CINTA RIMAU - 31
Masa berlalu dirasakan Hasya bergerak perlahan. Sejak Keris dibawa pergi Perhilitan, dia mengunci diri di dalam bilik. Seharian semalaman tidak minum dan tidak makan fikirannya jauh menerawang. Mampukah Keris membiasakan diri dengan persekitaran hutan yang penuh hidupan liar sedangkan dia dibela dan dijaga manusia sepanjang tempoh dua tahun tumbesaran Apakah susu akan tetap diberikan padanya atau dibiar minum air sungai semata sekadar pelepas dahaga Hasya cuba dan terus mencuba lelapkan mata namun ternyata sia-sia.

Pukul satu pagi. Matanya masih membuntang memandang siling. Hasya bergegas bangun. Enjin scrambler yang tersadai di penjuru garaj segera dihidupkan walau dia sendiri tidak pasti ke mana arah destinasi. Dia harus melakukan sesuatu agar dapat mengalihkan perhatiannya yang sangat jitu daripada Keris. Lama dia tidak membonceng motosikal lasak itu. Kali terakhir, sewaktu menyaksikan latihan lumba motorcross di Bukit Tinggi yang disertai Ari; kekasih lamanya dari Hamburg, lima tahun dulu. Rakan baiknya Eyza Hastings yang sering menemani suaminya yang turut berpartisipasi dalam pelbagai kejuaraan motorcross bersama Ari, bertanggungjawab memperkenalkan mereka. Namun setelah hubungan tidak menjadi, scrambler turut terketepi.

KLCC yang diselusuri; yang tetap tidak sunyi meski di tengah malam hari, menjadi saksi akan kekalutan yang dialaminya saat ini.

Setibanya di Bukit Bintang, dilihat Hasya masih terlalu banyak orang. Berjalan-jalan tanpa arah tujuan di kawasan Little Arab yang hingar-bingar dipenuhi gadis-gadis berketurunan Arab yang seksi sedang di negara sendiri berlitup rapi, sedikit sebanyak meredakan gundah di hati. Tanpa diduga secara tiba-tiba, beg galasnya diragut orang!

Hasya terus berlari mengejar kelibat lelaki yang sedikit gempal itu dengan seluruh tenaga amarahnya. Tiada yang begitu berharga sebenarnya dalam beg galas yang dilarikan itu kerana MyKad, lesen memandunya serta sedikit duit, biasa terselit di poket jeans yang dipakai. Pelarian itu umpama satu transformasi tenaga yang berpaksikan kesedihan, kehampaan, kekecewaan, satu demi satu kehilangan yang sedang dideritainya; yang harus dibebaskan segera agar jiwa tidak terus sengsara.

Diekorinya di celah-celah orang ramai dan beberapa kali juga Hasya jatuh tersembam namun digagahinya untuk kembali bangkit; berlari semula sehinggalah di satu sudut, peragut yang tidak menyangka diri diekori, dilihat duduk kepenatan sambil membelek-belek beg yang menjadi rebutan.

Hasya menyembunyikan diri, berjalan senyap-senyap ke arahnya dari belakang sebelum mengacukan pistol Glock 20 ke tengkuknya. Disulami nafas yang berdegup kencang setelah puas berlari keliling Bukit Bintang,

Hasya dengan nada perlahan tetapi tegas memberi amaran, Return my bag.

Tersentap dibuatnya peragut yang mengaku berasal dari Myanmar itu. Dihulurnya kembali beg galas Hasya sebelum lari lintang-pukang menyusuri malam yang masih terang-benderang. Hasya mula berasa kepenatan yang teramat dan mahu terus pulang. Pistol kembali diselit di pinggang.