CINTA RIMAU - 33
Mr dan Mrs Jones kini di Kuala Lumpur! Setelah dikhabarkan Hasya akan berita gembira tentang Hasnah yang mendapat pengampunan Yang Dipertuan Agong, alasan itu disifatkan Sebastian cukup relevan untuk pulang ke Malaysia. Tiada pusara mendiang ibunya boleh dilawati memandangkan penyemadiannya dibuat melalui proses pembakaran mayat yang dilakukan di Gui Yan Crematorium, Kampung Tunku manakala abu mayatnya pula disimpan Hasya di sisi katil kamar tidurnya; permintaan Hasya sendiri yang sangat menyanjung tinggi budi serta kasih sayang wanita berusia 87 tahun itu sewaktu menghembuskan nafas terakhirnya.

Terpahat selamanya dalam sanubari Hasya betapa Miryam Jones berusaha memastikan Hasya mengaji Quran saban petang bersama Ustaz Ahmad Rezzki yang dijemput datang ke rumah. Adakalanya apabila timbul rasa malas dan cuba ponteng kelas, nenek Miryam tidak akan teragak-agak mengejarnya keliling rumah dengan tangan yang tersedia rotan! Paling menyentuh hati, sepanjang Ramadhan, dialah juga orangnya yang bangun menemaninya bersahur setiap jam lima pagi yang menjadi saksi di mana kerap juga Hasya terhengguk-hengguk

107

mengantuk sambil mengunyah makanan!

Ironinya, hampir saban minggu setiap Ahad, Hasya diajak menemaninya ke Trinity Methodist Church di Petaling Jaya. Apabila usia menganjak remaja, pernah Hasya bertanya, Granny, you always remind me to be a good Muslim but at the same time, you keep tagging me along to the church. Cant you see the contradiction

Miryam Jones tersenyum tatkala mendengar soalan penuh kematangan dari seorang yang masih dianggap hingusan itu. Cuba menyingkap misteri kehidupan, dia berkata, Life is full of contradictions, Lourdes life is a paradox.

Menurutnya lagi, kerap kali terjadi, orang yang pernah dikategorikan sebagai syaitan satu ketika dahulu; yang memaksa kita memilih jalan lain yang sama sekali bukan pilihan asal, apabila direnung kembali sebenarnya adalah jelmaan malaikat yang menjadi penyebab berlakunya perubahan ketara dalam diri kita yang mengangkat martabat kita ke arah yang lebih tinggi menjadikan kita manusia yang lebih baik lagi. Justeru menurut Miryam Jones, segala rasa benci yang lahir di hati, apabila diselami dalam-dalam, secara automatik akan bertukar menjadi belas ehsan, sayang serta kasih yang berpanjangan.

because love and hate are two sides of the same coin.

Hasya memandang Miryam, khusyuk sekali mendengar penerangan yang diberikan sebelum menyeluk seketul syiling dari poketnya lalu dihulurkan kepada neneknya itu. Menariknya tentang Miryam ini, dia melihat Hasya sebagai seorang dewasa yang tidak perlu dimomokmomokkan sebagaimana penerapan yang sering diberi

kepada anak kecil.

Dan berbalik kepada persoalan kontradiksi yang dikemukakan Hasya tadi, Miryam memberitahu bahawa, itulah sebenarnya persoalan yang dimahunya Hasya kemukakan sejak sekian lama kerana apabila sampai detik itu, ia menjadi bukti bahawa Hasya sudah cukup dewasa untuk memahami jawapannya: Walau haluan yang dipilih mungkin berbeza, nahunya tetap sama iaitu mencari keredhaan Tuhan menuju ke arah kebaikan.

The core of it is the same that love is the most important thing, kata bekas guru besar sekolah itu lagi dengan lembut sebelum mengingatkan Hasya akan pentingnya menghormati apa jua pilihan orang lain meskipun bercanggah dengan naluri sendiri.

Okay granny, balas Hasya yang ketika itu berusia 15 tahun, sudah pandai melawa dengan gincu merah Dorothy yang secara sorok-sorok dicalit ke bibirnya sambil menghisap lolipop.