggah, kenapa mahu marah Melainkan niat orang itu untuk mengeji, Diman menjelaskan dengan panjang lebar.

Oh, barulah saya faham! Tetapi, jika tujuannya menghina memang perlu dipertahankan. Ajai merujuk kepada istilah jakun yang digunakan segelintir masyarakat. Sehingga kini dia masih terasa hati. Setiap kali didengari perkataan itu, pasti bulu romanya menegak.

Yalah. Siapa-siapa pun akan marah. Udah, Ajai. Kita sambung nanti saja. Diman terus meninggalkan Ajai yang masih bergelut dengan isu suku kaumnya.

Ajai.

Serentak itu, Gana datang ke arahnya. Ajai dapat melihat rakannya itu terjengket-jengket mengelak lopak-lopak yang digenangi saki-baki air cucian.

Awal kau balik soal Ajai kepada Gana yang tercungap-cungap di hadapannya.

Gana tidak terus menjawab. Dia membiarkan mengahnya bebas dahulu.

Ajai tersenyum melihat gelagat Gana. Dia bersyukur Gana sudah memaafkannya dan sudi kembali bersahabat dengannya. Usahanya

membujuk dengan mengutuskan surat maaf setiap hari di laci mejanya dahulu berhasil.

Awal kau kata Aku bukan main terkejarkejar lagi ke sini, kau boleh kata awal. Sudah pukul 2.30 petang ni, ujar Gana seraya menunjukkan jam tangannya.

Oh, ya! Aku terleka. Aku belum solat zuhur lagi. Macam mana hari ini Kameena sihat tanya Ajai perlahan.

Gana menjegilkan matanya. Tiap-tiap hari tanya tentang Kameena. Bukan nak tanya pasal pelajaran. Dia sihat. Elok saja aku tengok dia dengan Syasya tadi.

Ajai sengih. Aku tanya saja. Dia kawan kita, kan Belajar macam mana Ada manamana cikgu cari aku

Setiap petang sebelum pulang Gana akan singgah di tempat cuci kereta ini. Setiap kali itu jugalah Ajai akan bertanyakan soalan yang sama. Dia mahu menduga sikap cakna guru-

guru di sekolah itu. Ternyata tidak seperti yang diharapkan.

Ajai, walaupun cikgu-cikgu lain tak hiraukan kau, tapi fikirkanlah tentang Cikgu Isa. Dia sakit. Kasihanlah sikit. Jangan sampai dia tahu kau ponteng. Masak kau nanti. Gana menaruh harapan agar temannya itu sedar. Tetapi, dia bukanlah insan yang paling layak untuk menegurnya. Lagi pula, mereka pernah

berperang dingin suatu masa lalu. Dia enggan persahabatannya retak sekali lagi.

Nanti-nantilah. Kau pun tahu, aku bukan sengaja nak ponteng. Selain aku merajuk membawa diri, aku memang berniat untuk kumpul duit sendiri. Sekurang-kurangnya, aku dapat sara diri. Aku malas bebankan Cikgu Isa lagi. Wang untuk pembedahannya pun masih tidak cukup, mana mungkin aku sanggup sesakkan fikirannya.

Soal wang pembedahan itu kau jangan pusing sangat. Bapa aku doktor. Kita boleh bincang hal ini, Ajai. Yang pentingnya sekarang, pelajaran kau. Bulan depan kita nak PMR. Kalau kau gagal gembirakan hati Cikgu Isa, macam mana kau nak balas jasa dia selama ini Suara Gana lebih menekan. Dia serius memanusiakan Ajai yang dilihat semakin tidak keruan. Dengan penampilan yang kusut, pakaian kotor dan rambut yang tidak terurus tentu sahaja Ajai memerlukan semangatnya semula.

Aku sedar asal usul aku. Aku bukannya tak mengulang kaji di rumah. Aku cuma tak ke sekolah saja, balas Ajai mempertahankan tindakannya.

Ya, aku tahu. Tapi, keberkatan itu tiada. Ilmu penuh di dada pun, kalau tak diberkati, samalah juga dengan sepinggan nasi yang sudah basi. Kosong. Gana terus menguji Ajai dengan nilai Islami yang dipelajari.

Ajai terkesima. Merah padam mukanya apabila disindir sebegitu. Kata-kata Gana ibarat ekor petir yang memanah terus ke jantungnya. Pedih hulu hatinya.

Ego mula meraja dalam diri Ajai. Dia berpaling ke belakang meninggalkan Gana yang terpinga-pinga. Ajai terus melangkah pergi dan tenggelam dalam bayang hitamnya sendiri.