KITAB XX - 30 Langkah Memikat Lelaki - 31
Membandingkan Si Dia

Adakalanya, kamu akan terlepas cakap satu perkara ini. Mungkin kamu sudah pernah berpacaran sebelum menemuinya, jadi kamu sering bercerita mengenai teman kamu yang sebelumnya.

Hal ini tidak disukai oleh ramai orang. Bukan sahaja bagi lelaki, malah wanita juga tidak menyukainya.

Kamu juga sudah pasti akan membenci orang yang membandingkan kamu dengan orang lain. Bagi kamu, dirimu dan orang yang dibanding itu berbeza. Begitulah jua yang dirasai oleh si dia jika kamu membandingkannya dengan orang lain.

Ingatlah, ada sesetengah lelaki yang tidak suka dibandingkan dengan orang lain walaupun yang dibanding itu adalah abang atau adiknya sendiri.

Sudah menjadi sifat manusia, tidak suka menjadi seperti orang lain. Kita sendiri mahu menjadi apa diri kita sekarang ini. Baik atau buruk, inilah diri yang kita mahukan. Walaupun kita tidak tahu memasak, pastinya kita tidak suka dibandingkan dengan kakak kita yang lebih mahir memasak.

Pasti ada perasaan yang kurang senang wujud dalam diri tatkala perbandingan itu dibuat. Diri kita bukanlah barang yang diletak di atas rak pasaraya untuk dibuat bandingan. Tidak juga menjadi wanita yang boleh dipilih seperti mahu membeli ikan di pasar. Kita istimewa, dirimu istimewa.