ASKAR BERJALAN KAKI - 30
Di mana-mana institusi , cabaran yang paling utama adalah untuk menyakinkan bos atau staf-staf tentang kebolehan kita melaksanakan sesuatu amanah sebagai orang baru aku dapat rasakan bagaimana aku diperhati dan dinilai di dalam tindakan dan pendekatan yang aku ambil.

Mungkin masih ada kelemahan, namun aku tidak kisah semua itu. Asalkan aku dapat buat yang terbaik dan mempunyai sikap sanggup ditegur, itu sudah cukup baik. Jika sikap kita baik maka segalanya akan baik dan banyak faktor akan menyebelahi kita.

Sebaik sahaja melapor diri di pasukan baru, aku telah menghadiri kursus Taktik Semua Pasukan di Pusat Latihan Darat (PULADA) selama 3 bulan (Ogos hingga Disember 2002). Kursus yang aku hadiri adalah bersama rakan seperjuanganku dari pasukan yang sama.

Beliau adalah pegawai yang sangat ringan tulang da suka membantu orang lain. Beliau juga sangat rajin di dalam melakukan apa sahaja termasuk meniru hasil kerja orang lain.

Tetapi ada banyak nilai-nilai baik yang ada pada dirinya yang aku dapat aku pelajari. Sebaik sahaja tamat kursus kami menyambut Hari Raya di kem kerana pasukan kami merupakan Batalion siap sedia Panglima Tentera Darat selama sebulan.

Beliau sangat jujur untuk mengakui kesilapan yang dilakukan dan sanggup menerima risiko. Beliau suka menyiapkan apa sahaja tugasan yang di beri seawal yang boleh. Tapi . Semua benda yang tidak menjadi hak orang lain adalah menjadi haknya.

Tak apalah asalkan dia tidak menyusahkan orang lain.. melainkan dirinya sendiri. Aku simpulkan beliau sebagai pegawai yang baik dan boleh di harap. Satu perkara lucu yang aku tidak boleh lupa adalah, bila beliau membuat persembahan kepada jurulatih dan jurulatih tidak faham. Selamba saja jawapannya Tuan tak faham, sayapun tak faham..!

Pada 3 Januari 2003 aku mengambil alih jawatan sebagai ketua kompeni Charlie di pasukan yang sama. Di sinilah cabaran bermula kerana aku bertanggungjawap terus kepada pegawai memerintah (Lt Kol Abd Kadir Bin Hj Ahmad).

Namun InsyaAllah aku tidak menghadapi masalah kerana ramai pemegang pangkat yang berkelibar dan boleh diharapkan. Tambahan pula ini adalah kali ke dua aku memikul tugas tersebut.

Pertukaran pegawai memerintah baru pada 25 Jan 2003 membuka dimensi baru dalam kerjayaku. Aku terpaksa berusaha dengan lebih kuat lagi untuk memenuhi harapan dan tahap yang telah diletakkan oleh pegawai memerintah yang baru. Aku memang cukup seronok kerana dapat mempelajari banyak perkara baru dari beliau kerana bos baruku bukan calang-calang orangnya.

Beliau merupakan bekas penasihat Panglima Tentera Darat. Ilmu dan pengalaman beliau sangat tinggi nilainya untuk kami melaksana tugas yang di pertanggungjawapkan.

Di sebalik keseronokan menerima pegawai memerintah yang baru aku juga terkilan kerana terlalu singkat dapat berbakti dengan pegawai memerintah yang lama. Beliau merupakan bekas jurulatih aku dan saorang yang sangat tinggi budi pekertinya. Tapi apakan daya aku terpaksa menerima realiti ini.

Satu hari isteriku memaklumkan bahawa beliau terpaksa pergi ke Labuan untuk membuat kajian kerja beliau. Aku pun memohon cuti untuk bersamanya membantu beliau. Selama 4 hari aku ke sana dan tinggal di hotel Sheraton bersama isteriku. Pada masa yang sama kebetulan duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sedang melakukan lawatan resmi ke sana.

Ketika aku menghabiskan penulisan ini, pencerobohan Amerika ke atas Iraq baru sahaja selesai. Satu peperangan berat sebelah yang jelas membuktikan keruntuhan nilai tamadun satu bangsa yang kononnya bertamadun.

Kematian, kemusnahan serta kerosakan yang teruk merupakan satu bencana yang terpaksa dihadapi akibat dari perang. Aku fikir pada milinium baru ini peperangan adalah sesuatu yang hampir mustahil. Tetapi sebaliknya ia telah menjadi satu fenomena atau pendekatan segera terhadap sesuatu konflik.

Bagi aku peperangan merupakan satu kegagalan manusia memanfaatkan kewarasan fikiran di dalam mencari jalan keluar terhadap sesuatu masalah. Malaysia juga tidak terkecuali terhadap ancaman negara Unipolar ini yang sedang cuba untuk menjadi polis dunia.

Segalanya mungkin dan semua lapisan masyarakat perlu mempunyai tahap patriotisma yang sangat tinggi kerana kuatan sebenar adalah perpaduan warganya yang bersatu hati bagi menghadapi ancaman luar. Bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh.

Operasi pertama aku di pasukan baru ialah operasi Merpati siri 3/2003. Aku ditempatkan di negeri sembilan selama sebulan dan di Melaka selama sebulan lagi. Ini adalah operasi aku yang ke 14 dalam kerjayaku.

Berbagai pengalaman yang aku perolehi termasuk pengetahuan am yang aku cari melalui lawatan ke tempat-tempat besejarah di Melaka.

Salah satu tempat yang menarik perhatianku ialah Muzium Samudra iaitu replika kapal Portugis yang pernah karam pada 26 januari 1512 di Selat Melaka dalam pelayarannya ke Eropah. Kapal yang bernama flora De La Mar adalah menterjemahkan sejarah kesamuderaan Melaka dalam 7 era iaitu:

Era pertama ialah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sejak kurun ke 15 hingga tahun 1511.

Era kedua ialah era Portugis mulai tahun 1511-1641.

Era ketiga ialah era Belanda mulai 1641-1795.

Era keempat ialah British mulai 1795- 1941.

Era kelima ialah era Jepun mulai 1941-1945.

Era keenam ialah era British semula mulai 1945- 1957.

Era ketujuh ialah mulai negara kemerdeka hingga kini.

Di dalam perut kaapl tersebut terdapat khazanah bangsa yang tidak ternilai harganya, yang telah diambil oleh penjajah setelah menakluki Melaka. Muzium ini juga mengingatkan kita bahawa apabila hilang kuasa politik maka hilanglah segalanya.! Sama-samalah kita hayati sejarah tersebut agar pisang tidak berbuah dua kali.