Tiada Tajuk - 32
Bab 32

Ternyata berkesan. Walaupun banyak kerja di balai hari ni, tapi Munir tak pernah merasa setenang ini. Untuk pertama kali sejak agak lama, Munir bernafas lepas di dada. Benar kata Suraya semalam. Dia harus cuba melepaskan ketegangan mindanya terhadap kes ini dan membiarkan Zaiful saja menguruskannya.

Setelah mandi, solat dan makan malam, Munir naik ke atas untuk menjenguk Adib yang tak nampak rupa. Duk berkurung dalam bilik dari tadi. Menurut Suraya, ada sesuatu yang sedang mengganggu perasaan Adib sejak pulang dari sekolah tadi.

"Macam mana dengan sekolah hari ni" tanya Munir sebaik masuk ke dalam bilik Adib. Dia duduk di birai katil dimana Adib sedang mengerekot dalam selimut.

"Sama seperti hari-hari yang lain. Aku ditindas hanya kerana aku berbeza," jawab Adib. Wajahnya monyok.

"Apa maksud Adib Siapa tindas Adib"

"Guru aku."

"Kenapa Adib cakap macam tu"

"Iyalah. Lagi sekali aku diberikan markah rendah untuk kerja aku, hanya kerana persepsi aku terhadap sesuatu perkara itu berbeza dari kanak-kanak lain seusia aku."

Munir mendekatkan dirinya dan mengusap kepala Adib.

"Kenapa ni... Cuba cerita dekat Abang Munir."

"Tentang kerja rumah aku yang semalam tu. Guru Bahasa Malaysia menyuruh semua pelajar menulis sebuah karangan yang bertemakan 'Dunia Masa Hadapan.' Aku sangat teruja. Begitu juga dengan pelajar yang lain. Aku juga dapat mendengar mereka berbicara sesama sendiri tentang apa yang mereka ingin tuliskan di dalam karangan masing-masing. Kebanyakannya membayangkan dunia di masa hadapan mempunyai kereta terbang, kota di bawah laut, pengembaraan ke angkasa lepas dan bermacam lagi yang bagi aku adalah agak naif. Bukan aku hendak mengatakan bahawa semua itu tidak mungkin. Cuma aku sedikit terganggu dengan hakikat bahawa apabila setiap kali seseorang itu bercakap tentang masa depan, mereka hanya menumpukan pada perkembangan teknologi dan sosio-budaya sahaja. Aku belum pernah mendengar seseorang itu mengangankan masa depan yang pesat dengan perkembangan manusia itu sendiri sebagai satu organisma kehidupan. Seolah-olah mereka hendak menyarankan bahawa manusia sudah mencapai tahap kematangan yang paling tinggi sehingga tiada ruang untuk memperbaikinya lagi. Justeru bagi mereka, manusia hanya perlu kekal statik. Sebaliknya elemen-elemen lain di sekitar sahaja yang perlu dibangunkan terus. Bukankah hasilnya nanti, dunia ini akan menjadi sebuah kepompong besar yang paling sempurna, tapi melindungi hidupan di dalamnya yang kontra kepada kesempurnaan Sebagai contoh, seorang pemuzik boleh diberikan alat-alat muzik yang paling canggih di dunia ini. Tapi dia tetap tidak akan mampu memainkannya jika dirinya sendiri tidak mempunyai ilmu dan yang lebih penting, bakat semulajadi untuk memanipulasikan alat-alat itu ke tahap sepenuhnya. Pembangunan tidak akan bermakna jika hanya teknologi yang berkembang, tetapi manusia tidak mampu mengejar perkembangan itu dengan memperbaiki dirinya sendiri."

"Hmm... sebenarnya apa yang Adib cakap tu kurang tepat. Manusia sentiasa membuka ruang dalam dirinya untuk terus belajar dan berkembang..."

"Ya. Tapi mempelajari dan memperkembangkan semua benda selain dari diri mereka sendiri. Itu masalahnya. Manusia sentiasa melihat ke depan dan tidak kepada dirinya sendiri. Sentiasa melihat ke luar dan tidak ke dalam tubuhnya sendiri. Sentiasa mencari untuk memperbaiki kecacatan dan kekurangan benda lain tapi tak pernah mengambil kira kecacatan dan kekurangan fisiologi manusia itu sendiri."

"Semua manusia dilahirkan sempurna, Adib..."

"Hah! Itu.... Itulah mentaliti manusia. Dan di situ jugalah kelemahan manusia..."

Munir hanya diam dan memerhatikan Adib. Wajah Adib begitu mendalam. Seolah-olah topik itu begitu memberi kesan kepadanya. Bukan seperti selalunya bila dia berbicara dengan emosi yang tenang dan terkawal.

"Jadi... apa karangan yang Adib buat Adib cakap Adib tak tulis tentang kereta terbang, teknologi masa depan dan sebagainya. Jadi apa yang Adib tulis"

"Aku menulis tentang masa depan mengikut definisi aku. Tapi ianya agak ironis. Sebab aku membayangkan masa depan dengan cara menceritakan masa lampau."

"Oh... Menarik tu. Boleh Abang Munir baca"

Adib memasung mata Munir dengan renungannya. Begitu tajam. Bagai hendak mengorek hingga ke dasar. Adib cuba untuk membaca sesuatu di dalam dua takungan hitam itu. Cuba melihat apa yang ada di sebalik iris Munir. Dia cuba untuk menilik, sejauh mana kemampuan Munir untuk menerima setiap maklumat yang tertanam di setiap perenggan, setiap baris dan setiap ayat di dalam karangannya itu. Mampukah akal Munir menggalinya Yang lebih penting lagi. Mampukah akal Munir... menerimanya.

Adib bangun dan menuju ke meja di sudut kanan bilik tidur itu. Membuka zip pada beg sekolahnya yang terletak di atas meja tersebut lalu mengeluarkan sebuah buku nota Bahasa Malaysia yang dikhaskan untuk menulis karangan.

Adib menyerahkan buku nota itu kepada Munir.

bersambung

Bab akan datang:

Apakah kandunagn di dalam karangan yang Adib tulis