"Err... kalau macam tu ikut Adib lah. Tapi tak payah la tulis pasal Pembunuh Batik Biru. Bukan seorang model yang baik untuk dihargai dalam karangan Adib."
"Abang Munir cakap macam tu sebab dia seorang pembunuh"
Munir mengangguk.
"Tapi Abang Munir tak tahu sebab dia membunuh. Mungkin ada tujuan yang baik di sebaliknya."
"Matlamat tidak menghalalkan cara. Apa pun sebabnya walau atas tujuan sebaik mana pun, membunuh tetap salah," tegas Munir.
Adib diam. Dia menyambung semula kerjanya. Tapi diamnya itu, Munir sendiri pun tidak tahu bermaksud apa. Adakah dia setuju dengan kata-kata Munir, atau sebaliknya.
Keesokan harinya....
Zack membuka tingkap untuk bersua muka dengan pagi Jumaat yang basah. Dia senyum. Zack suka pada hujan. Setiap titisan yang menimpa bumi secara kolektif menghasilkan bunyi bising, sekaligus menenggelamkan bunyi-bunyi yang tidak ingin kedengaran. Setiap titis airnya juga boleh membersihkan apa yang kotor. Selain menyejukkan yang panas. Dan melembabkan yang kering. Seolah-olah hujan itu punya satu sifat pembaikpulihan. Yang boleh memperbaiki apa saja. Termasuk hati seorang pembunuh.
Zack menarik nafas dalam-dalam. Menghirup sama kelembapan yang menumpang dalam udara. Sekaligus menambah segar dalam dadanya.
Zack berjalan untuk ke tempat kerjanya dengan girang. Hujan memang betul-betul membuatkan moodnya baik. Sudahlah redup. Sejuk pula. Namun dalam kesejukkan itu, tatkala melalui sebuah lorong belakang yang sunyi, tiba-tiba Zack disapa oleh satu angin yang panas. Itu hanya bermaksud satu perkara.
"Anom..." seru Zack sambil menoleh ke belakang. Tiada.
Zack berpaling semula ke depan. Anom sedang berdiri terpacak di situ. Betul-betul di hadapan mukanya sehinggakan bersentuh hidung. Seperti biasa muka Anom kosong. Hanya ada kulit yang putih. Tapi perlahan-lahan, kulit yang putih itu semakin terbelah di beberapa tempat. Seperti sedang mengoyak. Darah merah dan pekat meleleh dengan banyak dari bukaan-bukaan yang membentuk mata, hidung dan mulut pada wajahnya.
Anom menjerit dengan kuat sehingga menampakkan anak tekaknya. Lalu seluruh tubuhnya meletuskan api yang marak membara. Anom menarik Zack dalam pelukkannya. Dia mahu Zack terbakar bersamanya. Agar Zack dapat merasai kesakitan yang dia rasai dulu ketika mati. Supaya Zack dapat memahami betapa pedihnya, betapa seksanya. Betapa kejamnya apa yang mereka lakukan terhadap dirinya. Anom berharap dengan perasaan-perasaan itu, dapat membantu Zack dalam menjalankan kerja membalas dendamnya, sebagai satu macam dorongan atau motivasi.
Zack jatuh terlentang. Seluruh tubuhnya berasap. Dia kaku buat seketika. Cuba untuk mengumpul semula kekuatan setelah 'dibakar hidup-hidup'. Setelah suhu badannya kembali normal, Zack bangun. Dia berdiri dan mengibas seluarnya yang basah dan kotor. Kemudian dia duduk bertenggek pada tebing parit. Tubuhnya masih lemah. Lututnya masih lembut. Tapi Zack gembira. Sebab tidak lama lagi, semua ini akan berakhir.
Tatkala Zack ditenggelami oleh api tadi, selain dari mengalami kesakitan Anom, dia juga nampak apa yang Anom nampak. Tahu apa yang Anom tahu. Rasa apa yang Anom rasa. Sekaligus bermaksud Zack sudah tahu siapa mangsa seterusnya. Mangsanya yang terakhir. Lelaki yang terakhir di antara lima orang yang bertanggungjawab di atas kematian Anom.
Lalu Zack pun meneruskan perjalanannya ke tempat kerja sambil hatinya terus girang. Tak sabar menanti malam. Tak sabar untuk menyembelih, menyiat dan melapah buat kali yang penghabisan.
Sekeping fail nipis sedang duduk kemas di tengah-tengah meja kerja Munir. Pada muka fail tersebut tertulis 'Salinan Kisah 4' bersama dengan sekeping nota kecil warna kuning.
Aku tak masuk kerja hari ni. Tak sihat.
Zaiful.
Tanpa berlengah, Munir terus menelaah Kisah 4 yang ditulis oleh mangsa keempat Pembunuh Batik Biru itu, yang Zaiful tinggalkan untuknya.
Melalui cerita itu, Munir dapat tahu bahawa sesuatu telah berlaku pada Arfan dipenghujungnya. Dalam cerita itu membayangkan bahawa ada kemungkinan Arfan telah diserang oleh sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam semasa di tanah perkuburan.
Sebab tu ke dia berhenti kerja dan berpindah
Persoalan itu yang pertama bergema dalam tempurung kepala Munir. Munir terus mencapai ganggang telefon dan menghubungi syarikat penerbitan tempat Joey bekerja. Tapi menurut gadis penyambut tetamu yang menjawab telefon, Joey tidak masuk kerja hari ni. Tak sihat. Barangkali itu juga sebabnya Joey tidak menjawab panggilan Munir apabila Munir cuba menghubunginya di telefon bimbit pula.
Lagi satu jalan mati. Kisah 4 memberikan Munir beberapa maklumat baru. Munir akan periksa semuanya. Contohnya watak-watak Remy dan Rohaya. Seperti biasa pendekatan Munir adalah untuk mengenalpasti samada cerita-cerita ini semua merupakan kejadian sebenar dan berdasarkan individu-individu yang wujud ataupun tidak. Dan kalau ya, sejauh mana kebenarannya cerita-cerita itu
bersambung
Bab akan datang:
Berjayakah Munir mencari maklumat mengenai Remy dan Rohaya