Honesty is the first chapter in the book of wisdom. - Thomas Jefferson
Jam dua petang kami berada di Bangsal. Ketika dalam perjalanan bot, Mas Budi memberitahu cara-cara menaiki bas ke Senggigi. Dia yang memang berasal dari Lombok sudah kenal benar selok-belok di sini dan tidak kekok untuk membantu. Mungkin kerana terdengar perbualan antara Mas Budi dengan kami menyebabkan kami ditegur oleh seorang jejaka yang memperkenalkan diri sebagai Taufik. Dia mempelawa untuk menumpang keretanya memandangkan dia akan melalui Senggigi. Nampaknya, murah rezeki lagi kami hari ini. Mas Budi mendapatkan motornya lalu ditunggang. Jacob membonceng di belakang. Katanya punya urusan di Metaram. Selamat tinggal diucapkan. Auf Wiedersehen! Aku dan Haeri menapak mengikut langkah Taufik menuju tempat letak keretanya. Mobil berwarna hitam yang aku tak tahu namanya dinaiki.
Enjin dihidupkan dan perjalanan dimulakan. Radio dibuka dan kedengaran lagu Pulang dari Superman Is Dead. Taufik berasal dari Medan dan kini menetap
di Lombok atas urusan bisnes yang diusahakannya sendiri. Diceritakan selalu juga dia ke Malaysia terutama Johor Bahru atas urusan bisnes di sana dan Singapura. Johor Bahru menjadi tempat penyinggahannya untuk memperbaharui visa 30 hari di Singapura.
Dalam perjalanan dari Bangsal, kelihatan tiga gili yang tersusun selari. Cantik menawan! Ia dapat dilihat apabila melalui jalan berbukit dan pemandangan yang terhidang dari tanah tinggi mengadap laut ternyata begitu memukau. Keindahan laut yang jernih bak kata orang putih crystal view kelihatan dengan jelas. Malah, ada yang mengumpamakan Lombok sebagai Bali ketika 30 tahun lepas. Ketika itu Bali masih belum padat serta sendat dengan kehadiran pelancong.
Taufik juga menunjukkan ke satu tempat di lereng bukit yang terdapat sebuah bangunan terbiar. Kelihatan seperti rumah bentuknya. Taufik mengatakan tuan rumah ini mengambil tempat itu untuk dijadikan kediamannya. Lokasi tersebut tersangatlah cantik kerana menampakkan pemandangan laut yang terbentang luas. Katanya orang itu tamak kerana mahu menikmati pemandangan untuk dia seorang saja. Mujur juga pembinaan rumahnya tidak jadi. Kami berhenti seketika untuk menikmati pemandangan di situ. Ternyata aman apabila badan dipukul angin sepoi-sepoi bahasa, mengadap laut pula tu.
Hampir 30 minit perjalanan, kami tiba di Senggigi. Pantai Senggigi juga merupakan tempat tarikan pelancong. Taufik menghentikan kami sedikit jauh dari kawasan pusat bandar Senggigi. Suasananya lebih kepada pekan. Dia menurunkan kami di kawasan tempat penginapan murah. Kalau berhampiran pusat bandar harganya sedikit mahal menurut Taufik. Kami mengambil beg di belakang. Duit saguhati dihulur Haeri tetapi ditolak oleh Taufik. Dia kata tidak perlu untuk dia mengambil duit itu kerana kami satu perjalanan, bukannya keluar dari laluan yang dirancangnya. Aku dan Haeri hanya mampu mengucapkan terima kasih tak terhingga. Biar Tuhan yang balas jasa baik Taufik ini. Semoga murah rezeki.
Di tepi kami kelihatan premis homestay yang bernama Made Homestay. Kami melangkah memasuki kawasan homestay ini dan disambut oleh seorang mas berkaca mata, tidak berbaju dan berseluar pendek sambil memegang sebotol Bir Bintang di tangan kirinya. Di sebelahnya terbaring seorang mas berambut panjang, berseluar pendek dan berbaju band Siksa Kubur. Homestay ini tidak mengadap laut. Kalau mengadap laut, mahal harganya. Namun lokasi premis ini masih tidak jauh dari pantai. Yang penting sarapannya percuma. Mas, masih punya bilik kosong tanya Haeri.
Iya. Ada.
Bisa lihat dulu biliknya aku pula bertanya. Bisa! Ayo! mas tersebut mempelawa kami mengikutinya melihat bilik. Cuma dalam 15 langkah sudah sampai ke bilik yang ditawarkan. Tiada penghawa dingin. Ada katil bersaiz raja, televisyen, pemain DVD, kipas melekat di dinding dan longgokan DVD cerita-cerita tempatan dan antarabangsa.
