SEORANG demi seorang pelajar dilepaskan. Tinggal Kameena dan Ajai sahaja yang masih menunggu giliran di tapak berkumpul. Berkemungkinan besar sudah ada pelajar yang telah sampai di dataran di mana terletaknya tempat pemeriksaan terakhir.
Kata fasilitator yang mengendalikan aktiviti berjalan malam ini, perjalanan mereka akan memakan masa selama 15 minit. Setiap peserta juga dinasihati supaya sentiasa berpaut pada tali yang telah disediakan. Tali anjal tersebut berperanan sebagai panduan. Sekiranya, ada peserta yang gagal mematuhi arahan, peratusan untuk tersesat di dalam hutan adalah tinggi.
Jengkerik dan katak ghairah beradu suara sejak tadi. Dengungan suara penghibur hutan itu mengiringi resah yang menghimpit dada Kameena ketika ini. Angin malam turut mengusik gadis kota itu. Semakin galak dinginnya berpuput, semakin ia merindingkan gadis kota itu. Bulu roma tipis di tangannya juga sedikit lurus ke atas.
Beberapa orang fasilitator dilihat membega di sekitar kawasan hutan. Bunyi derap langkah mereka melintasi lohong telinga Kameena. Mereka masih menanti peserta yang baru dilepaskan tadi menghabisi 100 meter pertama.
Kameena memetia setiap gerak-geri mereka. Apakala lampu suluh dimainkan cahayanya ke merata, ke situ jugalah pandangan mata Kameena berlabuh. Sungguh, dia sangat iri hati malah berasa dipermainkan oleh pasukan fasilitator di hadapannya. Apa tidaknya, pelajar dilarang membawa lampu suluh bersama sedang mereka dengan enak menyoroti cahaya tanpa rasa bersalah.
Di balik kerancakan dedaunan terbuai bertingkah, Kameena masih dibayangi ketakutan. Jantungnya tidak henti-henti menden dangkan lagu resah. Dia perlu berpura-pura berani supaya tidak terus dirasuki gerun.
Sementara menunggu, dia mencari kelibat rakan yang masih belum dilepaskan. Beberapa saat dia menoleh, akhirnya susuk Ajai dikenal pasti.
Aku dan Ajai saja yang tinggal soalnya sendirian.
Adik. Bangun, ikut abang di hadapan tu. Pegang kayu ini, tiba-tiba seorang fasilitator merapatinya. Sudah sampai gilirannya. Lantas tangan kanannya menyambut huluran kayu daripada seorang fasilitator. Ketika dia mula
melangkah, lututnya dirasakan seperti mahu tercabut. Akibat terlalu gelabah, dia bergerak sambil menyeretkan kasutnya menuju ke hutan.
Fasilitator itu kelihatan menyorokkan senyumannya. Pasti dia tidak tertahan digeleteki ragam Kameena.
Ajai melihat gelagat Kameena dari duduknya. Mahu sahaja dia melepaskan tawa. Tetapi disebabkan Kameena dikelilingi beberapa orang fasilitator lain, terpaksalah dipendamkan kelucuan itu.
Saat Kameena mula melangkah masuk ke dalam hutan, rasa bimbang menghujani kolam hati Ajai. Meskipun keselamatan Kameena dijamin, dia tetap terfikirkan yang bukanbukan. Ajai menaakul perjalanan Kameena. Melihat kepada gerak langkah Kameena yang perlahan, dia pasti gadis itu akan berdepan masalah. Langkahan kecil seperti itu akan memanjangkan tempoh perjalanan. Semakin lama dia berada di dalam hutan, semakin besar kemungkinan akan terdedah kepada bahaya.
Ya Allah, selamatkanlah kami. Permudahkanlah segala urusan kami. Semoga kami berjaya menghabiskan sesi aktiviti malam ini. Tergedik-gedik bibir Ajai. Berkali-kali doanya diulang baca. Selesai satu, akan disambung ayat pelindung pula. Selepas itu akan berkitar semula selagi mana dia terdaya.
Dalam hutan macam ini, kita tak boleh
jangkakan apa-apa. Kamu semua mesti patuh pesanan kami. Jangan berlagak pandai walaupun sudah biasa dengan hutan. Ingat, mulut kena jaga. Jangan sebut yang bukan-bukan. Baca doa boleh, tapi jangan kuat-kuat. Takut nanti ada benda lain yang tolong aminkan.
Amanat yang disampaikan ketua fasilitator sejam yang lalu masih berlegar di minda Ajai. Memang semasa zaman kanak-kanaknya hutan menjadi tempatnya bermain. Apapun setiap hutan berbeza sifatnya. Begitu juga hutan di Hulu Langat ini. Ajai akui dia hanya arif tentang selok-belok hutan di kampungnya sahaja. Jadi, ketika di dalam hutan nanti, dia juga perlu berhati-hati seperti rakan-rakan lain.
Hah! Kamu orang terakhir. Sila bangun. Siapa nama tanya seorang fasilitator sambil merengkuh bahu Ajai.
Ajai. Ajai membalas dengan tenang.
Fasilitator itu mengangguk. Ajai, di dalam sana sepatutnya ada fasilitator yang memantau. Tetapi disebabkan aktiviti ini sudah sampai di penghujung, abang fasilitator itu akan bergerak terus ke tempat pemeriksaan terakhir. Dia akan ikut jalan lain. Tetapi, kamu jangan bimbang. Bukannya ada apa sangat di dalam hutan ni. Bergerak saja mengikut tali, selepas 15 minit kamu akan sampai. Bacalah doa banyakbanyak, arahnya perlahan.
Baik, bang.
Ajai memulakan perjalanannya. Gelap gelita. Jika dia membelalakkan matanya sekuat tenaga pun belum tentu dia boleh melihat isi hutan itu. Lalu dia bergerak sambil berpautkan tali yang diikat pada pokok-pokok seperti arahan sebelumnya. Berkersik kedengaran saat kakinya melanyak daun-daun kering di tanah. Lagu-lagu hutan turut berdendang. Ajai lali dengan semua itu. Semakin jauh dia membelah hutan, semakin tenang jiwanya.
Dia merasakan jasadnya sedang kembali ke usia kecilnya. Wajah Epoi, Apit dan lain-lain mengerumuni mindanya. Dalam kesamaran itu, dia tersenyum sendiri.
Sesekali wajahnya ditampar dedaun dan ranting basah ketika giat merapati pokok-pokok. Basah juga pipinya dek penangan embun yang baru turun. Lantas diseka pipinya dengan lengan baju agar perjalanannya lebih selesa.
Tolong! Tolong!
Tiba-tiba suara orang meminta tolong menindih lagu-lagu hutan yang sayup kedengaran. Ajai cuba mengecam tuan empunya suara. Langkahnya mati serta-merta.
Tolong saya!
Ya Allah! Itu suara Kameena.
RUMAH Cikgu Isa sudah bertukar mirip sebuah mahkamah. Pengakuan demi pengakuan keluar dari gua mulut masing-masing. Malam ini, segalanya akan terbongkar.
Benar. Sebab itulah saya beria-ia membawa Ajai ke Kuala Lumpur. Saya mengharapkan dia dapat tinggal di sini sampai bila-bila supaya kerinduan saya terhadap arwah Zarina akan terubat. Lagi pula Ajai ialah amanah. Walaupun saya tiada pertalian darah dengan Ajai, tetapi saya perlu tunaikan permintaan arwah. Dia benar-benar menyesal kerana meninggalkan Ajai di bawah rumah Tok Keman, perlahan Cikgu Isa membuka kunci pintu rahsia negeri hatinya. Suaranya tenggelam timbul kerana menahan sebak.
Encik Lazim, saya minta maaf. Saya tak berniat untuk merampas Ajai. Sungguh saya katakan, ketika itu saya cuma mahu Ajai bahagia dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Tak lebih daripada itu. Maafkan saya. Saya tak tahu Ajai masih ada seorang bapa kandung dalam hidupnya, Cikgu Isa menambah. Dadanya masih sesak akibat terkejut dengan kehadiran mereka bertiga setengah jam yang lalu.
Lazim memejamkan mata. Kesedihan mendengar cerita tentang kematian Zarina daripada Cikgu Isa masih belum lagi dirawat.
Kini dia perlu segera meraih semangat untuk meneruskan bicaranya. Kemudian diangkat semula kelopak matanya dan terus memandang Tok Batin Kutam dan Datuk Murad. Ada isyarat daripada mereka berdua. Dia mengerti.
Cikgu, Ajai bukanlah anak kandung saya.
Cikgu Isa kaget. Sekejap. Tadi Encik Lazim katakan bahawa arwah Zarina ialah bekas isteri Encik Lazim. Dan tujuan encik datang ke sini untuk mengambil Ajai semula. Kenapa .
Terputus bicara guru itu. Dia keliru dan buntu.
Lazim mengerti. Dia sudah lama bersedia menanti detik ini. Hanya dia sahaja yang mengetahui segalanya. Bertahun-tahun juga dia menyangkarkan rahsia ini. Kali ini biarlah dibebaskan.
Memang benar saya bekas suaminya. Tetapi kami berkahwin ketika dia sedang mengandungkan Ajai empat bulan. Dan seperti yang saya ceritakan tadi, belum pun sempat Ajai dilahirkan, saya didesak oleh keluarga untuk menceraikan arwah. Saya tahu saya berdosa. Selepas malam saya menceraikannya di rumah orang tua saya sendiri, arwah Zarina menghilangkan diri tanpa jejak. Saya sangat tertekan untuk memujuknya semula. Dengan keadaan arwah ayah saya yang tenat, fikiran
saya betul-betul tersekat dan bercelaru, Lazim meluahkan isi hatinya. Mereka semua perlu tahu cerita sebenar. Ini sahaja cara terbaik bagi mengembalikan kehidupannya yang sudah tawar.
Tok Batin Kutam mendengar dengan tekun. Apa yang diperkatakan oleh pemuda itu memang ada persamaan dengan mimpinya. Kini barulah dia sedar, kata-kata Tok Keman bukan hadir dari dunia bayangannya sematamata.
Datuk Murad melihat bibir Lazim bergetar. Pemandunya itu semakin lemah meruak pintu rahsia yang lama digari. Jauh di sudut hatinya, dia kecewa kerana gagal mengesan beban masalah Lazim.
Selepas arwah ayah saya meninggal, saya paksa untuk melupakan segalanya dan memulakan hidup baharu di Kuala Lumpur. Setelah hampir 11 tahun, tiba-tiba saya dikejutkan dengan surat pemberiannya ini yang dialamatkan ke kampung saya. Lama saya memikirkan sama ada mahu mencari Ajai atau tidak. Selepas dua tahun berikutnya saya dihimpit kerinduan terhadap Zarina semula, akhirnya hati saya memaksa untuk ke Kampung Kelipuk demi melunaskan janji yang terkaram sekian lama.
Cikgu Isa tertunduk mendengar kisah Lazim. Sama sekali dia tidak menyangka bahawa dirinya sendiri terlibat dalam konflik
hidup Lazim. Kini, hatinya tertanya-tanya siapa sebenarnya Ajai.
Encik Lazim tahu siapa bapa kandungnya yang sebenar
Datuk Murad dan Tok Batin Kutam saling berpandangan. Mereka khuatir Lazim tidak gagah menceritakan hakikat kelahiran Ajai.
Lazim tertunduk. Sengaja dibiarkan matanya menjamah seni permaidani. Arwah dirogol bapa saudaranya sendiri, Lazim menjawab dalam sebu. Tanpa diduga, sungai jernih menggelungsur di pipinya. Menitik setetes demi setetes melenyapkan seni pada hamparan permaidani tadi.
Cikgu Isa jadi serba salah melihat riak wajah Lazim. Ternyata Lazim gagal mengawal emosinya. Begitu juga dengan Tok Batin Kutam dan Datuk Murad. Masing-masing membatu tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka bertiga hanya mampu membiarkan Lazim bermain dengan perasaannya.
Cikgu Isa menyandarkan tulang belakangnya. Segalanya sudah diketahui dari akar. Matanya menangkap sosok Lazim yang duduk paling hampir dengannya. Sesalnya datang kembali. Dia enggan melanjutkan drama ini lagi. Baginya sudah cukup apa yang diceritakan Lazim dan Tok Batin Kutam tadi. Meskipun pada awalnya kisah mimpi yang disampaikan ketua kampung Orang Asli itu seperti dongeng
rakyat kuno, setelah mendengar daripada Lazim sendiri dia yakin ada kebenaran di balik dongeng itu.
Tambahan pula Datuk Murad yang sudah bertahun-tahun dikenalinya turut mengakui kebenaran tersebut. Kebetulan Lazim itu pemandu peribadinya. Segalanya berlaku secara kebetulan.
Cikgu Isa berpaling dan memandang ke luar. Bintang-bintang menyepi di tirai langit malam. Mungkin sengaja mahu melarikan diri menyaksikan drama pilu di rumahnya.
Lazim, sebelum Tokki terlupa, Tok Keman ada berpesan supaya kamu segerakan urusan kad pengenalan Ajai. Suara Tok Batin Kutam memecah suasana.
