RETRO BOLA SEPAK - 29

Pada tarikh 16 Disember 1899, dua orang ekspatriat berbangsa Inggeris di Kota Milan telah sepakat untuk menubuhkan sebuah kelab bola sepak. Kelab tersebut diberi nama sebagai Milan Cricket and Football Club. Kelab ini kini dikenali sebagai A.C. Milan atau Associazione Calcio Milan.

Dua ekspatriat Inggeris tersebut bernama Alfred Edwards dan Herbert

Kilpin. Kedua-dua mereka berasal dari tempat yang sama, Nottingham, United Kingdom . Alfred adalah bekas seorang pegawai konsulat British dan telah lama menetap di Kota Milan. Beliau sangat dihormati di Milan.

Si Kiplin ini pula memang sangat gilakan sukan bola sepak. Pada tahun 1891, beliau sanggup berhijrah ke Turin, Itali, semata-mata untuk bekerja dengan seorang saudagar membuat renda kain bernama Edoardo Bosio. Untuk rekod, si Edoardo Bosio ini pula adalah watak utama yang menubuhkan kelab

Internazionale F.C. Torino. Jadi di Turin, selain bekerja di kilang, Kiplin turut aktif bermain bola sepak untuk kelab Internazionale F.C. Torino.

Pada tahun 1898, Kiplin bersama beberapa orang rakan baik beliau berhijrah pula ke Kota Milan. Di kota tersebutlah, beliau bertemu dengan Alfred Edwards, individu yang turut punyai minat yang sama dalam sukan bola sepak.

Bincang punya bincang akhirnya sepakatlah mereka untuk menubuhkan sebuah kelab, Milan Cricket and Football Club. Alfred Edwards dipilih menjadi Presiden kelab yang pertama, manakala Kiplin dek kerana pengalaman beliau, dilantik pula sebagai player-manager kelab tersebut. Kiplin turut dilantik menjadi ketua pasukan kelab yang pertama.

Sukan kriket diurus oleh Edward Berra manakala bahagian sukan bola sepak diurus oleh David Allison.

Adalah menjadi perkara biasa pada waktu itu, satu kelab sukan menaungi dua sukan iaitu bola sepak dan kriket. Seperti mana kelab Genoa CFC yang ditubuhkan sedikit awal dari AC Milan iaitu pada tahun 1893. CFC itu merujuk kepada singkatan perkataan Cricket and Football Club.

Hanya bila mana masa beredar, dan sukan bola sepak menjadi lebih popular, sedikit demi sedikit kelab-kelab ini lebih menumpukan aktiviti mereka dalam sukan bola sepak.

Rossoneri gelaran kelab AC Milan, kombinasi warna merah dan hitam. Kalau lihat pada logonya, ada semacam bendera England. Sebenarnya itu adalah Bendera Milan, meski ramai sebelum ini beranggapan ia adalah bendera England memandangkan pengasas kelab kebetulan juga dari England. Bendera Milan ini diinspirasikan dari bendera Genoa. Dan Bendera Genoa ini adalah bersempena bendera St George Cross.

Kisah bagaimana popularnya bendera tersebut cukup panjang, mengambil kira latar sejarah era Perang Salib suatu masa dahulu dan betapa dominannya

Empayar Republik Genoa

di era Rennaisance dahulu. Selain itu bendera Milan juga bersempena bendera seorang paderi Milan yang cukup terkenal sekitar abad ke-4 Masihi, bernama Aurelius Ambrose atau Saint Ambrose.

AC Milan biarpun beberapa tahun kebelakangan ini tidak berapa menyerlah dan kurang beraksi di pentas tertinggi Eropah, musim ini nampak positif. Ada peluang untuk buru tempat tradisi mereka, slot Liga Juara-Juara Eropah.

Kelab yang melahirkan begitu banyak legenda, dengan rekod 7 kali menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, 18 kali juara Scudetto, 5 kali menangi Piala Super Eropah, 2 kali juarai trofi Juara-Juara Piala UEFA (UEFA Cup Winners Cup), sebanyak 3 kali bergelar juara Piala Antarabenua dengan sekali juara Piala Kelab-Kelab Dunia, di samping menjulang 5 kali Coppa Italia dan 6 kali Piala Super Itali, AC Milan memang satu entiti kelab yang wajar dihormati.

Sejarah gemilangnya akan sentiasa bugar, dengan hanya ada beberapa kelab sahaja di dunia yang mempunyai reputasi sepertinya. The grande ever Rossoneri!