SAWAH padi yang mula ditanam dengan anak padi itu direnung lama. Lama Kudin melihat pokok padi yang mula tumbuh. Dulu, sewaktu dia pulang ke kampung, tanah sawah masih dibajak. Kali ini, sudah penuh dengan anak pokok padi yang terendam dalam air dari saliran. Kudin sandarkan tubuhnya pada batang pokok kelapa. Ranting di tangan kanannya dikuis-kuis. Benaknya masih memikirkan keputusan yang dibuatnya sendiri untuk meminang Senah. Setakat hari ini, Senah masih tidak tahu tentang itu. Semalam, sebaik sampai di rumah nenek, dia khabarkan pada nenek tentang hasratnya untuk meminang Senah. Nyata riak nenek berubah.
Berkali-kali nenek bertanya sampai jenuh untuknya menjawab.
"Aku pun tak pasti sebenarnya.." Kudin menopang dagu. Matanya masih menghala ke arah sawah padi yang menghijau.
"Abang!!"
Kudin berpaling. Kuyah dan Kusha dilihat sedang berlari ke arahnya. Dia senyum melihat gelagat dua orang adiknya itu yang berlumba-lumba berlari di atas batas sawah. Sesekali Kuyah pegang tangan Kusha yang hampir terjatuh ke dalam petak sawah.
"Tu la..lari lagi." Kudin senyum sendiri.
Kuyah dan Kusha mula sampai di tempat Kudin. Mereka berdua turut duduk di sebelah Kudin. Kudin di tengah-tengah diapit oleh Kusha dan Kuyah.
"Ada apa datang ke sini" Kudin sengih. Dia pandang Kusha dan Kuyah silih berganti.
"Jenguk abang la. Dari malam tadi, Kuyah tengok, abang macam putus cinta. Dengan kak Ana ke" Kuyah meneka.
Kudin diam. Dia masih memandang ke arah sawah. Soalan Kuyah tidak dijawab.
"Ana Dahlia tu garang tau! Abang tak payahlah nak cintan cintun dengan minah tu!" Kusha teringat ketika dia disoalsiasat dahulu.
"Dah dia polis, tentulah garang cik Kusha oi!" Kuyah jeling Kusha di sebelah kiri Kudin.
"Sudahlah..sekarang ni abang dah buat keputusan. Esok, mama dan nenek akan meminang Senah untuk abang.
Fullstop!" Kudin pandang Kusha dan Kuyah yang sudah terlopong.
"Apa bang Abang pilih Senah sengal tu"Kuyah membuntang.
"Kenapa" Kudin jeling adiknya.
"Err..tak ada la. Dia tu macam pemberita terkini lagaknya. Abang bukan tak tahu perangai Senah tu." Kuyah tidak berpuas hati.
"Okey apa Senah tu lagi cantik dari perempuan garang tu. Walaupun Senah tu sengal sikit tapi dia tidak mudah diperbodohkan.
Orang kata bodoh tapi otak smart!" Kusha menyokong pilihan Kudin.
Kuyah ketawa mengekek. "Peribahasa ke laut!"
Kusha muncung. Geram dengan Kuyah yang selalu menyakatnya.
"Sudah. Jom kita balik. Abang dah beli semua barang untuk hantaran tu. Kusha dan Kuyah kena tolong nenek dan mama. Anak dara apa kalau tak pandai buat semua tu. Ni, masak pun terkial-kial." Kudin sengih.
"Abang ni! Kusha tahu la Kusha ni tak ada skill memasak. Alah..orang tu pun sama jugak. Pandai goreng telur je." Kusha jeling Kuyah yang mula meluku kepalanya.
Kudin ketawa melihat gelagat Kuyah dan Kusha yang suka bergurau. Tidak seperti dulu, jumpa saja, bertekak terutama Kusha, bongkak dan sombong tak habis-habis. Dia mula mengajak adik-adiknya pulang ke rumah. Esok, mereka akan ke rumah Senah.
KUDIN berdebar di rumah neneknya. Tadi kaum hawa di rumah itu sudah mula menuju ke rumah Senah. Sebelum itu, nenek sudah maklumkan pada pakcik Said, ayah Senah tentang hajat Kudin. Nampaknya hajat Kudin diterima dengan baik. Dari cerita nenek, ayah Senah menitiskan air mata mendengar hajat Kudin. Sungguh dia tidak sangka, anak gadisnya menjadi pilihan Kudin.
"Aku harap semuanya berjalan dengan lancar. Aku akan cuba mencintai Senah dengan ikhlas dan keranaNya." Kudin meraup muka. Dari anjung rumahnya, dia merenung ke arah laman rumah. Entah kenapa saat ini, wajah Ana Dahlia muncul di ruang mata. Dia cuba tepis sejauhnya.
Lama Kudin merenung laman rumahnya yang dipenuhi pokok bunga anggerik hutan yang berwarna kuning dan ungu. Walaupun bunga hutan, pokok itulah yang menjadi penyeri laman rumah neneknya. Dia senyum mengenangkan kenangan waktu kecil dulu. Dia lari tidak cukup kaki dikejar nenek kerana telah merosakkan pokok anggerik nenek. Pokok itu dibuat makanan ikan pelaga yang ditangkap di tepi sawah.
Lamunan Kudin terhenti bila dia melihat Kuyah berlari-lari ke arahnya. Siap menyingkap kain baju kurung yang dipakai. Kelihatan Kuyah termengah-mengah.
"Abang!" Laung Kuyah sambil berlari laju ke arah Kudin.
Kudin bingkas bangun. Dia melangkah menghampiri Kuyah yang sudah tercungap-cungap. "Kenapa Kuyah"
"Senah! Senah dirasuk!!" Kuyah menahan nafasnya yang tercungap-cungap.
"Dirasuk Macam mana boleh jadi macam tu" Kudin kilas kain pelekat yang hampir terlondeh.
"Tadi, masa kita orang sampai di rumah Senah, selepas kami berbincang, pakcik Said suruh mama masuk ke bilik Senah. Bila nak disarungkan cincin tu, Senah tiba-tiba menjerit kuat dan meracau-racau! Cepat bang! Tolong Senah. Kita orang tak tahu nak buat apa dah!" Kuyah masih tercungap-cungap.
"Dah beritahu Tok Imam Ngah"
"Belum. Tak sempat!" Kuyah menggeleng.
"Baiklah! Kita ke rumah Tok Imam Ngah dulu." Kudin menapak naik ke atas rumah semula dan menukar pakaian. Dia kemudian kembali ke laman dan bersama Kuyah menuju ke rumah Tok Imam Ngah. Kemudian bersama Tok Imam Ngah mereka bertiga menuju pula ke rumah Senah.
Sebaik tiba di rumah Senah, keadaan sudah kecoh. Nenek dan mama dilihat sudah pucat dengan kejadian itu. Pak Said pula sudah panik melihat Senah meracau-racau di dalam bilik.
"Tok..Senah dah meracau tok." Pak Said tunjuk bilik Senah.
Kudin turut mengikuti Tok Imam Ngah ke bilik Senah. Sebaik pintu dibuka, terbeliak Kudin melihat keadaan Senah dan apa yang lebih terkejut, Senah sudah seperti gadis kebaya merah!
SENAH dilihat sudah meracau-racau dan berkata dalam bahasa yang tidak difahami. Tok Imam Ngah pula membaca ayat-ayat suci Al Quran sementara Kudin turut melaungkan azan sekuat hati. Senah dilihat sudah reda. Terbaring lemah di atas katil. Tok Imam Ngah mengarahkan Pak Said menyapu air yang dibaca dengan al Fatihah, surah al Ikhlas dan ayat ke 9 surah Yasiin itu ke muka Senah.
"Macam mana boleh jadi macam ni" Kudin mula bertanya. Suasana tegang dan kelam kabut tadi tidak memungkinkan dia bertanya banyak.
"Entahlah..tiba-tiba je dia menjerit. Masa tu mama nak sarung cincin ke jari Senah. Mula tu dia senyum je tapi lepas tu terus dia pandang mama dengan mata merah dan mula menjerit, meracau.." Puan Karina sudah menggigil.