Lazim serta-merta melangut. Kelu lidahnya untuk membalas. Kemudian dia cuma mampu mengangguk. Dia percaya pesanan yang dimaksudkan itu datang daripada mimpi ajaib Tokki. Kelmarin, hampir satu jam dihabiskan masa bersama ketua kampung itu bagi membincangkan tafsiran mimpi anehnya. Macam-macam andaian berlegar di mindanya. Pada awalnya, memang dia terkejut dan sukar mempercayai apa yang dimimpikan Tokki. Lama-kelamaan dia menerimanya sebagai suatu keagungan Tuhan.
Suasana suram yang menyelimuti pertemuan empat lelaki di rumah itu disinggung
oleh bunyi deringan telefon milik Datuk Murad. Pantas pegawai kerajaan itu bangkit dari duduknya dan bergerak menuju ke dapur belakang rumah. Tindakan itu dilihat sahaja oleh tiga lagi yang lain.
Selepas beberapa minit, Datuk Murad muncul dari perut dapur. Wajahnya berubah sedikit daripada tadi.
Maaf, saya perlu selesaikan satu urusan penting. Saya mohon izin untuk pulang ke rumah. Datuk Murad menjelaskan tersekatsekat.
Ada apa, Datuk Perlu saya hantarkan soal Lazim ingin tahu.
Tok Batin Kutam dan Cikgu Isa turut melemparkan pandangan ke arah Datuk Murad.
Ada urusan pejabat. Saya kira tak perlu kamu bersusah-susah. Kamu selesaikan dahulu urusan kamu di sini. Tapi, boleh saya gunakan kereta sekarang Mungkin esok saya akan datang semula ke sini, pinta Datuk Murad.
Lazim hairan dengan tindak-tanduk majikannya itu. Gelabah seperti ada sesuatu yang tidak kena. Boleh saja, Datuk. Itu kereta Datuk. Datuk lebih berhak. Lagipun, saya berhajat untuk segerakan urusan kad pengenalan Ajai besok. Mungkin saya akan pergi bersama Cikgu Isa dan Tokki.
Cikgu Isa terkejut mendengar pengakuan
Lazim. Dia tidak tahu respons apa yang seharusnya diberikan. Cuma anggukan kecil sahaja sempat ditunjukkan. Dia sendiri kurang pasti sama ada cadangan Lazim itu bernas atau tidak.
Terima kasih. Esok di pejabat pendaftaran kamu jelaskan kepada pegawai di sana tentang identiti Ajai sebenar. Bawa sekali surat nikah kamu sekadar untuk meyakinkan Ajai itu anak arwah Zarina. Jika ada masalah apa-apa esok, terus saja hubungi saya. Insya-Allah saya akan bantu. Datuk Murad berasakan dirinya bertanggungjawab. Dia cuba menyelesaikannya secara profesional memandangkan dialah yang paling berpengaruh dalam kalangan mereka. Lagi pula dia benar-benar yakin masalah tersebut dapat diatasi setelah kekaburan selama ini gagal dijawab oleh Cikgu Isa kepada pegawai pendaftaran.
Baik, Datuk, Lazim mengangguk tanda reti. Ada nada gembira terpacul sekali bersama jawapannya itu.
Tok Batin Kutam dan Cikgu Isa turut menganjalkan kepala mereka atas bawah tanda setuju.
Datuk Murad tersenyum paksa kerana merasakan dirinya tidak sepatutnya meninggalkan perbincangan malam itu. Namun, disebabkan ada perkara yang lebih penting untuk diselesaikan, dia terpaksa berbuat demikian. Sedetik itu dia melajukan langkah
ke arah ruang tamu mendapatkan kunci kereta daripada Lazim lalu bergerak keluar. Kurang seminit dia lenyap daripada pandangan mereka bertiga.
Masing-masing gagal menyuarakan apa yang terbuku di hati. Sungguh, mereka terkesima dengan tindakan Datuk Murad. Tetapi, tiada siapa berani membantah kelakuan orang besar itu.
Jadi, rombongan guru ke Kampung Kelipuk dahulu juga dirancang oleh cikgu Tiba-tiba Tok Batin Kutam mengembalikan kerancakan perbincangan mereka.
Dingin di rumah Cikgu Isa makin ligat menggigit rusuk semua yang hadir. Ketegangan suasana tidak berupaya melaharkan tubuh mereka. Semakin ke kemuncak, semakin dingin dirasakan. Begitu sekali rahmat Tuhan yang menyaksikan pertemuan manusia sang pencerah kehidupan seorang insan malang bernama Ajai.