BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 28
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar... Laaa ila haillallah hu wallahu akhbar, Allahuakbar wallillah ilham.

Takbir raya bergema di seluruh sudut masjid. Leman mengambil tempat dengan jubah besar yang ditempah dari sekitar tempat kerjanya. Ayahnya duduk di ruang paling hadapan dan ibunya sudah memasuki ruang solat wanita.

Pak Imam membuat pengumuman tentang solat raya dan kemudiannya memaklumkan sekian-sekian bab korban lembu dan kerbau usai solat nanti. Maka saat solat ingin dimulakan, semua jemaah bangun serentak dan mengangkat takbir. ***

Leman lekas menyalin baju di tandas masjid lalu cepat pergi ke kereta dan mengambil pisau-pisau untuk melapah daging korban. Mak Cik Vijaya sudah lama mengambil tempat dan duduk bersama orang kampung.

Meja kayu dipasang memanjang dengan alas plastik dan surat khabar dibentangkan. Teh O pekat diletakkan di hujung meja dengan cawan-cawan kertas yang tinggi disusun. Mihun juga tersedia untuk memberi tenaga kepada yang bekerja pagi itu. Siap dengan sambal kicap hitam pekat untuk menambah rasa mihun.

Orang lain juga sudah duduk mengambil bahagian. Ada yang sudah menghadap lembu-lembu yang bakal dikorbankan. Ada juga yang menyedia bahan-bahan memasak untuk terus dibuat kenduri. Ada juga yang bersembang bagai nak rak hingga sekampung dengar. Semuanya beraksi dalam dunia kendurikendara. Meriah.

Leman menuju ke meja yang menempatkan makanan dan minuman. Berjalan seorang diri sambil di sisi pinggangnya sudah tersedia pisau untuk menghiris daging-daging lembu yang telah dikorbankan. Lalu diambil pinggan kertas dan terus sahaja memandang mihun.

Sedang elok Leman menyenduk sesenduk mihun, Leman tercium bau haruman berbeza dari hamis darah lembu yang telah disembelih. Lalu didongak dan dipandang wajah yang berdiri cegat sedang senyum di hadapannya.

Nurul!

Leman!