"Hmm...saya rasa semua ni ada kaitan dengan alam bunian tu. Budak Senah ni, ada terbawa apa-apa tak dari sana" Tok Imam Ngah pandang Kudin.
"Apa Alam bunian" Pak Said terbeliak.
Mereka yang lain yang berada di situ juga turut terkejut mendengar kata-kata Tok Imam Ngah. Mereka saling berpandangan. Kusha dan Kuyah pula sudah pucat.
"Ya pakcik..Senah dan Anum hilang di perkampungan bunian. Alhamdulillah tok imam yang selamatkan mereka dengan izin Allah." Kudin berterus terang.
"Astaghfirullahal azim.." Pak Said meraup muka.
"Pakcik perasan apa-apa tak kat Senah sejak dia balik ke sini Err..maksud saya..dia ada berkelakuan pelik ke, ada simpan apa-apa ke" Kudin pandang Pak Said yang sudah tunduk.
"Entahlah..pakcik tengok biasa je cuma..." Pak Said mula mengingati semula apa yang telah berlaku.
"Cuma apa pakcik"
"Dia kadang-kadang bercakap seorang diri bila waktu tengah malam..lepas tu dia pakai baju kebaya merah.." Terang Pak Said.
"Kebaya merah" Serentak Kudin dan Kuyah berkata.
"Err...mana dia dapat kebaya merah tu" Kuyah pula bertanya. Dulu Senah pernah pakai baju kebaya merah semasa datang ke rumah nenek.
"Entahlah..kenapa" Pak Said berkerut kening.
"Cuba selongkar almari pakaian dia." Suruh Kudin pula.
Pak Said mula buka almari pakaian Senah. Habis baju Senah diselongkar dan dicampak ke atas katil. Tidak ada baju kebaya merah. Di selongkar pula almari kecil dan laci meja. Juga tidak ada.
"Hmm...mana dia letak" Pak Said garu kepala.
"Saya rasa Senah ni masih teringat alam bunian tu. Cuba cari barang yang pelik sikit dalam bilik ni atau kat dalam rumah ni.." Tok Imam Ngah pertahankan telahannya. Dia percaya Senah sudah melanggar peraturan alam bunian itu.
Pak Said sekali lagi melilau dan menyelongkar di segenap ruang rumahnya. Sudah setengah jam dia mencari barang yang dimaksudkan oleh Tok Imam Ngah tetapi hampa. Tiada barang pelik yang dijumpai.
"Eh..apa tu" Kuyah merapati katil Senah. Dia ternampak ada sesuatu yang diselit bawah bantal Senah. Dia angkat bantal itu dan menarik keluar benda pelik itu.
"Abang..lihat ni." Kuyah tunjuk pada Kudin.
"Apa ni" Benda itu bertukar tangan, Kudin kemudian menghulurkan kepada Tok Imam Ngah.
"Ini adalah rambut puteri bunian yang dinamakan sanggul bunian emas." Tok Imam Ngah membelek-belek rambut yang berwarna keemasan itu.
"Err..apa faedahnya tok" Kusha pula bertanya.
"Kau nak ke" Kuyah cuit lengan Kusha.
Kusha sengih.
Tok Imam Ngah masih diam. Rambut itu diperhatikan lagi. Memang sah, ia dari alam bunian. Mungkin benda itulah yang menyebabkan Senah menjerit dan meracau tadi.
"Kita kena pulangkan ke alam bunian. Mungkin Senah terambil benda ni tanpa dia sedari bahawa benda yang diambil tanpa keizinan orang bunian, akan jadi buruk padahnya." Tok Imam Ngah menggeleng.
Kudin terdiam. Dia juga tidak menyangka Senah terambil barang milik puteri bunian. Masing-masing diam seketika. Tidak tahu bagaimana untuk menangani masalah itu. Untuk kembali ke alam bunian, rasanya tidak mungkin. Sudah serik dengan semua itu.
"Err..tok..Chad rasanya masih di sana. Boleh tak kita serahkan benda ni kepada Chad" Kudin teringat pada Chad yang masih hilang di alam bunian seorang diri. Sudah lebih dua minggu Chad berada di sana.
