ASKAR BERJALAN KAKI - 28
Seminggu selepas lawatan aku di arahkan untuk membuat tinjauan ke pulau di mana kami akan memulakan Operasi Pasir iaitu operasi untuk mengawal perairan Sabah dari pencerobohan musuh serta pendatang haram.

Kawasan operasi tersebut merupakan pulau-pulau yang pernah aku duduki mulai tahun 1990 hingga 1994. Di sanalah kami mengawal perbatasan dari pencerobohan pendatang dan lanun secara bergilir-gilir.

Aku juga mempelajari beberapa bahasa Ubian iaitu salah satu etnik yang berasal dari Filipina. Hampir 100% bangsa Ubian adalah berugama Islam dan mereka memperolehi sumber pendapatan melalui aktiviti pertanian dan menangkap ikan. Pemikiran mereka tidak begitu berkembang jauh kerana pembangunan belum sampai ke sini serta masalah pemikiran mereka sendiri (mental block)

Aku melakukan tinjauan ke beberapa lokasi termasuk pulau Balambangan dan pulau Bangi. Aku jadi malu sendiri apabila di sana sini orang menjerit namaku. Ada yang rindu, malah ada yang memberi berbagai pujian yang aku sendiri tidak suka dengar.

Pujian bagiku boleh meracun minda dan menjadikan kita riak serta lupa diri. Tetapi yang pastinya mereka terkejut kerana aku kembali ke pulau Balambangan.

Salah seorang penduduk di pulau Balambangan dikenali sebagai Mak Aji terus memelukku dan menyatakan syukur ke hadrat Illahi kerana dapat berjumpa kembali setelah hampir 8 tahun aku meninggalkan pulau tersebut.

Aku senyum sendirian bila mereka mengajuk cogan kata yang aku tinggalkan ketika operasi pada masa itu seperti wattako dan lenggok ketawa. Aku memang nakal pada masa itu tetapi cukup tegas menjalankan aktiviti jiwa murni seperti pembersihan kampung, kelas agama dan bantuan-bantuan lain kepada orang kampung.

Sumbangan kecil ku masih di kenang dan disebut-sebut kepada setiap kumpulan tentera yang mengambil alih tugas operasi. Bagiku adalah menjadi tanggungjawab untuk kita berkongsi apa yang kita tahu untuk manfaat orang lain. Seperti sabda Nabi s.a.w sampaikanlah walau satu ayat.

Setelah tamat tinjauan aku membuat persiapan untuk membawa kumpulan besar ke kawasan operasi. Inilah kali pertama aku operasi sebagai seorang yang telah berumahtangga dan berjauhan dari keluarga.

Bukan rindu yang menjadi persoalan tetapi soal beban tanggungjawab yang aku tinggalkan pada isteriku untuk menguruskan segalanya. Aku hanya bertawakkal agar segalanya menjadi mudah.

Operasi kali ni juga berbeza kerana aku bukan bertanggungjawab pada sebuah pulau sahaja tetapi terhadap 3 pulau dan satu platun pentadbiran di Kudat.

Bersama kompeni aku ada beberapa anggota yang mempunyai masalah disiplin yang serius. Aku sendiri memantau mereka kerana jika dibiarkan mereka boleh menjadi sangat liar. Mereka bukan sahaja bermasalah tetapi cukup licik dalam membuat dalih. Operasi selama 2 bulan berjalan lancar dan tidak ada insiden besar berlaku.

Siap sedia untuk memulakan operasi di pulau