Rp110,000 aja. Bagaimana tanya mas
tersebut sambil memperkenalkan diri sebagai Mas Munarep. Kami bersetuju dengan harga itu. Barangkali ini merupakan tempat penginapan terakhir buat kami ketika mengembara di sini. Pengembaraan kini sudah hampir ke penghujungnya. Kami meletakkan beg di dalam bilik. Haeri masuk ke tandas untuk kencing. Aku segera duduk di kerusi yang berada di hadapan bilik untuk merokok. Memang saja dirancang agar Lombok menjadi destinasi terakhir dalam pengembaraan ini. Biar ia diakhiri dengan suasana tenang di pulau berbanding Jakarta yang gila sesak. Lepas ini pulang ke Malaysia, melalui kehidupan seperti biasa. Lepas ni pasti akan serabut kembali kepala otak.
Mas Munarep juga menyatakan kalau mahu sewa motor boleh bilang sama dia. Dia bisa menghubungi tuan punya sewa motor dan harga sewaan adalah Rp50,000 sehari. Haeri keluar dari tandas dan melepak sekali di depan. Kami bersetuju menyewa motor untuk keesokan hari. Mas Munarep akan menguruskan hal itu. Kemudian petangnya akan kami isi dengan berjalan kaki ke pusat bandar untuk makan, melihat pemandangan dan juga mencari cybercafe untuk check-in tiket penerbangan AirAsia kami.
20 minit juga perjalanan dari homestay ke pusat bandar. Berlecak ketiak. Terdapat tempat menunggu bas untuk mereka yang mahu menggunakan perkhidmatan shuttle bus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok. Lapangan terbang ini adalah yang baru bagi menggantikan lapangan terbang yang lama. Tambang cuma Rp30,000 dan terdapat jadual perjalanan di papan tandanya.
Kami terus berjalan di tepian jalan. Memang memenatkan bila kau sekejap turun bukit, naik bukit, turun bukit dan naik bukit lagi. Namun kepenatan meredah laluan ini tidak begitu terasa dek kerana pemandangan alam sekitar yang menjamu mata kasar kami. Bila mengembara, lebih seronok rasanya jika berjalan kaki. Mungkin dapat terjumpa tempat-tempat rahsia atau rare. Dalam perjalanan ini kami terserempak satu lorong kecil di celah batu-batu pantai yang menuju ke kawasan lain. Terdapat sebuah kuil kecil.
Kami menghampiri kuil tersebut, dan kemudian kami ditegur oleh dua orang kanak-kanak perempuan yang menghalang laluan kami. Disuruhnya kami mengikat kain kuning dahulu di pinggang sebelum memasuki kawasan kuil. Kami turuti permintaannya. Lombok majoritinya beragama Islam. Namun di bahagian barat Lombok, unsur-unsur Hindu Bali masih jelas kelihatan. Berdasarkan sejarah, Raja Lombok Barat tewas dalam peperangan dengan Raja Bali. Raja Bali berjaya menguasai bahagian Lombok Barat pada waktu itu dan kerana itu elemenelemen Bali kelihatan di bahagian barat Lombok. Berada di puncak kuil kecil terpencil ini, aku melihat ke bawah. Ada dua tiga orang sedang memancing. Di batu-batu terdapat ikan yang aku lupa namanya tapi ikan tu boleh melompat-lompat di darat. Perut kemudian berdangdut. Rupanya kuil ini boleh saja dimasuki melalui pintu berhampiran jalan raya. Laluan yang kami lalu tadi mungkin laluan rahsia tapi kuil ini tidaklah serahsia mana. Kami pun keluar setelah memulangkan kain kuning yang diberikan oleh kanak-kanak tadi.
Sebuah gerai lalapan disinggah. Apa itu lalapan Entahlah. Tapi berdasarkan pengalaman makan di gerai yang ada tulis perkataan lalapan, setiap hidangan akan disediakan dengan sayur-sayuran atau ulam-ulaman sebagai side dish untuk setiap hidangan yang dipesan. Ini termasuklah sambal untuk kau cicah ketika menjamu selera. Mungkin itu yang dimaksudkan dengan lalapan. Jika salah, maafkan aku. Aku hanya manusia biasa yang tidak sempurna.
Aku memang sangat sukakan segala jenis sambal ketika makan di Indonesia. Tak tahu kenapa. Ia seakan membangkitkan selera aku. Sama seperti di Malaysia. Kalau aku ternampak sambal belacan, sambal tempoyak, budu dan sebagainya, air liur aku akan meleleh secara automatik. Dan hidangan yang kami minta memang disertakan sekali dengan sambal dan ulam-ulaman.
Usai memenuhi tuntutan perut, kami berjalan menuju ke cybercafe yang kelihatan ketika perjalanan ke sini. Kami memilih sebuah PC. Kafe siber ini cuma mempunyai lima buah komputer saja. Emel kami dibuka dan masing-masing check-in untuk tiket penerbangan AirAsia. Boarding pass dicetak. 15 minit berlalu, selesai segala urusan. Kami pun berlalu pergi.
Perjalanan pulang ke homestay ditegur dengan langit yang mula mendung. Sudah hendak hujan barangkali. Kami mempercepatkan langkah dan kemudian ternampak sebuah kedai runcit. Kami singgah sebentar untuk membeli rokok dan makanan ringan untuk dikunyah ketika melepak di homestay.