"Hmm...nantilah tok fikirkan. Kita pun tak tahu keadaan Chad di sana.." Tok Imam Ngah masih berfikir.
MAJLIS pertunangan Kudin dengan Senah terpaksa ditunda ke tarikh yang lain. Senah masih dalam keadaan lemah. Kenduri kecil yang telah disediakan itu dijadikan sebagai kenduri kesyukuran. Orang kampung yang hadir juga mula beransur pulang. Kedengaran mereka berbisik-bisik sesama sendiri tentang kejadian tadi. Nek Tom bersama yang lain mula minta diri untuk pulang. Tok Imam Ngah juga turut meminta diri. Kini hanya tinggal Kudin sahaja di rumah Pak Said. Senah pula masih baring di atas katil.
"Lega.." Pak Said mengurut dada. Terasa lega walaupun majlis tidak jadi.
"Pakcik, berehatlah. Senah pun perlu berehat." Kudin menenangkan Pak Said yang kelihatan agak sugul.
"Kudin, pakcik minta maaf kamu tak jadi bertunang dengan Senah hari ni. Pakcik pun tak sangka, Senah jadi macam tu." Pak Said tunduk. Malu pada Kudin sebenarnya. Bimbang Kudin akan menyalahtafsir kejadian tadi. yalah..Senah hilang agak lama. Alih-alih bila ditemui semula, Senah meracau dan menjerit seperti itu.
"Tak apa pakcik, saya faham. Senah perlu berubat. Saya pasti, apa yang terjadi pada Senah tadi, mungkin juga datangnya dari baju kebaya merah tu. Kita kena cari baju kebaya merah tu sampai dapat dan buat sesuatu. Dulu, ada jelmaan di kampung ni, jelmaan gadis kebaya merah. Pakcik pernah dengarkan" Kudin cuba menyakinkan Pak Said tentang andaiannya tadi. Apa-apa pun, baju kebaya merah itu mesti dicari sampai dapat!
"Pernah dengar..dari Senah la jugak pakcik dengar. Pakcik ingatkan dia saja bawa mulut. Kamu tahulah Senah tu..orang kampung ni gelar dia macam pemberita terkini. Walaupun dia macam tu, dia tidak pernah berbohong. Cuma, pakcik terkejut bila dia tiba-tiba ke KL tanpa beritahu pakcik." Pak Said juga cuba pertahankan anak gadisnya.
"Ya..saya faham perasaan pakcik. Saya pun tak pernah anggap Senah tu macam tu. Dia baik." Kudin sekali lagi menenangkan Pak Said yang semakin sugul.
"Kamu ni betul ke nakkan Senah tu" Pak Said pandang Kudin dengan wajah serius. Selama ini tiada siapa yang berkenan dengan Senah. Malah Senah diejek kerana sikap peramah dan suka menegur orang kampung. Ke hulu ke hilir dengan basikal tetapi Senah tidak pernah kacau orang kampung. Senah tidak pernah mengumpat hal tidak baik tentang orang kampung.
Kudin diam seketika. Sebenarnya dia juga tidak tahu apa yang harus dijawab. Mungkin dia mengambil keputusan memilih Senah kerana kecewa dengan Ana Dahlia. Tiba-tiba terasa kasihan pada Senah. Dia tidak ada rasa cinta dan sayang kepada Senah tetapi masa keputusan dibuat dulu, dia tekad untuk cuba menyayangi Senah. Apakah rumahtangga yang akan dibina nanti akan bahagia
"Kalau ada jodoh, tak ke mana pakcik.." Kudin cuba menjawab sebaik mungkin. Tidak mahu hati orang tua itu terguris.
"Hmm..betul tu. Pakcik pun tak kisah kalau kamu tidak suka pada Senah. Senah tu tak layak untuk kamu Kudin. Senah hanya perempuan kampung dan sekarang ni, kamu dah jadi orang bandar dan sudah ada harta yang banyak. Mana boleh enggang bersama pipit. Merak dengan gagak tidak mungkin digandingkan. Pakcik faham kalau kamu tidak meneruskan majlis pertunangan ni. Pakcik tak ambil hati pun dan pasal Senah tu, kamu jangan layan sangat kehendaknya. Dia memang macam tu." Pak Said cuba mengukir senyum.
