Selagi ada ruang untukku aku ingin menjana peluang untuk memperdagangkan sedikit kelebihan yang ada, untuk mengembangkan fakulti daya fikir generasi masa kini dan di masa akan datang, agar cemerlang di dunia dan akhirat.
Dari pada mati bersimpuh lebih
Baik gugur merempuh!
Orang masih bertanya soalan yang sama pada pada hari pertama hingga pada saat ini. Mereka bertanya penuh persoalan dan prejudis. Malah adalah melontarkan sindiran sinis atas plihan ini.
Jawapan pada hari pertama aku setuju memilih tentera sebagai kerjaya aku mungkin tidak begitu kukuh. Ia hanya bersandarkan kepada perasaan, imej, cabaran atau rasa kagumku pada wira-wira lampau yang telah membuat jasa dan dijulang. Lt Adnan, Saidi, Kanang anak Langkau, Lt Hamid hanya sekadar beberapa nama terbilang yang telah gugur merempuh.
Yang telah melakar sejarah dengan tinta emas dan menjadi kebanggaan warga pewaris. Nama-nama tersebut cukup besar pengaruhnya terhadap aku di dalam mencorak diri dan pendirianku serta membina jati diri seorang aku.
Aku bukanlah seorang terbilang yang perlu dikenang oleh generasi kini dan masa akan datang. Tapi aku juga bukanlah seorang yang terbuang yang tidak mampu melakuan apa-apa untuk bangsa dan negara. Langkah ku mungkin kecil tetapi langkah kecil ini bisa mencorak tamadun bangsa. langkah kecil bagi insan tapi besar bagi tamadun.
Negara masih aman dan mereka masih boleh terlena dan dibuai mimpi indah. Tapi perlu diingat, ianya bukan percuma. Ia telah dibina oleh pejuang terdahulu dan mesti dipelihara oleh pejuang masa ini. Perlu juga di ingat bahawa kita mungkin tidur lena. Tapi musuh sentiasa berjaga mengintip peluang, merobek kedaulatan negara.
Kita lupa sejarah lebih 400 Tahun dijajah dan di kotak katikkan oleh kolonial. Menyemai benih budaya mereka dan meracun budaya sedia ada sehingga kita terlupa siapa kita. Sehingga kini kita merasa kan bahawa beginilah seharusnya kita. Hasil mahsul negara disedut dengan rakus untuk membina tamadun di negara sendiri.
Kenapa aku masih disini Ini lah dunia ku..! Dunia yang mengajar apa itu sakit, susah dan penat. Dunia yang mengajar erti gagal dan cara bangun dari kegagalan. Dunia yang mengajar nilai patriotisma dan pahit maung menjadi benteng yang paling hadapan negara. Mencabar usaha musuh yang cuba merobek kedaulatan negara. Inilah dunia ketenteraan.
Aku tak tahu segagah manakah aku mampu berdiri di hadapan, dan sentiasa dihadapan, tetapi aku akan tetap di hadapan. Namun berundur tidak sekali. Berundur bererti warga durjana dan pengkhianat bangsa. Terkutuk hingga bila-bila.
Aku ingin berjuang sebagai kuntum pertiwi yang dikenang sebagai pahlawan berharga. Walau aku tidak gugur sebagai bunga bangsa, aku ingin berundur penuh berjasa.
Ini adalah kerja mulia dan aku bangga dengan pilihanku. Aku masih sedang belajar untuk bersaing dengan mereka-mereka yang terpilih dan yang terbaik insyaAllah. Bak kata Imam Ghazali kalau besar yang dituntut, mulia yang dicari makan payahlah jalannya.
Perjalanan ini belum tamat. Hanya mereka yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya.