MALAM ini fikiran Nurul cukup bercelaru. Langsung tidak dapat tidur. Sudah tiga jam dia terbaring di katil. Namun hanya keresahan yang terasa. Dia cuba berpusing ke kiri dan ke kanan, masih juga belum mampu melelapkan mata.
Akhirnya, Nurul bangun dan duduk di birai katil. Dia kemudiannya melangkah menuju ke meja tulis. Diari merah jambunya dibuka. Tangan Nurul pantas bergerak meluah segala apa yang dirasakannya di atas helaian kertas yang tidak bernyawa itu.
MAK Limah melihat Tok Ayah yang sedang menghiris nipis pinang untuk dijemur esok. Segera dia duduk bersimpuh di sebelah suaminya. Air kopi yang sudah siap dibancuh diletakkan di tepi dinding.
Abang, pergilah telefon Si Nurul. Tanya khabar dia. Entah sihat ke tidak, gesa Mak Limah.
Eh, awak ni. Nantilah....
Mendengar jawapan suaminya, Mak Limah menundukkan kepala. Jarinya menguis-nguis tikar getah yang didudukinya. Kelakuan Mak Limah itu dilihat oleh Tok Ayah dengan ekor matanya. Tahu sangat Tok Ayah dengan sikap isterinya yang satu ini sensitif.
Iyalah. Tapi tunggulah dalam pukul sembilan. Sekarang ni takut dia tengah makan ke, pujuk Tok Ayah.
Mak Limah mengangguk. Namun dia masih belum mahu melihat wajah Tok Ayah.
Awak ni dah kenapa
Saya... errrr... saya....
Perlahan-lahan Mak Limah mengangkat muka. Matanya sudah digenangi air. Tok Ayah terkejut melihat keadaan isterinya.
Saya rindukan Nurul, bang. Walau dia bukan anak kita tapi saya dah anggap macam anak saya sendiri. Sepatah-sepatah Mak Limah menuturkan kata.
Tok Ayah tidak tahan melihat tingkah isterinya. Sudahlah, ya. Sudah-sudahlah. Saya pun dah anggap Nurul tu ibarat anak saya. Iyalah, saya pergi telefon dia.
Tok Ayah terus mengambil kopiah yang tersangkut di dinding. Dia mahu segera menelefon Nurul agar tidak menambahkan rasa sedih isterinya.
Abang....
Panggilan Mak Limah menghentikan langkah Tok Ayah.
Ada apa
Saya ingat hujung minggu ni nak buat kenduri sikit. Dah lama rasanya rumah ni tak berseri dengan ayat-ayat suci.
Hah, eloklah tu. Saya pun setuju juga dengan cadangan awak.
Jadi, nanti abang jemput Nurul sekali. Saya teringin nak jumpa dia.
Nanti saya cakap pada dia. Saya pergi dulu.
Tok Ayah mengeluarkan motor yang diletakkan di bawah rumah.
Hati-hati, bang.
Mak Limah melihat kelibat Tok Ayah yang menghilang di celah kegelapan malam. Hatinya berharap agar telefon awam di kedai Sahak tidak digunakan orang. Setibanya di kedai Sahak, Tok Ayah terus menuju telefon awam yang terletak betul-betul di depan kedai itu.
DERINGAN telefon mengejutkan Nurul yang sedang enak menonton rancangan drama bersiri Indonesia. Segera dia mengangkat gagang telefon.
Assalamualaikum.
Waalaikumsalam, Nurul ke ni
Ye, siapa ni
Tok Ayah. Tok Ayah ni, Nurul.
Oh, Tok Ayah. Mimpi apa telefon Nurul malam-malam ni Tok Ayah sakit ke Mak Limah sakit ke
Bertubi-tubi Nurul bertanyakan soalan. Risau pula apabila memikirkan sebab-sebab Tok Ayah menelefonnya.
Allah. Tok Ayah dengan Mak Limah sihat. Ni Tok Ayah telefon sebab Mak Limah nak tahu sangat khabar Nurul kat sana.
Nurul sihat, alhamdulillah. Risau Nurul, ingat ada apa-apa yang berlaku tadi.
Nurul dah tak mahu datang sini lagi, ke
Ish, Tok Ayah ni. Ada ke situ pula. Nurul, kan dah janji akan datang jenguk Tok Ayah dan Mak Limah. Lagipun Tok Ayah dan Mak Limah dah jadi ayah dan ibu angkat Nurul. Takkan Nurul nak lupa macam tu saja.
Hah, eloklah kalau dah macam tu. Ni, hujung minggu ni ada kenduri. Harap Nurul dapat datang. Sekejap jengukkan muka pun jadilah. Ubat rindu Mak Limah kamu....Berderai ketawa Nurul.
Tok Ayah ni, takkanlah setakat nak kena jenguk muka. Tidur sana pun Nurul boleh. Insya-Allah, nanti Nurul datang.
Alhamdulillah, tentu Mak Limah gembira. Nurul jaga diri baik-baik di sana.
Baiklah, kirim salam pada Mak Limah, Tok Ayah.
Nurul meletakkan kembali gagang telefon. Rasa senang hati Nurul kerana memiliki ayah dan ibu angkat yang mengambil berat keadaannya. Dia ingin sekali memperkenalkan Anis kepada ayah dan ibu angkatnya yang baik hati itu.
Untuk pertama kalinya selepas berbelas-belas tahun dalam hidup Nurul, dia merasakan nikmatnya kasih-sayang insan bergelar ibu dan ayah.