"Pakcik..macam saya kata, jodoh itu di tangan Allah. Kalau Senah jodoh saya, saya terima. Sekarang ni, pakcik kena jaga Senah tu baik-baik. Err..satu lagi pakcik, ada tak selama saya tak ada di kampung ni, pakcik ada dengar cerita hantu raya peliharaan Mak Jemah dulu tu" Kudin teringat pula kisah hantu raya yang pernah didengar dulu. Hantu raya itu mengganggu penduduk kampung selepas mayat Mak Jemah dikebumikan.
"Ada dengar juga tapi tak adalah sampai ganggu orang kampung kita ni. Orang kampung ternampak hantu tu menyerupai Mak Jemah dan ia selalu bertenggek di atas tangga rumah Mak Jemah tu. Pakcik tak berani lalu rumah dia." jelas Pak Said.
"Jadi..memang benar ada hantu tu" Kudin ingin mendapat kepastian.
"Entahlah..sebab pakcik tidak nampak dengan mata sendiri. Pakcik hanya dengar-dengar saja. Kenapa" Pak Said pula menyoal Kudin. Kudin seperti berminat dengan baju kebaya merah itu.
"Saya rasa baju kebaya merah tu, Senah dapat dari Mak Jemah tu dan untuk pengetahuan pakcik, mayat yang dibuang di kampung ini dulu adalah mayat seorang gadis yang juga pakai baju kebaya merah masa dia meninggal tu." Kudin menjelaskan perkara sebenar agar Pak Said boleh faham dengan apa yang cuba diperkatakannya.
"Jadi..maksud kamu..baju kebaya merah tu milik gadis yang kena bunuh tu" Pak Said sudah terbeliak.
Kudin mengangguk. Nampaknya Pak Said sudah mula faham kedudukan sebenar.
"Maksud kamu baju kebaya merah yang dipakai Senah dulu tu, baju kebaya merah milik gadis kena bunuh tu" Kali ini sudah pucat muka Pak Said.
Sekali lagi Kudin mengangguk. Pak Said semakin faham situasi itu. Dua kali dia bertanya hal yang sama.
"Habis tu, kamu rasa baju kebaya merah tu ada yang tak kena" Tanya Pak Said lagi. Dia semakin tercengang.
"Ya pakcik...dulu, Senah pernah pakai baju kebaya merah tu datang ke rumah saya. Waktu tu, adik saya Kuyah beritahu saya yang baju kebaya merah yang dipakai Senah tu sama dengan baju kebaya merah yang dipakai oleh gadis yang dibunuh tu. Sebelum gadis tu dibunuh, gadis tu datang jumpa Kuyah sebab tu Kuyah cam baju kebaya merah tu." Kudin jelaskan lagi. Riak Pak Said semakin keliru.
"Dan saya rasa, Mak Jemah simpan baju kebaya merah tu selepas dia mencuri mayat gadis yang dibuang di kolam kumbahan dulu tu." Telah Kudin sendiri.
"Dia nak buat apa dengan baju kebaya merah tu Elok lagi ke" Pak Said pula semakin tidak percaya.
"Entahlah pakcik. Kalau Senah boleh pakai tu, maknanya masih eloklah tu." Kudin sengih.
"Hmm...macam-macam. Senah pun satu...tak ada orang lain ke dia nak berkawan. Mak Jemah yang layak dipanggil nenek tu la yang dia cari. Yalah..kamukan tahu, Senah tu suka bergosip. Mak Jemah tu lah sumber beritanya. Apa yang Mak Jemah tu buat, dia nak buat jugak. Sudah jenuh pakcik nasihatkan dia. Mungkin sebab tulah jugak orang kampung mengejek Senah." Pak Said geleng.
"Sudahlah pakcik. Saya lihat Senah sudah banyak berubah sekarang ni. Dia tak macam dulu lagi. Dia pun sudah menutup aurat dengan sempurna macam Anum tu." Kudin melemparkan senyuman. Dia pun sebenarnya gembira dengan perubahan Senah. Senah dilihat tidak lagi bersolek macam badut. Merah gincu dan merah pipi macam Mak Jemah dulu.
