DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 29
Seorang lelaki awal 20-an. Baru dapat kerja dengan syarikat GLC di sini. Nama dia belum masuk dalam sistem. Jadi tak boleh nak claim panel di klinik. Kena bayar cash untuk rawatan di klinik aku.

Kali pertama datang bulan lepas. Mengadu sakit macam-macam. Aku beri 3 jenis ubat dan charged sewajarnya. Masa ambil ubat dia cakap tak cukup duit. Dia cuma ambil satu ubat sahaja. Aku maafkan.

Kali kedua dia datang awal bulan ini. Juga mengadu sakit macam-macam. Kali ini demam 38.0 darjah. Aku beri 4 jenis ubat. Masa ambil ubat dia pun cakap tak cukup duit. Dia ambil 2 jenis ubat sahaja. Aku masih maafkan.

Akhir bulan ini dia datang lagi. Masih mengadu macam-macam. Tapi kali ini tiada demam. Cuma sakit-sakit badan sahaja. Seperti dijangka dia nak MC sebenarnya. Dia datang ke klinik petang hari Isnin yang sibuk. Di waktu doktor locum tak dapat datang ganti. Memang silap waktu dia datang. Kali ini dia kena basuh cukup-cukup dengan aku. Harap-harap dia serik lepas ini.

Dia kata dia anak lelaki bongsu. Baru start kerja di sini. Sebelum ni kerja kilang di Muar. Duduk dengan emak. Emaknya sakit jantung. (katanya...) Kini emaknya duduk seorang di kampung. (katanya...) Dia kena selalu balik ziarah emak. (katanya...) Jadi petang Isnin singgah di klinik. Harap-harap dapat MC macam kali pertama dan kedua. Tapi dia silap.

Aku bukan seorang doktor yang baik. Aku bukan seorang doktor yang penyabar. Aku doktor yang jahat. Aku pernah bercita-cita nak jadi pegawai penyiasat. Tapi aku tak minat nak pakai uniform. Aku selalu tengok drama-drama penyiasatan di TV. CSI: Trilogy juga Criminal Minds. Tak perlu sebat dengan hos getah, tak perlu cucuh dengan putung rokok, tak perlu duduk atas bongkah ais, tak perlu maki-hamun dan mencarut, tak perlu ugut nak kacau anak-anak dan isteri, aku boleh dapat maklumat yang aku hendak.

Dah lebih 15 tahun jadi doktor. Untuk kes-kes macam ni, aku pegang nadi dia sambil tanya soalan. Atau konon check bunyi jantungnya. Kalau jantung dan nadi laju semacam je, ataupun gelisah nak cepat-cepat keluar daripada bilik aku, itu nak cuba kelentong doktorlah tu.

Aku tak gila dengan duit. Aku hanya minta dihormati. Kalau nak MC berterus-terang sajalah. Tak payah cakap sakit macammacam. Tak payahlah aku tanya soalan macam-macam. Buang masa dan karan aku je. Nak check macam-macam. Nak jawab soalan macam-macam.

Lepas pesakit ini aku keluar klinik. Hilang mood aku nak tengok pesakit seterusnya. Aku pergi buat house call. Tengok bapak angkat aku yang kena stroke. Barulah dapat balik mood aku.