RETRO BOLA SEPAK - 31
Dek kerana gah dan reputasinya, mereka boleh jemput Real Madrid C.F., A.C. Milan, FC Barcelona, Liverpool FC ataupun FC Bayern Mnchen bagi upacara pembukaan stadium baharu, tapi Juventus memilih sebuah kelab yang berkedudukan ke-12 dalam aras ketiga hierarki bola sepak

Inggeris!

Pada 8 September 2011, Juventus merasmikan penggunaan stadium baharu mereka, dengan keputusan seri 1-1 dengan Notts County Football Club, yang juga kelab bola sepak tertua di dunia.

Mengambil tempoh selama dua setengah tahun untuk siap dengan kos sebanyak 120 juta, Stadium Juventus ini menjadi laman baharu kelab Old Lady menggantikan laman Stadio delle Alpi yang diguna sejak dari tahun 1990. Sebelum bersemayam di Stadio delle Alpi, Juventus menggunakan Stadio Olimpico dari tahun 1933.

Oleh yang demikian, mengambil kira susur galur sejarah antara Juventus dengan Notts County, maka kelab Inggeris tersebut dijemput dalam upacara pembukaan stadium baharu.

Peranan Notts County punyai pengaruh signifikan dalam perkembangan kelab Juventus.

Sekitar tahun 1903, Juventus mahu mencari jersi baharu, bagi menggantikan jersi merah jambu. Pada Juventus, warna merah jambu tampak seolah-olah tidak berapa garang. Tak kan lah hendak dipanggil Gergasi Merah Jambu kan Tambahan pula fabrik kain warna merah jambu itu cepat luntur rona nya.

Lalu seorang pemain Juventus berbangsa Inggeris bernama John Savage telah menghubungi rakan beliau di England, untuk bertanyakan kalau-kalau ada bekalan jersi baharu yang sesuai dengan Juventus. Rakan John Savage ini kemudiannya menghantar jersi belang hitam dan putih milik Notts County kepada Juventus.

Sama ada disengajakan atau tersilap, Juventus walau bagaimanapun terus menggunakan jersi belang hitam dan putih tersebut.

Perubahan cukup drastik. Dengan menggayakan jersi baharu belang hitam dan putih, Juventus tampil lebih garang dan lebih banyak memenangi perlawanan. Lama-kelamaan imej belang hitam dan putih menjadi sinonim dengan Juventus hinggakan dikenali sebagai Bianconerri bermaksud putih-hitam.

Dua jam setengah sebelum sepak mula perlawanan, skuad Notts County sudah pun tiba di stadium. Mereka diterbangkan ke Turin menggunakan pesawat khas dan diberi penginapan di hotel lima bintang. Skuad Notts County turut diberi kawalan kehormat dari pihak polis. Mereka kemudiannya dibawa melawat ke segenap pelosok stadium Juventus.

Bekas-bekas legenda dan bintang Juventus turut hadir. Antaranya ialah Dino Zoff, Giampiero Boniperti, Luis del Sol, Fabio Capello, Marcello Lippi, Claudio Gentile, Roberto Bettega, Ciro Ferrara, Angelo Di Livio, Edgar Davids, Paolo Montero dan Fabrizio Ravanelli.

Dalam perlawanan pembukaan tersebut, Juventus mendahului melalui jaringan Luca Toni pada minit ke53. Notts County kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan di penghujung permainan melalui gol dari Lee Hughes.

Musim itu, Juventus tampil lebih segar, mencatat rekod tanpa kalah dalam liga dan menjuarai Serie A yang pertama sejak tahun 2003 (setelah gelaran pada era Calciopoli dilucutkan pada edisi 2006).