Selesai urusan jual beli, kami melangkah keluar dan tiba-tiba kedengaran satu suara. Mas! Mas! Tunggu!! Termengah-mengah mas tersebut mendapatkan kami sambil menghulur sebuah telefon bimbit. Telefon bimbit yang dipegangnya adalah telefon bimbit Nokia 808.
Fonselnya tertinggal mas!
Haeri yang ternganga pun memeriksa kocek seluar, ternyata memang tiada telefon bimbitnya. Bila difikirkan jarak kafe siber tadi dengan kedai runcit ini adalah dalam 20 minit perjalanan. Kejujuran mas ini membelakangi rasa penat lelahnya mengejar kami dari tadi. Haeri ucapkan terima kasih. Dihulurkan wang sebagai tanda penghargaan atas kejujurannya namun ditolak. Aku menghulur sebungkus jajan, dia ambil.
Ramai jugak orang jujur kat sini. Kadang pelik jugak aku dengan orang Malaysia yang dok anti sangat dengan orang Indo. Bukannya semua orang Indo jahat. Ada jugak baik. Sama jugak ngan kita. Ada orang Malaysia yang bangang dan ada je yang OK, Haeri bersuara. Kedengaran terharu. Baik buruk Indonesia ini telah kami nampak dan ia memang sebuah pengajaran berguna. Mengembara memang sebuah pembelajaran hidup. Salah untuk melihat pengembaraan sebagai satu hobi yang membuang masa dan membuang duit saja. Tapi kalau mengembara tapi tiada apa yang dipelajari, itu memang buang masa. Kemudian perjalanan pulang diteruskan sambil hujan mula membasahi bumi.
Malam ini kami hanya melepak di depan bilik sambil bersembang dengan sepasang warga Belanda dan seorang wanita warga Belgium bernama Kaat. Mereka selang satu bilik dari kami. Pasangan Belanda itu lelaki dan perempuan yang tidak bercinta bernama Kasper dan Maaike. Maaike kata namanya adalah Maria atau Mariam versi Belanda. Mereka menyatakan perancangan mereka untuk ke air terjun esok. Kami pula tidak tahu hendak buat apa di sini. Badan rasa tak sedap pula malam ini. Haeri meminta izin kembali ke kamar. Aku pun tak sihat tapi terus bersembang dengan mereka.
Ketika bersembang, sekali-sekala kepala aku ditoleh menghadap ke jalan raya di depan. Terdapat Mas Munarep bersama rakan-rakannya kemabukan bermain daun terup dan bergelak sakan. Dalam samar-samar malam di jalan itu, aku seakan ternampak kelibat Natalie berjalan melintasi homestay ini. Terbeliak biji mataku. Sorry, excuse me, aku bersopan kepada mereka lalu meluru ke jalan raya. Pantas langkahan dibuka. Sampai di depan jalan raya, tiada langsung kelibat sesiapa. Aku terpinga-pinga seketika. Teruk sangat aku angau atau aku sudah gila bayang. Aku tidak tahu. Namun, aku bukan gila isim. Selepas itu aku kembali mendapatkan mereka yang masih berbual di luar bilik.
Hey, whats the matter tanya Kasper. No, it is nothing. I thought I saw someone that I know. Haha, aku membalas ringkas.
Are you thinking about someone that you finally see the ghost of that person Hehe, tanya Kaat. Aku cuma tersengih.
Hahaha. How did you know What are you A shaman Hahaha! aku berseloroh membalas pertanyaan Kaat. Mereka mentertawakan respon dari aku. Tiba-tiba aku terasa kepala seakan berpinar. Pinar yang gila babi dan terasa seperti ada sesuatu menolak dari dalam perut aku.
Excuse me again, aku berlalu pergi. Belum sempat memasuki bilik, aku sudah termuntah di hadapan bilik sambil diperhatikan mereka bertiga. Haeri yang tiba di muka pintu terkesima melihat aku yang sudah termuntah di pokok berhadapan bilik kami. Tergelak dia melihat gelagat aku.
Hey dude! Are you OK tanya Kasper. Kaat dan Maaike turut melihat. Aku hanya mampu mengangkat tangan menunjukkan isyarat bagus sambil terus tertunduk mencangkung dan muntah lagi. Cilake! Termuntah depan ni plak! Adeh!! tempikku dalam hati lalu turut tergelak memikirkan nasib.
Nak taknak, terpaksalah aku membersihkan kesan muntah depan bilik. Baldi dan cebok dalam tandas aku ambil dan jirus ke tempat aku muntah sambil berharap muntah itu dapat terserap dengan kitaran biologi alam semulajadi. Selepas menjirus beberapa ketika, aku tak tahu buat apa. Aku meminta diri dari mereka bertiga dan masuk ke kamar untuk tidur kerana kepala terasa begitu pening sekali.