Tiada Tajuk - 31
Bab 31

Adakah sehingga ke tahap semua elemen di dalam cerita-cerita tersebut adalah benar Manusia kacukkan kucing, orang boleh terbang, yang boleh meramal masa depan, yang mati boleh hidup semula. Semua tu benar-benar berlaku

Karut!

Tempelak Munir pada dirinya.

Aku tak segila itu. Walaupun aku tau ada sesuatu tentang cerita-cerita ni, tapi aku taklah sampai ke tahap nak percaya bahawa benda-benda mengarut semua tu wujud.

Kesedaran itu membuatkan Munir kembali menumpukan pada subjek yang nyata dan jelas. Pembunuh Batik Biru. Itu seharusnya menjadi fokus utamanya. Perkara-perkara lain tak sepatutnya mengaburi pertimbangan Munir. Semua elemen lain seperti cerita-cerita pendek yang dijumpai bersama mangsa hanyalah perincian sampingan yang memang aneh, tapi bukan tumpuan utama. Munir sedar kini bahawa ianya hanya sekadar salah satu petunjuk untuk menjejak Pembunuh Batik Biru.

Lalu Munir pun menukar haluan penyiasatannya. Dia kira adalah lebih produktif untuknya menumpukan pada petunjuk-petunjuk yang nyata dan jelas, daripada mengusutkan minda dengan cerita-cerita berunsur fantastik yang sudah tentu tidak boleh memberikan apa-apa selain kekeliruan.

Munir pun mengubah fokusnya pada maklumat-maklumat lain berkenaan dengan kes tersebut yang dia abaikan sebelum ini. Bermula dengan perkara yang paling asas. Siapa keempat-empat mangsa tersebut

Munir membaca nota-nota yang ditinggalkan bersepah di atas meja Zaiful yang hanya bersebelahan dengan mejanya. Cuba untuk mencari nama-nama mangsa Pembunuh Batik Biru.

Dapat!

Munir memerhatikan senarai nama tersebut.

Mangsa 1 - Mohd Borhan

Mangsa 2 - Abdul Hanif

Mangsa 3 - Idzhan Johar

Mangsa 4 - Farhan Saleh

Borhan. Hanif. Idzhan. Farhan.

Nama mereka semua ada perkata HAN di dalamnya.

Radio dipasang dengan kuat. Langsir pada tingkap pula dilabuhkan. Zack melucutkan jam tangannya lalu dimasukkan ke dalam poket. Dia tak mahu jam itu terkena darah. Melakukan ini buat kali kelima sudah mengajar Zack satu dua perkara. Dan salah satunya adalah untuk menanggalkan jam tangan sebelum hendak membunuh, jika tidak mahu berhabis duit membeli jam tangan baru setiap kali.

Zack mengeluarkan sebilah pisau yang besar dari beg galasnya. Dia membawa pisau itu mendekati mangsa kelimanya yang sudah terbaring di atas katil dengan kedua belah tangan dan kaki berikat.

Zack mengoyak pita pelekat yang menutup mulut mangsanya itu. Dia ingin bersembang dulu kali ini. Bukan macam selalunya bila dia terus saja memulakan kerja menyembelih, menyiat dan melapah.

"Kau siapa hah! Kenapa kau buat macam ni...!" jerit lelaki tersebut.

"Mudah. Sebab kau pernah bunuh seorang gadis yang tak berdosa. Kau masih ingat pada... Anom" jawab Zack bersahaja.

"Kau ni bukan ke kau"

"Siapa aku tak penting. Yang penting sekarang ni aku nak tau, kenapa kau bunuh dia"

"Aku tak tau. Aku hanya buat seperti yang disuruh."

"Disuruh oleh siapa"

"Orang atasan aku."

"Siapa dia"

"Bukan dia. Mereka."

"Okey... siapa mereka"

"Aku tak tau."

Zack memotong ibu jari kaki sebelah kanan lelaki itu sehingga terputus terus. Lelaki itu menjerit kuat. Sekuat darah yang memancut dari hujung kakinya.

"Aku tak tau.... Tolonglah aku betul-betul tak tau.... Tolong jangan bunuh aku!!!" teriak lelaki itu dalam tangis rayunya. Tapi Zack tak rasa apa-apa. Sikit pun tak.

"Macam ni la.... Aku tak boleh janji bahawa aku takkan bunuh kau. Sebab sejujurnya aku memang akan bunuh kau. Cuma yang aku boleh tawarkan di sini adalah, cara aku membunuh kau. Kita boleh buat perlahan-lahan. Ataupun cepat. Kurang sakit. Ataupun kesakitan yang teramat sangat sampai dalam kubur nanti pun kau tak akan habis-habis menjerit lagi. Jadi kau yang pilih."

"Sumpah aku tak tau apa-apa. Aku cuma ikut arahan. Tapi yang aku tau, ada seseorang yang kau boleh cari untuk tanya. Sebab dia tau segalanya.... Dia yang tahu segalanya...."

"Siapa dia"

"Seorang budak umur sembilan tahun. Nama dia Adib. Kau tanya dia. Dia tahu segalanya...."

"Okey terima kasih. Sekarang ni aku tutup baliklah mulut kau. Takut bising sangat pulak waktu aku kerjakan kau nanti."

Zack pun menutup semula mulut lelaki yang masih menangis sambil meronta-ronta itu dengan pita pelekat. Kemudian dia berdiri tercegat untuk seketika sambil merangka dengan teliti. Bahagian mana yang nak dimulakan dulu

Munir pulang ke rumah setelah seharian penat bekerja. Macam-macam hal yang berlaku di balai hari ini. Sehinggakan dia terpaksa mengabaikan tumpuannya terhadap kes Pembunuh Batik Biru buat sementara waktu. Mungkin juga ia adalah untuk kebaikan. Munir perlu mengalih perhatiannya untuk seketika. Memberi ruang pada otaknya untuk memproses benda-benda lain yang tidak berkenaan dengan kes itu.

bersambung

Bab akan datang:

Adakah Adib merupakan dia yang tahu segalanya