"Hmm...cakap pasal Anum ni, pakcik rasa kamu lagi sesuai dengan Anum, anak Pak Sahak tu. Pakcik tak simpan dendam pada kamu kalau kamu tolak Senah dan pilih Anum." Pak Said menepuk bahu Kudin.
Kudin diam. Kisah cintanya pada Anum sudah lama berkubur. Kudin mula minta diri. Dia sempat berpesan pada Pak Said supaya mencari baju kebaya merah itu sampai dapat. Esok, dia perlu berbincang dengan Tok Imam Ngah tentang banyak perkara. Hal Chad, Senah dan juga tentang jodoh. Dia perlu nasihat dari orang yang berilmu itu. Biar tenang fikirannya nanti bila membuat keputusan.
Malam nanti, dia akan buat solat istikharah juga.
LAMA Kudin berbual dengan Tok Imam Ngah. Dia berpuas hati dengan semua yang diterangkan oleh Tok Imam Ngah. Apa yang berlaku selama ini adalah kehendak Allah tetapi sebagai hambaNya, perlu sedaya mungkin berusaha ke arah kebaikan dan menangkis sebarang kejahatan. Usai menjamu kuih dan minum petang, Kudin mula minta diri. Dia sudah membuat temu janji sekali lagi dengan Tok Imam Ngah untuk memulangkan semula Sanggul Bunian Emas itu ke tempat asalnya dan dia perlukan ajak Jai sekali.
"Tok..terima kasih kerana sudi bantu saya. Tok sudah banyak berjasa dalam hal ni. Kami pun tak tahu nak buat apa lagi. Chad pun macam sudah selesa di alam sana." Kudin mula bersalam dengan tok Imam Ngah.
"Hmm..sebut pasal Chad ni, tok tahu dia akan datang ke alam nyata tak lama lagi. Dia hanya cuba mencari pengalaman di sana saja tapi bila dia akan balik tu, tok pun tak berapa pasti." Jelas Tok Imam Ngah bila melihat Kudin sudah risau pada Chad.
"Saya bukan apa tok. Kita tidak sama dengan orang bunian tu. Jadi, kalau boleh, bila kita ke sana semula nanti, kalau Chad masih di sana, kita pujuk dia balik ya tok" Kudin berharap sangat semua itu terjadi.
"Yalah..insyaAllah. Lusa, tok akan ke KL. Kamu jemput tok di stesen bas pudu saja nanti." Sekali lagi Tok Imam Ngah mengingatkan Kudin tentang hal yang telah diputuskan tadi semasa perbincangan.
"Baiklah tok. Selepas ni, saya nak balik ke rumah nenek dulu dan selepas itu baru pulang ke KL semula." Kudin mencium tangan Tok Imam Ngah sebelum beredar dari rumah Tok Imam Ngah.
SELEPAS mengemas pakaian, Kudin mulakan perjalanan ke KL. Kali ini Kuyah, Kusha dan Puan Karina turut sama ke KL. Nek Tom seorang diri di rumah itu. Nek Tom sudah biasa dengan semua itu. Dulu, dia tinggalkan nenek lama juga sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke kampung dan menjadi petani.
"Abang, betul ke Senah tu dirasuk kerana sanggul bunian emas tu" Kuyah yang berada di tempat duduk belakang bersama Kusha mula bertanya.
"Entahlah! Abang pun tak pasti tapi apa yang abang rasa, mungkin baju kebaya merah tu penyebabnya." Kudin pandang Kuyah melalui cermin pandang belakang. Riak Kuyah sudah keliru. Berkerut dahinya.
"Tu la..Kuyah pun rasa macam tu. Masa Senah tu pakai baju kebaya merah dulu tu, gatalnya merenyam tak ingat. Tergedik-gedik dia mengendeng abang. Meluat masa tu Kuyah tengok. Dah la nak tunjuk gatalnya pada kak Ana. Tapikan, Kuyah perasan, masa dia tak pakai baju kebaya merah tu, biasa pulak perangai dia. Hari dia tahu nenek nak pergi meminang kak Ana dulu tu, dia tak gedik macam tu. Masa abang balik dulu pun, dia tak macam tu." Kuyah teringat tingkah Senah ketika itu.
