Memang ada perkaitannya. Perkaitan yang sangat besar. Terlalu besar sehingga ianya diluar skop kefahaman dan pengetahuan Zack sendiri. Dan lelaki-lelaki yang Zack bunuh itu hanyalah sebahagian kecil dari gerombolan manusia yang Zack nampak tidak berwajah. Dan mereka wujud untuk satu tujuan yang sama.
Bagi Zack, misinya untuk membalas dendam terhadap lelaki-lelaki yang telah memusnahkan hidup Anom itu adalah sesuatu yang sudah tersangat besar. Tapi Zack tidak tahu. Bahawa ianya adalah hanya sekelumit dari suatu fenomena yang lebih mega.
Munir meletakkan kepalanya ke riba Suraya yang baru selesai solat Isyak. Belum pun sempat berdoa, suaminya perlu dibelai dulu. Tangan Suraya mengusap dahi Munir. Rambut kusut Munir disikat dengan jari-jemarinya.
"Abang kena tukar syampu lain la. Rambut ni kasar sangat. Macam berus dawai..."
Munir tidak mengendahkan Suraya. Otaknya sedang jauh melayang ke tempat lain. Memikirkan tentang apa yang berlaku hari ini.
Selepas berjumpa dengan Joey tadi, Munir terus menuju ke alamat yang diberikan untuk mencari Arfan. Tapi rumah itu sudah ditinggalkan kosong. Sejak sebulan yang lepas menurut jiran sebelah. Mereka pun tidak tahu kemana Ustaz Amir dan Arfan berpindah.
Kecewa dengan perkara itu, Munir mengalih perhatiannya kepada petunjuk seterusnya di dalam teka-teki yang tidak berkesudahan ini. Iaitu Zack. Dan hanya seorang saja yang tahu siapa Zack di dalam novel adaptasi itu. Penulisnya. Tapi malang buat Munir, penulis itu juga tidak dapat dihubungi. Munir tak pasti samada penulis itu sedang mengelak untuk bercakap dengan dia, ataupun sesuatu telah berlaku kepadanya. Yang pasti, ia merupakan sesuatu yang Munir akan terus usahakan esok. Malam ini dia cuma hendak merehatkan minda. Cuba untuk meletakkan semua dalam keadaan beku buat sementara waktu. Otak seseorang hanya boleh menerima setakat yang ia mampu. Dan sejujurnya, Munir rasa otaknya memang sudah tidak dapat menampung lagi. Macam hendak meletup.
"Abang okey ke..." soal Suraya lembut. Walaupun hakikatnya dia tidak perlu menanyakan soalan itu. Dia cukup kenal suaminya. Setiap riak dan gerak, Suraya sudah hafal. Jadi dia tahu bahawa suaminya sedang runsing sekarang ini. Cuma dia tidak tahu kenapa.
"Abang tau kan... kalau abang ada masalah apa-apa, abang boleh kongsi dengan saya. Manalah tau, saya boleh tolong ke"
"Tak ada apa yang Sura boleh buat. Sedangkan abang sendiri pun tak tau nak buat apa. Apa lagi awak..."
"Tapi sekurang-kurangnya abang cerita jelah dekat saya. Jangan simpan je dalam hati. Kalau abang luahkan lagi bagus. Boleh lapangkan dada. Lagipun saya bimbang. Doktor kan cakap abang tak boleh stress. Takut penyakit abang tu datang balik."
"Abang okey jelah. Lagipun Sura tau kan Abang bukannya betul-betul ada penyakit. Abang jadi macam tu dulu sebab kesan hidu dadah dalam novel tu."
"Iyalah... tapi abang kena beringat jugak. Saya cuma tak nak peristiwa lama berulang kembali je..."
"Masalahnya bukan abang yang suka-suka nak ulang. Novel hitam tu yang tak habis-habis kacau abang."
"Kacau abang Kacau macam mana" Suraya mula rasa tak sedap hati. Dia sangka Munir sudah betul-betul berjaya melupakan peristiwa itu. Cukuplah Munir terpaksa masuk ke pusat psikiatrik dulu kerana novel hitam itu. Suraya tak mahu ia berulang lagi.
"Jangan risau. Bukan kacau macam dulu. Abang waras sekarang ni. Masih siuman. Cuma ada benda-benda berbangkit baru-baru ni yang membuatkan abang kena fikir balik pasal novel hitam tu. Sebab abang rasa novel hitam tu ada kaitan dengan pembunuhan bersiri yang duk berlaku dalam negara kita sekarang ni."
"Yang Pembunuh Batik Biru tu ke Takkanlah!" tepis Suraya. Seolah perkara itu memang tak masuk akal.
"Awak tak tau.... Ada banyak benda yang mengaitkan novel hitam tu dengan kes-kes pembunuhan. Contohnya, di keempat-empat tempat kejadian, kami ada jumpa cerita-cerita pendek yang ada persamaan dengan cerita-cerita dalam novel hitam yang mak kandung Adib tulis tu."
"Abang nak hairan apa Novel hitam tu kan dah dikomersialkan. Oleh penulis Ismi Fa entah ke apa nama dia tu.... Jadi ramai la yang dah baca. Mungkin mangsa-mangsa bunuh tu pun antara pembaca novel tu kut. Sebab tulah dia orang tulis cerita yang ada kaitan dengan novel tu."
"Tapi untuk apa"
"Entah. Hobi mungkin Ataupun dia orang pun berangan nak jadi penulis jugak."
"Tapi Sura nampak tak kaitan dia Takkan empat-empat macam tu Lepas tu empat-empat jugak kena bunuh dengan pembunuh yang sama. Tak mungkin semua tu kebetulan."
Suraya diam. Bibirnya mengemut. Sambil itu jari telunjuknya menekan-nekan pipi seperti sedang memikirkan sesuatu.
bersambung
Bab akan datang:
Dapatkah Suraya memikirkan cara untuk membantu Munir