Empat unsur ini telah menjadi empat warna asas iaitu api merujuk warna merah, angin merujuk warna putih, air merujuk warna hitam dan tanah merujuk warna hijau kekuningan.
Selepas itu, Aristotle pula dalam karyanya, On Colors meletakkan warna hitam dan putih sebagai sifat utama bagi warna. Putih menggambarkan cahaya dan hitam menggambarkan kegelapan. Warna-warna dihasilkan melalui campuran cahaya dan kegelapan ini. Aristotle memerhatikan, tiada warna yang lebih terang berbanding warna cahaya dan tiada warna yang lebih gelap berbanding warna kegelapan.
Aristotle tidak bodoh dengan mencampurkan hitam dan putih, terus bertukar jadi warna lain. Dia pun tahu kalau hitam dan putih dicampurkan bodohbodoh, tentulah jadi kelabu. Proses campuran yang dimaksudkan seperti proses mencair dan tindak balas kimia. Cahaya dan kegelapan ini juga menurut Aristotle dapat dicampur melalui bahan lutsinar untuk membentuk warna-warna lain juga.
Berkenaan pelangi, Aristotle kata ia terbentuk hasil daripada pantulan cahaya matahari daripada awanawan.
Idea Aristotle ini dipegang oleh komuniti saintis dan ahli falsafah hinggalah Isaac Newton mendatangkan idea dan penjelasan yang lebih kukuh pada abad ke17. Penciptaan teleskop yang melibatkan lensa telah menjadi penemuan Newton ke atas teori baru bagi warna.
Ketika melihat objek melalui teleskop, Newton mendapati objek mempunyai kontur warna. Kontur warna ini macam terdapat garisan kasar yang berwarna (outline) pada sekeliling objek. Fenomena ini dipanggil aberasi kromatik (chromatic aberration). Aberasi bermaksud penyimpangan. Kromatik pula bermaksud kecerahan warna.
Newton menggunakan gelas prisma (prism glass) untuk mengkaji lebih lanjut berkenaan fenomena ini. Untuk pengetahuan anda, warna atau pelangi dapat dihasilkan daripada gelas prisma dan pengetahuan ini adalah perkara biasa ketika zaman Newton kerana ia telah lama ditemui.
Penghasilan pelangi daripada gelas prisma pertama kali dijelaskan oleh Seneca. Selepas itu, eksperimen berkenaan pelangi ini telah dilakukan oleh individu seperti Alhazen, Descartes dan Boyle. Tetapi penjelasan bagaimana pelangi itu terbentuk melalui gelas prisma masih belum cukup kukuh.
Newton mendapati pelangi terbentuk hasil daripada penyerakan (dispersion) cahaya matahari dalam gelas tersebut. Penyerakan itu pula berlaku kerana hubungan langsung antara indeks pembiasan dan jarak gelombang (wavelength).
Lihat pada gambar rajah, apabila cahaya memasuki gelas prisma, cahaya itu akan membengkok. Bengkokan itu pula mempunyai sudut (angle) daripada garis normal. Warna-warna yang dihasilkan mempunyai sudut-sudutnya yang tersendiri kerana terdapat perbezaan jarak gelombang.
Merah mempunyai sudut paling kecil kerana mempunyai jarak gelombang yang panjang. Ini bermaksud, warna merah adalah warna yang paling hampir dengan garis normal. Seterusnya, oren, kuning, hijau, biru dan violet. Violet mempunyai sudut paling besar kerana jarak gelombangnya yang kecil. Sudut ini dipanggil sebagai sudut penyimpangan (angle of deviation).
Pelangi terbentuk hasil daripada penyerakan cahaya melalui titisan-titisan air hujan. Cahaya bergerak lebih perlahan apabila bergerak melalui titisan-titisan air hujan ini. Seterusnya, berlakunya pembiasan. Selepas itu, berlaku penyerakan dan terbentuklah pelangi.
Cahaya ini sebenarnya warna putih. Warna cahaya. Campuran pelbagai warna menyebabkan ia berwarna putih. Gelas prisma tadi bertanggungjawab memisahkan warna-warna dalam cahaya itu.