"Kau ni Kuyah. Tak baik cakap kat Senah tu gedik! Baik gedik Senah dari garang Ana Dahlia tu!" Kusha masih pertahankan Senah. Baginya Senah lebih sesuai dengan Kudin.
Kudin dan Puan Karina mula ketawa mendengar kata-kata Kusha tadi.
"Korang ni sibuk hal jodoh abang, korang punya jodoh macam mana Dah ada boyfriend" Kudin berkata sambil ketawa mengekek.
"Mestilah ada! Apa Ingat kita orang ni tak laku ke" Kuyah cepat-cepat menjawab. Saat ini wajah kekasih hatinya mula terbayang di ruang mata.
"Siapa" Kudin sengaja tanya.
"Ada la..mana boleh beritahu sekarang. Bila abang dah selamat nikah nanti, Kuyah beritahu. Dia pun dah tak sabar nak masuk meminang Kuyah. Nenek pun dah banyak kali tanya." Kuyah berkata bangga.
"Oh..jadi selama ni kau dah ada buah hati la Lelaki mana la yang malang dapat perempuan mulut tak ada insuran macam kau ni." Kusha sengih dan menjeling Kuyah.
Kuyah cubit lengan Kusha. "Kau tu lagi tak ada insuran. Mulut laser! Suka hati je mengata orang. Macamlah kau tu cantik lawa sangat."
Kusha pula membalas semula cubitan tadi. "Mestilah aku cantik lawa."
"Cantik pun nak buat apa, kalau perangai tak cantik. Tak ada orang nak buat bini nanti." Puan Karina menyampuk. Dia sudah arif dengan sikap anak gadisnya yang seorang itu.
"Mama ni! Siapa yang nak berlaki" Kusha muncung.
"Dah! Setengah jam lagi kita dah nak sampai." Kudin jeling Kusha yang sudah muncung.
"Kudin...mama nak jumpa sangat dengan Chad dan maknya, Zaidah. Mama nak minta ampun dan maaf pada mereka. Sebelum mama tutup mata, mama nak sangat jumpa mereka. Kudin boleh tolong mama tak" Puan Karina akhirnya bersuara tentang hal itu.
Kudin terdiam seketika. Dia tidak tahu macam mana nak menjawab. Chad sudah berada di alam bunian dan tidak tahu bila Chad akan kembali ke dunia nyata. Mak Chad pula, dia tidak ada masalah. Dia boleh saja minta bantuan Jai tentang hal itu.
"Mama tak boleh tidur memikirkan semua tu. Memang patut mama disihir begini. Dosa mama pada mereka sungguh banyak. Mama nak tebus kesalahan mama pada mereka. Mama nak biayai kos perubatan Zaidah dan nak dia sembuh seperti dulu. Mama sanggup hantar dia ke luar negara untuk berubat." Puan Karina mengesat air mata.
Suasana yang tadinya kecoh kini sudah bertukar menjadi hiba dan sendu. Kusha turut menangis mengenangkan apa yang telah terjadi. Kuyah pula turut sebak, saat ini dia juga terkenangkan arwah ibu yang kecewa dengan arwah ayah yang menceraikannya tanpa usul periksa. Ayah tirinya pula, pakcik Ali Jambul, entah ke mana orang tua tu menghilang.
"InsyaAllah mama. Kudin akan berusaha mencari mereka. Berdoalah pada Allah moga kita diberi kesempatan bertemu dengan Chad dan makcik Zaidah." Hanya itu yang mampu Kudin luahkan. Dia sendiri pun masih buntu memikirkan bagaimanakah caranya untuk mencari mereka terutama Chad yang telah berada di alam bunian. Lusa, dia dan Tok Imam Ngah akan kembali ke dunia itu sekali lagi. Jai turut diajak sekali lagi. Mungkin Jai tahu tentang sanggul Bunian Emas itu.