Mencari Kiblat Cinta - 32
Malah dia sendiri pun tidak dilayan sebaik lelaki itu melayan Aliff. Namun Filman tidak kisah atau berjauh hati. Lagipun Aliff memang anak kesayangan ayah mereka sejak dulu.

Kejap je kan bang. Rasanya macam baru semalam Aliff ke London sambung belajar. Anak muda itu tersenyum.

Yalah, abang pun rasa macam tu. Rasanya macam baru aje lagi abang dan ayah ke London jenguk Aliff tempohari. Filman mengiyakan.

Ma dengan Naj apa khabar

Diaorang sihat. Naj selalu marah-marah kalau Aliff telefon ke rumah tapi bercakap dengan ma saja. Tutur Filman.

Aliff ketawa besar. Najla memang sentiasa menjadi anak manja keluarga itu.

Aliff sihat Soal Filman tiba-tiba.

Mata Aliff menatap abangnya tidak berkelip. Wajah Filman terlihat serius kali ini. Dia mengerti Filman risau dengan keadaannya.

Aliff tak apa-apa. Abang jangan risau.

Aliff ada makan ubat ikut waktu Soal Filman lagi.

Anak muda itu segera mengangguk. Namun wajah itu kelihatan muram secara tiba-tiba. Hati Filman terdetik perasaan kurang enak. Ada sesuatukah yang berlaku pada Aliff Kenapa bila dia menyebut tentang kesihatan Aliff, adiknya berubah laku secara tiba-tiba

* * * *

Najla tergesa-gesa mengemaskan barang-barangnya ke dalam beg sandang yang disimpannya di dalam locker. Setelah itu dia sempat memandang wajahnya sendiri di hadapan cermin kecil yang terdapat di situ. Wajahnya sedikit pucat. Dia langsung mencapai lipstick yang tersimpan di dalam poket beg lalu mengoleskannya pada bibirnya yang kelihatan pudar. Setelah itu bedak padat pula dikeluarkan lalu ditekap pada wajahnya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia segera mengorak senyuman.

Hai Naj, nak ke mana ni Laju je. Sapa Adam, salah seorang teman kampusnya yang datang dari arah bertentangan. Najla hanya tersenyum. Sapaan lelaki itu langsung tidak diendahkan. Kakinya menapak laju menuju ke kawasan letak kereta di hadapan bangunan fakultinya.

Dari jauh, dia terpandang sebuah Naza Rio berwarna silver yang amat dikenalinya sedang menanti tidak jauh dari situ. Najla tersenyum senang. Gembira hatinya bukan kepalang. Kakinya segera berlari-lari anak menuju ke arah kenderaan tersebut yang setia menanti di bawah sebatang pohon rimbun.

Siapa tadi tu Aliff bertanya apabila Najla sudah berada di dalam perut keretanya. Najla menoleh ke arah Adam yang masih memandangnya dari jauh. Dia tersenyum seraya melambaikan tangan ke arah anak muda yang terus tercegat di situ.

Kawan. Jawab Najla sepatah.

Kawan biasa ke kawan istimewa usik Aliff. Sengaja dia mahu menguji gadis itu. Najla ketawa besar mendengar kata-kata Aliff. Dia melirik ke arah lelaki di sampingnya.

Kalau kawan istimewa sekalipun, kenapa Aliff cemburu ya Giliran Najla cuba menduga. Aliff ketawa kecil. Ke situ pulak anak gadis ini!

Baguslah kalau kawan istimewa. Cepatlah ayah dengan ma boleh dapat menantu. Balas Aliff selamba.

Najla terpelangah. Kata-kata Aliff membuatkan hatinya tiba-tiba sebal. Lain yang diharapkan, lain pula yang terlontar keluar dari mulut lelaki itu. Tidakkah Aliff merasa cemburu dengan kata-katanya sebentar tadi

Bila Aliff balik Dia menukar tajuk perbualan. Malas mahu terus berbicara soal remeh-temeh dengan anak muda itu. Sudahlah dia hendak berjumpa lelaki itu jarang-jarang sekali. Sejak Aliff melanjutkan pelajaran hampir tiga tahun yang lalu, dia sering merindui anak muda itu dalam diam-diam.

Kelmarin.

Kelmarin Kenapa tak beritahu kami Aliff nak balik Dia tercengang.

Aliff tersenyum. Dia menumpukan perhatiannya ke arah jalan yang dilewatinya. Soalan Najla sengaja dibiarkan tidak berjawab. Dia lebih senang begitu.

Aliff dengar tak Naj cakap apa ni Najla tetap berdegil ingin tahu. Aliff menoleh sekilas tanpa berkata apa-apa. Irama lagu yang berkumandang dari siaran Hitz FM di corong radio menyusup perlahan ke lubang telinganya. Sesekali dia menyanyi kecil mengikut rentak lagu.

Melihat reaksi Aliff yang seolah-olah tidak mengendahkannya, Najla tidak dapat menahan geram. Serentak jari-jarinya singgah mencari isi lengan Aliff lalu dikutil buat melepaskan rasa tidak puas hatinya.

Aliff tersentak. Sepantas kilat dia membrek kereta sehingga berdecit tayar keretanya. Mujurlah dia sempat membrek. Jika tidak, pasti keretanya akan mencium bumper kereta di hadapan mereka yang sedang berhenti di lampu merah.

Dia berpaling ke arah Najla yang kelihatan selamba memandang ke luar. Wajah gadis itu dikerling tajam. Geram betul dia pada Najla yang suka bertindak melulu. Lengannya yang terasa perit digosok perlahan-lahan sambil matanya melurus ke hadapan.

Sekumpulan orang ramai yang sedang melintas di hadapan lampu isyarat dipandang acuh tak acuh. Mulutnya terus mengguman geram pada Najla. Meleter panjang dengan tindakan Najla yang tidak berfikir sebelum bertindak. Mujur dia agak cekap mengendalikan keretanya. Jika tidak, dua-dua boleh masuk hospital.

Tiba-tiba tanpa amaran, leteran Aliff terhenti. Najla berpaling.

bersambung

Bab akan datang:

Mengapakah Aliff berhenti berleter secara tiba-tiba